Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

China Tawar Diskaun 30 Peratus Harga Pesawat JF-17 “Thunder”

Tawaran 30 peratus diskaun terhadap pesawat JF-17 itu menunjukkan China sanggup menanggung kerugian semata-mata ia beroleh kelebihan kerana menawarkan pesawat lebih murah berbanding pesawat Tejas yang ditawarkan oleh India.

0 13,498

(DEFENCE SECURITY ASIA) – China dilaporkan bersedia mengurangkan harga pesawat JF-17 “Thunder” yang dibangunkannya bersama Pakistan, sebanyak 30 peratus dalam usahanya untuk memenangi tender Kementerian Pertahanan bagi 18 buah pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Perkara itu didedahkan oleh Pengerusi dan Pengarah Urusan syarikat Hindustan Aeronautics Ltd (HAL) R.Madhavan kepada sebuah akhbar negara itu baru-baru ini.

HAL merupakan syarikat yang bertanggungjawab membangunkan pesawat “Tejas” yang turut bersaing untuk merebut tender Kementerian Pertahanan Malaysia itu.

“Pihak China bersedia mengurangkan harga sehingga 30 peratus terhadap pesawat JF-17 Block III kerana mahu bersaing dengan tawaran pesawat Tejas oleh HAL.”

“Pada diskaun sebanyak 30 peratus, harga bagi sebuah JF-17 Block III yang ditawarkan kepada Malaysia adalah sebanyak US$39.9 juta (RM159.6 juta), lebih murah berbanding pesawat Tejas-Mk1A pada harga US$41.5 juta (RM166 juta) sebuah,”  kata beliau.

JF-17 Thunder

Menurut Madhavan lagi, tindakan China ini menunjukkan ia sanggup menanggung kerugian semata-mata untuk merebut tender daripada Malaysia itu.

Tawaran diskaun 30 peratus itu bermakna China tawar untuk menjual pesawat JF-17 kepada Malaysia tanpa membuat sebarang keuntungan.

Pesawat JF-17 “Thunder” atau FC-1 “Fierce Dragon” dibangunkan secara bersama oleh syarikat Chengdu Aircraft Corporation (CAC) daripada China dan Pakistan Aeronautical Complex (PAC).

Terdapat persaingan yang kuat di antara India dan Pakistan/China di dalam persaingan untuk memikat hati Malaysia untuk memilih pesawat pejuang buatan industri pertahanan tempatan masing-masing.

Sebagaimana yang kita tahu, hubungan di antara India dengan Pakistan serta China sememangnya tidak baik disebabkan beberapa isu terutamanya berkaitan Jammu-Kashmir serta isu sempadan.

Mana-mana negara berjaya memenangi tender Malaysia itu sudah semestinya dicemburui oleh pihak lain.

Tejas
Pesawat FLIT/LCA Tejas oleh Hindustan Aeronautics Ltd (HAL)

 

Pihak HAL dilaporkan telah menawarkan pesawat Tejas Mk-1A (single seater) pada harga US$41.5 juta manakala US$37.6 juta (RM150 juta) untuk pesawat Tejas Mk1 (two-seater trainer)  kepada Malaysia.

Malaysia menurut laporan akhbar terbabit, mahu lapan buah pesawat di dalam configurasi FLIT untuk tujuan latihan lanjutan juruterbang manakala 10 buah di dalam bentuk pesawat pejuang ringan.

Sementara itu Madhavan juga berkata pesawat-pesawat Tejas-Mk1A dan Tejas-Mk1 menepati kesemua spesifikasi yang ditetapkan oleh TUDM termasuk di dalam segi kelengkapan minyak di udara (air-to-air refuelling), peluru berpandu Beyond Visual Range (BVR) dan juga OBOGS (On-Board Oxygen Generating System).

Selain ia bersedia mematuhi permintaan bahawa 30 peratus daripada komponen pesawat itu dibuat dalam negara serta menghantar pesawat yang dipesan dalam tempoh 36 bulan selepas kontrak pembelian ditandatangani.

Keseluruhannya, Malaysia dijangka akan membelanjakan US$900 juta (RM3.6 bilion) untuk mendapatkan 18 buah pesawat FLIT/LCA, dengan anggaran kos per-unit sebuah pesawat pejuang adalah kira-kira US$50 juta.

Negara dijangka memperolehi 18 lagi buah pesawat FLIT/LCA dalam fasa kedua pembeliannya bagi mencukupkan 36 buah itu untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

JF-17 Thunder
Pesawat JF-17 Thunder

 

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...