Pesawat Pengebom B-52 Bakal Teruskan Khidmatnya Sehingga Ke Usia 100 Tahun
Jika pesawat B-52 itu berjaya dilanjutkan usianya ke tahun 2052 sebagaimana dirancang, maka ia bakal menjadi pesawat kombat pertama yang berkhidmat aktif di dalam mana-mana tentera udara secara berterusan selama 100 tahun.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Udara Amerika Syarikat bercadang menaiktaraf pesawat pengebom strategiknya, B-52 “Stratofortress” bagi membolehkan pesawat pengebom yang memasuki perkhidmatan pada 1952 di awal era Perang Dingin itu terus menabur bakti untuk Uncle Sam sehingga usianya mencecah 100 tahun pada tahun 2052.
Jika pesawat B-52 itu berjaya dilanjutkan usianya kepada 2052 sebagaimana dirancang, maka ia bakal menjadi pesawat kombat pertama yang berkhidmat aktif di dalam mana-mana tentera udara secara berterusan selama 100 tahun.
Sebenarnya usaha untuk “melanjutkan” lagi usia pesawat pengebom utama itu sudah dicadangkan sejak beberapa tahun ini bagi memastikan ia dapat melaksanakan tugasannya dalam peperangan moden.
Ia juga untuk memastikan pesawat pengebom B-52 itu mampu membawa sistem persenjataan yang jauh lebih moden.
“Pesawat B-52 telah dan akan terus menjadi sebahagian daripada komponen kepada triad nuklear,” menurut kenyataan daripada Global Strike Command Tentera Udara Amerika Syarikat yang bertanggungjawab menentukan operasi pengeboman strategik dan jarak jauh.
Pengarah Kanan Program Pengebom Boeing Jennifer Wong berkata kepada sebuah laman web pertahanan antarabangsa berkata, Tentera Udara Amerika Syarikat bercadang mengekalkan khidmat pesawat B-52 menerusi beberapa usaha peningkatan keupayaan.
Antara peningkatan keupayaan itu melibatkan penggantian enjinnya, pemodenan sistem radar pesawat dan satelit berfrekuensi tinggi.
Baru-baru ini, disahkan bahawa pesawat pengebom B-52 akan dilengkapkan dengan radar AESA yang sama sebagaimana digunakan oleh pesawat-pesawat F/A-18E/F Super Hornet iaitu Raytheon AN/APG-79.

Radar AESA itu akan memberikan pesawat B-52 kemampuan yang lebih dalam mengesan sasaran daratan, pengesan sasaran, jarak dan lain lagi.
Kelapan-lapan enjin pesawat B-52 itu juga akan diganti daripada enjin Pratt & Whitney TF33 yang telah berusia dengan varian enjin Rolls-Royce F130.
Comments are closed.