Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Boeing Yakin Indonesia Terus Beli F-15EX Walau Rundingan Kini “Terumbang-Ambing”

Syarikat Boeing tetap menaruh keyakinan yang tinggi bahawa Indonesia akan meneruskan pembelian pesawat pejuang F-15EX, walaupun rundingan di antara kedua-dua pihak pada ketika ini berada di dalam keadaan terumbang-ambing.

0 3,031

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat Boeing tetap menaruh keyakinan yang tinggi bahawa Indonesia akan meneruskan pembelian pesawat pejuang F-15EX, walaupun rundingan di antara kedua-dua pihak pada ketika ini berada di dalam keadaan terumbang-ambing.

Kedua-dua pihak masih meneruskan rundingan tentang cadangan penjualan pesawat pejuang yang akan dilaksanakan menggunakan kaedah Foreign Military Sales (FMS).

Dilaporkan bahawa delegasi daripada syarikat aeroangkasa Amerika Syarikat baru sahaja mengadakan pertemuan dengan kerajaan Indonesia, tetapi tiada keputusan mengenai pembelian pesawat pejuang berjaya dicapai.

“Kami sedang berusaha untuk memastikan kita menstrukturkan peluang terbaik untuk kesemua pihak yang terlibat,” kata pegawai kanan Boeing Rob Novotny kepada media pertahanan antarabangsa pada Singapore Air Show 2024 yang berlangsung baru-baru ini.

Memandangkan cadangan penjualan F-15EX itu adalah menerusi Foreign Military Sales, maka rundingan turut melibatkan kerajaan Amerika Syarikat, kata beliau.

F-15EX

Antara isu paling utama yang sedang dibincangkan oleh kedua-dua pihak adalah tentang kaedah pembiayaan terhadap pembelian pesawat pejuang yang dipercayai menelan belanja berbillion dollar Amerika.

“Saya masih yakin bahawa pelanggan masih berminat. Pada pendapat saya pesawat F-15EX masih platform terbaik dan diperlukan oleh Indonesia,” kata Novotny.

Bagaimanapun Indonesia dikatakan sedang berhadapan dengan krisis kewangan pada ketika ini, sehingga menyebabkan ia membatalkan pembelian pesawat-pesawar pejuang terpakai Mirage 2000-5 milik Qatar akibat “keterbatasan fiskal.”

Perkara itu disahkan Dahnil Anzar Simanjuntak, yang merupakan jurucakap kepada Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto dalam rancangan Kabar Petang terbitan stesen televisyen TV One baru-baru ini.

“Rancangan pembelian (pesawat pejuang Mirage 2000-5) itu buat sementara waktu ditunda kerana keterbatasan fiskal Indonesia,” menurut beliau ketika ditanya oleh pengacara rancangan itu mengenai keputusan pembelian pesawat pejuang terpakai buatan syarikat Perancis, Dassault Aviation.

Indonesia dilapor bercadang memperolehi sembilan buah pesawat satu tempat duduk Mirage 2000-5 dan tiga buah pesawat pejuang dua tempat duduk yang dianggarkan menelan belanja US$797 juta (RM3.6 bilion).

Pada Ogos tahun lepas, Jakarta dikatakan telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk memperolehi sehingga 24 buah pesawat pejuang F-15EX.

MoU itu telah ditandatangani di kilang Boeing di St. Louis, Missouri yang menghasilkan pesawat F-15 dan pesawat-pesawat pejuang yang lain sambil disaksikan oleh Prabowo.

F-15EX

Pada Februari 2022, US Defense Cooperation Security Agency (DSCA) mengumumkan bahawa ia telah meluluskan potensi Foreign Military Sales (FMS) bernilai US$13.9 (RM62. 5 bilion) untuk membekalkan Indonesia dengan 36 buah pesawat pejuang F-15ID, yang adalah sama seperti F-15EX milik Amerika Syarikat.

Pakej asal pembelian pesawat pejuang F-15 itu akan melihat Indonesia memperolehi enjin GE Aviation F100 or Pratt & Whitney F110, Raytheon Intelligence & Space AN/APG-82(v)1 radar active electronically scanned array (AESA) dan pelbagai peralatan serta komponen lain.

Bulan lepas, Indonesia telah memuktamadkan proses perolehan 18 buah lagi pesawat pejuang Rafale buatan syarikat Dassault Aviation daripada Perancis, menjadikan keseluruhan pesawat yang telah dimuktamadkan pembeliannya oleh negara Asia Tenggara itu kepada 42 buah.

Pemuktamadan proses perolehan 18 buah pesawat pejuang itu menyusuli proses yang sama pada Ogos tahun lepas untuk 18 buah pesawat dan pada Sept 2022 untuk perolehan enam buah pesawat, menjadikan keseluruhan pesawat pejuang Rafale diperolehi Indonesia sebanyak 42 buah.

Perolehan 42 buah pesawat Rafale oleh Jakarta itu dianggarkan menelan belanja RM32 bilion. — DSA

(READ MORE: BACA TENTANG PESAWAT PEJUANG F-15EX)

Notis

Comments
Loading...