Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Indonesia Peroleh Atmaca Dari Turki, Kini Intai Peluru Berpandu YJ-12E Dari China Pula

Tidak cukup dengan perolehan peluru berpandu anti-kapal “Atmaca” daripada Turkiye itu, terdapat juga laporan menyatakan bahawa Indonesia telah menunjukkan minat untuk memperolehi sistem peluru berpandu pesisir pantai YJ-12E buatan China.

0 3,657

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Indonesia telah memberikan kontrak kepada syarikat tempatannya, PT Republik Defensindo untuk memperolehi 45 buah peluru berpandu anti-kapal ‘Atmaca” buatan syarikat Roketsan daripada Turkiye.

Selari dengan itu, Jakarta muncul sebagai negara luar Turkiye yang menggunakan peluru berpandu anti-kapal itu.

Turkiye membangunkan peluru berpandu anti-kapal “Atmaca” untuk mengurangkan kebergantungannya terhadap peluru berpandu anti-kapal “Harpoon” buatan Amerika Syarikat.

Malah sebagaimana yang telah dilaporkan oleh Defence Security Asia semalam, buat pemulaan Turkiye akan melengkapkan 12 buah kapal perangnya dengan peluru berpandu anti-kapal “Atmaca” dan usaha menggantikan peluru berpandu anti-kapal “Harpoon” itu akan diperluaskan ke platform-platform lain.

Peluru berpandu anti-kapal “Atmaca” seberat 750kg dan dipandu oleh sistem Inertial Navigation System (INS) dan Global Positioning System (GPS) berkeupayaan membedil sasaran sejauh 220km.

Tidak cukup dengan perolehan peluru berpandu anti-kapal “Atmaca” daripada Turkiye itu, terdapat juga laporan menyatakan bahawa Indonesia telah menunjukkan minat untuk memperolehi sistem peluru berpandu pesisir pantai YJ-12E buatan China.YJ-12

Sistem peluru berpandu pesisir pantai YJ-12E buatan China itu adalah sistem yang sama sebagaimana Brahmos buatan India yang diperolehi oleh Filipina dan juga Naval Strike Missile yang dibangunkan oleh firma pertahanan Kongsberg daripada Norway.

Sistem peluru berpandu pesisir pantai YJ-12E merupakan varian eksport kepada peluru berpandu YJ-12B yang digunakan oleh tentera China dan adalah varian kepada peluru berpandu YJ-12 yang digunakan secara meluas oleh negara kuasa besar Asia itu.

Memiliki kelajuan Mach 3, peluru berpandu YJ-12E itu dipandu oleh sistem BeiDou dan active radar seeker.

Bukan sahaja Indonesia bercadang memperolehi sistem peluru berpandu pesisir pantai YJ-12E itu, tetapi agensi kajian dan pembangunan pertahanan negara itu juga bercadang untuk menghasilkan komponen atau keseluruhan peluru berpandu itu dalam negara.

Menurut akhbar nasionalis China, Global Times,  sistem peluru berpandu pesisir pantai YJ-12E itu memiliki kelajuan dan keupayaan untuk menembusi sistem pertahanan udara musuh, sekaligus membedil sasarannya.

ATMACA
Peluru berpandu anti-kapal “ATMACA”.
Atmaca
Peluru berpandu anti-kapal “Atmaca” dibangunkan oleh syarikat Roketsan dan Aselsan.

 

“Memperolehi senjata buatan China berkemungkinan bukan untuk tujuan memodenkan angkatan tentera sesebuah negara, tetapi lebih kepada sebagai langkah politik seolah-olah suatu jaminan kepada China bahawa Indonesia bukanlah ancaman terhadapnya,” menurut seorang penganalisis serantau kepada akhbar South China Morning Post.

Beliau memberikan contoh Malaysia yang bertindak memperolehi empat buah kapal peronda kelas-Keris daripada China sebagai salah satu usaha dan komitmen untuk menangani pencerobohan di kawasan maritimnya tetapi tanpa dilihat seperti mencabar Beijing.

Bagaimanapun ramai juga yang mempersoalkan cadangan Indonesia untuk memperolehi sistem persenjataan daripada China memandangkan Beijing dan Jakarta mempunyai pertikaian tentang wilayah bertindih di Laut China Selatan terutamanya di sekitar Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) yang kaya dengan sumber minyak dan gas di Kepulauan Natuna. — DSA

To contact email: lulwabyadah@gmail.com 

Comments
Loading...