Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kepentingan Tartus, Khemeimim Dalam Usaha Russia Kekalkan Pemerintahan Bashar al-Assad

Tanpa Tartus dan Khemeimim, pemerintahan Presiden Bashar al-Assad sudah lama tumbang di Syria.

0 2,495

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kemudahan laut Russia di Tartus dan pangkalan udara di Khemeimim, selatan bandar Latakia amat penting bagi kempen tentera Russia di Russia bagi mempertahankan pemerintahan Bashar al-Assad.

Kemudahan laut Russia di Tartus di Laut Mediterranean adalah satu-satunya kemudahan tentera laut Russia di luar negara-negara bekas jajahan Kesatuan Soviet sehinggalah pada akhir tahun lepas.

Tartus

Pada Disember tahun lepas, Russia telah menandatangani perjanjian dengan Sudan yang membenarkan Moscow untuk mewujudkan kemudahan bagi tentera lautnya di Pelabuhan Sudan, sekaligus memberikan Russia tapak di Afrika Utara.

Sebenarnya, kemudahan tentera laut Russia di Tartus, Syria itu telah pun wujud sejak tahun 1971 dibawah perjanjian yang ditandatangani di antara Kesatuan Soviet dengan parti Baath yang memerintah Syria pada ketika itu. Bagaimanapun ketika di era Perang Dingin antara blok Komunis dan Barat, kemudahan “repair and replenishment” tentera laut Soviet di Tartus jarang digunakan walaupun ia dikendalikan sepenuhnya oleh anggota tentera Soviet. Malah, kemudahan di Tartus itu hampir sahaja ditutup sejurus selepas kejatuhan Kesatuan Soviet akibat kekurangan peruntukan kewangan.

Tartus

Bagaimanapun pembabitan Russia dalam konflik di Syria memberi nafas baru kepada kemudahan lautnya di Tartus, dengan ia kini menjadi lokasi persinggahan penting bagi aset-aset laut tentera tentera Russia termasuk kapal-kapal selam berkuasa nuklearnya.

Pada ketika ini dianggarkan di antara 10 hingga 15 buah kapal perang tentera laut Russia berada di dalam kemudahan di Tartu situ atau di perairan sekitarnya.

Malah pada permulaan pembabitan tentera Russia di Syria untuk mempertahankan Bashar al-Assad pada 2015, kapal-kapal perangnya termasuk kapal selam berkuasa nuklear telah melancarkan serangan peluru-peluru berpandu kruis terhadap kedudukan pengganas Daesh dan militant anti-Bashar daripada luar perairan di Tartus.

Malah serangan-serangan peluru berpandu kruis oleh aset-aset laut Russia di luar perairan Tartus masih berlaku sehingga kini, walaupun ia tidak sekerap seperti dahulu.

Menyedari kepentingan Tartus kepada tentera Russia, Presiden Russia Vladimir Putin pada 2017 telah berunding dengan Bashar al-Assad untuk memanjangkan lagi tempoh pajakannya selama 49 tahun lagi.

Tartus

Kini Russia dikatakan bersedia untuk membelanjakan US$50 juta bagi menambah kemudahan di Tartus itu, selain memperuntukkan US$300 juta setiap tahun untuk mengendalikan kemudahan tentera lautnya di Laut Mediterranean itu.

Sementara itu bagi pangkalan udaranya di Khemeimim yang terletak di selatan bandar Latakia pula, Russia menempatkan di antara 30 hingga 40 buah pesawat-pesawat pejuang dan helicopter yang membantu kempen ketenteraannya di Syria.

Dikatakan pesawat pejuang termajunya Su-57 serta UCAV “Okhtonik” turut diletakkan di pangkalan udara Khemeimim itu sebagai sebahagian daripada proses uji nilai yang dijalankan oleh tentera Russia.

Kini Moscow juga mahu membesarkan lagi pangkalan udaranya di Khemeimim dengan membina landasan kedua untuk membolehkannya menempatkan lagi banyak pesawat tenteranya.

Untuk mengetahui secara lebih detail apa yang berlaku di Tartus, Amerika Syarikat kerap kali menghantar pesawat-pesawat pengintipnya seperti P-8 dan lain-lain ke perairan Tartus untuk mengintip.

Khemeimim

Bagaimanapun pesawat-pesawat pengintip sama ada daripada Amerika Syarikat atau negara-negara lain perlu berhati-hati kerana Russia dikatakan telah menempatkan sistem pertahanan udara S-400, Pantsir dan S-300 di Tartus dan Khemeimim.

Russia telah mewujudkan sistem pertahanan udara berlapis (layered) untuk melindungi kepentingannya di Tartus dan Kheimeimim.

Negara itu dikatakan meletakkan sistem anti kapal “Bastion” di Tartus, memberikannya kemampuan untuk membedil sasaran yang cuba menghampiri kemudahan laut milik Russia daripada kedudukan sejauh 350km.

Pegawai-pegawai kanan Russia telah mengeluarkan amaran sama ada kepada Amerika Syarikat atau Israel bahawa Tartus dan Khemeimim adakah “garisan merah” yang tidak boleh dilintasi, yang membawa maksud sebarang serangan terhadap kedua-dua kemudahan tenteranya di Syria itu bakal menyebabkan konflik antara mereka.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...