Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

British, Amerika Elak Russia “Curi” Bangkai Pesawat F-35B Di Laut Mediterranean

Apa yang membimbangkan pihak British dan Amerika Syarikat adalah Russia memiliki sebuah pangkalan tentera laut di Tartus, Syria yang terletak tidak jauh daripada lokasi insiden terhempasnya pesawat F-35B Tentera Udara British itu di Laut Mediterranean.

0 2,927

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pihak tentera British dilaporkan telah meminta bantuan daripada Amerika Syarikat untuk mencari dan menaikkan semula bangkai pesawat F-35B “Lightning” (Short Take-Off Vertical Landing – STOVL) miliknya yang terhempas di Laut Mediterranean minggu lepas.

Tindakan British terbabit adalah untuk mengelak rahsia penting yang terdapat di dalam pesawat halimunan F-35B itu jatuh ke tangan pihak musuh terutamanya Russia, yang berada berhampiran dengan lokasi insiden kemalangan pesawat canggih itu.

Apa yang membimbangkan pihak British dan Amerika Syarikat adalah Russia memiliki sebuah pangkalan tentera laut di Tartus, Syria yang terletak tidak jauh daripada lokasi insiden terhempasnya pesawat F-35B Tentera Udara British itu di Laut Mediterranean.

Pangkalan Laut Russia di Tartus, Syria itu turut menempatkan beberapa buah kapal selam berkuasa diesel dan nuklear serta submarine rescue vessel yang boleh digunakan untuk mencari bangkai pesawat F-35B Tentera Udara British yang terdampar di dasar laut itu.

Russia dikhuathiri telah pun mengerahkan kapal-kapal selamnya untuk mencari bangkai pesawat canggih Barat itu.

Pesawat F-35B
Pesawat F-35B “Lightning” di atas kapal HMS Queen Elizabeth.

 

“Pada ketika ini, ia adalah seperti satu perlumbaan di antara British dan Amerika Syarikat dengan Russia untuk mencari bangkai pesawat F-35B itu yang kini berada di dasar Laut Mediterranean.”

“Russia semestinya amat berminat dengan beberapa teknologi di dalam pesawat itu terutamanya teknologi stealth-nya, manakala pihak British serta Amerika Syarikat mahu memastikan ia tidak jatuh ke tangan pihak musuh,” menurut pemerhati pertahanan kepada akhbar British, Daily Mail.

Selain teknologi halimunan pada pesawat itu, pihak Russia berkemungkinan berminat dengan radar serta sistem penderianya (sensor) yang menjadikan pesawat F-35B itu “halimunan” kepada sistem radar musuh.

Sumber tentera British memberitahu media negara itu bahawa terdapat beberapa negara yang mempunyai kemampuan untuk mengesan bangkai pesawat di dasar laut dan pihak British telah meminta bantuan daripada Amerika Syarikat untuk mengesannya.

Pesawat F-35B

Pasukan mencari Amerika Syarikat yang berada di Sepanyol telah digerakkan ke lokasi kejadian bersama-sama peralatan canggih dipanggil “TPL-25 Towed Pinger Locator System” seberat 30kg yang boleh mengesan signal kecemasan yang dihasilkan oleh pesawat yang terhempas itu.

Usaha mencari bangkai pesawat F-35B di Laut Mediterranean itu turut melibatkan peralatan lain seperti Remote Operated Vehicle (ROV) yang boleh menyelam di kedalaman yang ekstrim.

Pesawat-pesawat dan helikopter tentera British dikerahkan untuk melakukan pemantauan daripada udara untuk memastikan tiada pihak cuba “menyelinap” masuk ke lokasi insiden untuk mencari bangkai pesawat F-35B itu.

Pesawat F-35B

Beberapa hari lepas,Kementerian Pertahanan British mengesahkan sebuah pesawat F-35B miliknya terhempas di Laut Mediterranean sejurus selepas ia berlepas daripada pesawat pengangkut pesawat, HMS Queen Elizabeth yang berada berhampiran.

Juruterbang pesawat malang itu yang berjaya diselamatkan oleh helikopter penyelamat British hanya mengalami kecederaan ringan.

Pesawat F-35B terbabit adalah satu satu daripada lapan pesawat seumpama yang beroperasi di atas kapal HMS Queen Elizabeth bersama-sama 10 buah pesawat yang sama tetapi dioperasikan oleh Kor Marin Tentera Amerika Syarikat.

Kapal HMS Queen Elizabeth itu baru sahaja tiba di Laut Mediterranean selepas pulang daripada misi di Indo-Pasifik.

Tentera British memesan sejumlah 48 buah pesawat pejuang F-35, dengan 24 daripada pesawat itu telah pun diterimanya.

Secara keseluruhannya, pihak British telah menyatakan komitmen untuk membeli sejumlah 138 buah pesawat generasi ke-lima itu daripada syarikat Lockheed Martin.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...