Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Indonesia Muktamad Proses Perolehan 42 Buah Pesawat Pejuang Rafale

Pemuktamadan proses perolehan 18 buah pesawat pejuang itu menyusuli proses yang sama pada Ogos tahun lepas untuk 18 buah pesawat dan pada Sept 2022 untuk perolehan enam buah pesawat, menjadikan keseluruhan pesawat pejuang Rafale diperolehi Indonesia sebanyak 42 buah.

0 6,451

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Indonesia telah memuktamadkan proses perolehan 18 buah lagi pesawat pejuang Rafale buatan syarikat Dassault Aviation daripada Perancis, menjadikan keseluruhan pesawat yang telah dimuktamadkan pembeliannya oleh negara Asia Tenggara itu kepada 42 buah.

Pemuktamadan proses perolehan 18 buah pesawat pejuang itu menyusuli proses yang sama pada Ogos tahun lepas untuk 18 buah pesawat dan pada Sept 2022 untuk perolehan enam buah pesawat, menjadikan keseluruhan pesawat pejuang Rafale diperolehi Indonesia sebanyak 42 buah.

Perolehan 42 buah pesawat Rafale oleh Jakarta itu dianggarkan menelan belanja RM32 bilion.

“Dalam memilih pesawat pejuang Rafale, Indonesia telah memilih alatan yang unik untuk kedaulatan dan kebebasan operasional yang akan mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai kuasa serantau.”

“Pilihan ini (pesawat pejuang Rafale) juga mengukuhkan kerjasama industri dan akademik. Kami amat komited dalam menjadikan kerjasama ini berjaya dengan visi jangka panjang,” kata pengerusi dan ketua pegawai eksekutif Dassault Aviation, Eric Trappier.

Indonesia dan Perancis menandatangani perjanjian perolehan 42 buah pesawat pejuang Rafale diperbuat Dassault Aviation pada awal tahun 2022.

rafale

Majlis menandatangani kontrak perolehan 42 buah jet pejuang Rafale itu berlangsung di Jakarta membabitkan Pengerusi Dassault Aviation dan Kementerian Pertahanan Indonesia yang turut disaksikan oleh Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto.

Menurut Menteri Pertahanan Perancis pada ketika itu Florence Parly, perolehan pesawat Rafale itu adalah kerjasama strategik antara kedua-dua negara dan akan memberikan faedah kepada hubungan pertahanan Paris-Jakarta.

Beliau juga berkata bahawa Perancis berbangga kerana terpilih untuk memberi sumbangan kepada permodenan Indonesia yang memainkan peranan penting dalam ASEAN serta Indo-Pasifik.

“Kejayaan eksport terbaharu ini merupakan khabar baik kepada ribuan jurutera serta pekerja yang terlibat dalam menghasilkan Rafale,

“Penghasilan jet pejuang ini melibatkan lebih 400 syarikat kecil dan sederhana,” kata beliau pada ketika itu.

Tidak dapat dinafikan pesawat-pesawat pejuang Rafale amat hangat seperti “goreng pisang panas” dengan satu demi satu pembelinya.

Rafale

Bagaimanapun, usaha memasarkan pesawat pejuang Rafale kepada pelanggan bermula agak perlahan selepas ia memasuki perkhidmatan tentera Perancis pada 2004.

Bagaimanapun “nasib malang” yang menimpa pesawat Rafale itu mula berubah pada tahun 2015 selepas Mesir dan Qatar membeli pesawat itu untuk kegunaan tentera udaranya.

Pada tahun 2015 itu, Qatar membeli 36 buah pesawat Rafale manakala Mesir sebanyak 24 buah pesawat pejuang itu sebelum menambah pembelian 30 lagi buah pesawat pejuang itu pada tahun lepas.

Selepas Mesir dan Qatar, negara-negara lain yang turut mengambil keputusan untuk mendapatkan pesawat pejuang Rafale adalah Greek, Croatia, India dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Secara keseluruhannya, Dassault Aviation sehingga kini telah menerima pesanan untuk kira-kira 300 buah Rafale dengan pesanan terbanyak diterima oleh UAE dengan 80 buat pesawat. — DSA

CLICK FOR DEFENCE  SECURITY ASIA APPS
Any enquiries can email: lulwabyadah@gmail.com

 

Comments
Loading...