Selepas Wing Loong II, Maghribi Pilih Pula dron TB-001K Digelar “Scorpion” buatan China
Setelah dihantar ke Maghribi, dron TB-001K buatan China itu dijangka akan meningkatkan lagi keupayaan serangan Maghribi dengan ketara, terutamanya dalam menghadapi cabaran keselamatan serantau yang semakin meningkat.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas memiliki dron Wing Loong II, kini Maghribi memilih satu lagi dron buatan China untuk menguatkan angkatan tenteranya, dalam tindakan yang dilihat sebagai usaha mempelbagai sumber sistem persenjataanya, selain mendekatnya lagi dirinya dengan “kuasa baru Afrika” iaitu China.
Dron terbaru buatan China yang diperolehi oleh Maghribi adalah TB-001K atau juga digelar “Scorpion”.
Dibangunkan oleh Sichuan Tengden Sci-Tech Innovation Co, dron pengawasan dan serangan itu dilengkapi dengan dua enjin dan dua “ekor” yang meningkatkan lagi daya manuvernya ketika berada di udara.
Dron TB-001K “Scorpion” itu boleh terbang sejauh 6,000km dan berada di udara selama 35 jam tanpa henti, selain boleh membawa muatan seberat lebih 1,200kg terdiri daripada pelbagai jenis peluru berpandu dan bom untuk menyokong pelbagai misi ketenteraan.
Mampu beroperasi pada ketinggian sehingga 10,000 meter, dron buatan China itu digunakan untuk misi-misi pengawasan dan serangan.
Setelah dihantar ke Maghribi, dron TB-001K buatan China itu dijangka akan meningkatkan lagi keupayaan serangan Maghribi dengan ketara, terutamanya dalam menghadapi cabaran keselamatan serantau yang semakin meningkat.
Bagaimanapun, jumlah pesanan, nilai kontrak, dan jadual penghantaran masih tidak didedahkan.

Armada dron Maghribi telah terbukti sebagai kekuatan yang berkesan dalam operasi ketenteraan di Sahara, dengan giat membedil dan memusnahkan operasi penyusupan oleh Front Polisario yang bersifat pemisah, sekaligus memastikan kawalan kukuh ke atas zon penampan.
Tentera Maghribi sebelum ini telah pun mengerahkan dron Wing Loong II di Sahara, susulan perolehan dron buatan China itu pada 2015 semasa lawatan Raja Mohammed VI ke kuasa Asia itu.
Hubungan berterusan dengan Beijing telah menyaksikan Maghribi memperoleh pelbagai sistem persenjataan buatan China, termasuk sistem pertahanan udara jarak jauh Sky Dragon 50, pelancar roket berganda AR2, dan sistem peluru berpandu anti-kereta kebal HJ-9A.
Usaha pemodenan ketenteraan Maghribi tidak terhad kepada dron sahaja.
Negara Afrika Utara itu dilaporkan sedang dalam perbincangan lanjutan dengan Hongdu Aviation Industry Corporation (HAIC) mengenai kemungkinan memperolehi pesawat pejuang ringan/latihan lanjutan L-15 Falcon bagi menggantikan armada pesawat pejuang ringan/latihan Alpha buatan Perancis-Jerman miliknya yang semakin usang.
L-15 Falcon, yang telah dieksport ke negara seperti Zambia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), menawarkan ciri-ciri canggih termasuk keupayaan supersonik, avionik moden, dan kapasiti muatan yang dipertingkatkan.
Pilihan Maghribi terhadap L-15 Falcon didorong oleh prestasi cemerlang pesawat tersebut.

Minat terhadap L-15 mungkin sebahagiannya berpunca daripada ketiadaan pesawat latihan lanjutan buatan Perancis, serta tempoh menunggu yang panjang dan kos tinggi bagi Boeing T-7A buatan Amerika Syarikat.
Kepercayaan terhadap L-15, yang sebelum ini hanya dieksport kepada Tentera Udara Zambia, mendapat lonjakan besar susulan pesanan yang dijangka mencecah 48 unit daripada Tentera Udara UAE– sebuah angkatan udara berpengaruh yang dianggap sebagai ‘rujukan’ di rantau MENA (Middle East North Africa).
Sejak beberapa tahun lalu, Maghribi agak bergantung kepada China untuk memenuhi sebahagian daripada keperluan pertahanannya.
Minat Maghribi terhadap peswat pejuang /latihan L-15 timbul selepas perolehan beberapa sistem pertahanan China lain, termasuk sistem pertahanan udara jarak jauh Sky Dragon 50 (FD-2000B), pelancar roket berganda AR2, peluru berpandu darat ke udara jarak jauh HQ-9 (FD-2000B) dengan sistem homing radar separa aktif (SARH), sistem peluru berpandu anti-kereta kebal HJ-9A, serta dron Wing Loong II.
Perkembangan terbaru ini menandakan peralihan daripada kebergantungan tradisional Maghribi terhadap pembekal Barat.
— DEFENCE SECURITY ASIA