MA Analytics Hasrat Perkenal “Yavuz SPH” Pada Tentera Darat
Ketua Pegawai Eksekutif MA Analytics Sdn Bhd Rasyad Anwar berkata Memorandum Persefahaman ditandatangani dengan MKE dan dua syarikat Turki lain Ogos tahun lepas bermatlamat meningkatkan industri pertahanan negara terutamanya sistem artileri dan pelbagai sistem persenjataan lain.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Bertempat di International Defence Industry Fair (IDEF) di Turki pada Ogos tahun lepas, syarikat tempatan MA Analytics Sdn Bhd telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan gergasi industri pertahanan Turki, Makine ve Kimya Endüstrisi A.Ş (MKE) serta dua syarikat negara Mediterranean itu yang lain.
MKE merupakan syarikat milik penuh kerajaan Turki dimana 100 peratus pemegang sahamnya adalah Kementerian Pertahanan Turki manakala pengerusinya adalah Timbalan Menteri Pertahanan Turki.
MKE turut memegang 50 peratus saham di dalam Roketsan.
Bercakap kepada Defence Security Asia, Ketua Pegawai Eksekutif MA Analytics Rasyad Anwar berkata MoU yang ditandatangani dengan MKE dan dua syarikat Turki lain pada Ogos tahun lepas itu bermatlamat meningkatkan industri pertahanan negara terutamanya sistem artileri dan pelbagai sistem persenjataan lain.
“Menerusi usahasama ini juga, MKE dan MA Analytics berhasrat memperkenalkan sistem Yavuz SPH kepada Tentera Darat Malaysia. Yavuz 155mm SPH merupakan antara sistem artileri terkini yang canggih dan moden,” katanya.
Menurut Rasyad lagi, sistem Yavuz SPH ini turut mempunyai keupayaan tembakan Multiple Round Simultaneous Impact (MRSI).
Keupayaan MRSI ini penting bagi mengelirukan pihak musuh di mana tiga hingga enam tembakan dapat dihasilkan daripada pelbagai sudut dongakan dalam masa 60 saat.
Sistem Yavuz SPH ini juga mempunyai kadar mobiliti yang tinggi di mana ia telah dihasilkan di atas platform kenderaan 6×6 MAN dari Jerman yang mampu membawa muatan sehingga 32 tan.
Sistem artileri bergerak ini juga dilengkapi dengan sistem elektronik dan sistem kawalan penembakan daripada Aselsan.
Sistem kawalan penembakan Yavuz mampu diintegrasikan bersama Unmanned Air Vehicle (UAV) yang berfungsi untuk mendapatkan koordinat sasaran dengan lebih tepat dan pantas disamping bagi membuat “battle damage assessment”.
Comments are closed.