China Tawar Sistem Pertahanan Udara Jarak Sederhana LY-08 (HQ-16) Pada Malaysia ??

Pertemuan strategik CGWIC dengan Kementerian Pertahanan Malaysia isyaratkan minat untuk bekalkan sistem LY-08/HQ-16, di tengah persaingan sengit pasaran MERAD serantau.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Menerusi posting media sosial pada 8 Ogos yang lalu, sebuah syarikat China nampaknya berminat untuk menawarkan sistem pertahanan udara jarak sederhana (Medium Range Air Defence System – MERAD) keluaran mereka untuk memenuhi keperluan Kementerian Pertahanan.

Syarikat yang dimaksudkan itu adalah China Great Wall Industry Corporation yang telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali baru-baru ini.

Turut bersama pertemuan itu adalah syarikat tempatan IDC Technologies Sdn Bhd, diketuai pengarah urusannya Datuk Saiful Izhar Senawi.   

Ditubuhkan pada tahun 1980, China Great Wall Industry Corporation (CGWIC) merupakan satu-satunya organisasi komersial yang diberi kuasa oleh kerajaan China untuk menyediakan perkhidmatan pelancaran komersial, sistem satelit serta menjalankan kerjasama teknologi angkasa lepas.

Syarikat ini adalah subsidiari kepada China Aerospace Science and Technology Corporation (CASC).

LY-08
LY-08 (HQ-16)

“Pertemuan ini membuka ruang perbincangan strategik melibatkan kerjasama teknologi, pemindahan kepakaran serta potensi pelaburan dalam sektor pertahanan khususnya pembangunan satelit serta peluru berpandu jarak dekat dan jarak sederhana.”

“Kementerian Pertahanan sentiasa menyokong usaha memperkukuh jaringan antarabangsa dalam memperkasa industri pertahanan negara,” menurut posting media sosial Kementerian Pertahanan pada 8 Ogos itu.

Pada pertemuan itu wakil syarikat China Great Wall Industry Corporation telah menyampaikan model sistem pertahanan udara jarak sederhana LY-08 atau bagi varian eksportnya dikenali sebagai HQ-16 kepada Ketua Setiausahana Kementerian Pertahanan.

Adakah ia bermaksud syarikat China itu akan menyertai tender antarabangsa bagi sistem pertahanan udara jarak sederhana sekiranya ia dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan?

Apakah Sistem Pertahanan Udara Jarak Sederhana LY-08

LY-80 ialah varian eksport kepada sistem peluru berpandu permukaan-ke-udara jarak sederhana HQ-16 yang dibangunkan oleh industri aeroangkasa China untuk memberikan perlindungan jarak sederhana terhadap pelbagai ancaman udara, termasuk pesawat pejuang, UAV dan peluru berpandu kruis.

Sistem ini membentuk elemen penting dalam pertahanan udara berlapis dan telah dioperasikan oleh beberapa negara, termasuk Pakistan di bawah konsep Low to Medium Altitude Air Defence (LOMADS).

LY-80 direka sebagai sistem bergerak sepenuhnya, membolehkan unit bertindak balas pantas, berpindah lokasi selepas menembak (shoot-and-scoot), serta bertahan dalam persekitaran peperangan elektronik.

KM-SAM
“KM-SAM”

Bateri tipikal menggabungkan kenderaan radar pencarian, kenderaan kawalan dan panduan (C2/engagement radar), serta beberapa kenderaan pelancar yang membawa tiub peluru berpandu siap-lancar.

Reka bentuk modular ini membolehkan kawalan beberapa pelancar dalam satu rangkaian dan koordinasi dengan sistem pertahanan udara lain dalam rangka IADS.

Prestasi & Parameter Utama

  • Jangkauan tembakan: sekitar 40–70 km bergantung pada varian dan profil sasaran; versi terkini HQ-16B dilapor melebihi 70 km.
  • Ketinggian sasaran: sehingga sekitar 20,000 m.
  • Kebarangkalian bunuh (single-shot): sekitar 85 peratus terhadap pesawat dan 60 peratus terhadap peluru berpandu jelajah.
  • Masa penyediaan: sekitar 12–15 minit dari berhenti ke sedia tembak.

Komponen Sistem

  1. Radar Pencarian (contoh: IBIS-150) – Mengesan dan menjejak sasaran pada jarak ratusan kilometer, menyediakan penugasan sasaran kepada radar panduan dan pusat kawalan tembakan.
  2. Kenderaan Kawalan & Panduan – Mengurus gambaran udara tempatan, membuat pengagihan sasaran, dan memacu pautan data/pemerintahan kepada peluru berpandu ketika fasa pertengahan dan terminal.
  3. Kenderaan Pelancar Bergerak – Setiap pelancar lazimnya membawa enam peluru berpandu dalam bekas tiub (canister) tertutup, membolehkan pelancaran selamat dan reload pantas dari kenderaan pengangkut peluru berpandu.

Peluru berpandu LY-80/HQ-16 menggunakan gabungan panduan arahan radio/pautan data pada fasa pertengahan dan panduan terminal radar aktif atau separa aktif (bergantung pada varian), bagi meningkatkan rintangan terhadap gangguan EW dan memastikan kebolehpercayaan pencegatan ke atas sasaran bermanuver tinggi.

 Evolusi keluarga HQ-16 menunjukkan peningkatan jangkauan dan keupayaan pemprosesan sasaran, dengan varian eksport mengekalkan prestasi jarak sederhana untuk keseimbangan kos-keupayaan.

Platform pelancar serta radar dipasang pada kenderaan 6×6 atau 8×8 off-road, membolehkan pergerakan pantas antara lokasi tembak dan lokasi lindung, serta integrasi dengan rangkaian komunikasi taktikal.

Ciri seperti sistem inflasi tayar terpusat, kelajuan tinggi di jalan raya, dan jarak operasi yang panjang menyokong keperluan tembak-bergerak-sembunyi untuk kelangsungan tempur.

Dalam doktrin pertahanan udara moden, LY-80 mengisi jurang antara sistem jarak dekat (SHORAD) dan sistem jarak jauh (teater).

Ia memberikan payung pertahanan zon untuk formasi darat, infrastruktur kritikal, dan pusat kawalan, serta berfungsi sebagai lapisan yang mengganggu kebergantungan musuh kepada ISR, AEW, dan pesawat tanker.

Pengguna seperti Pakistan mengintegrasikan LY-80 dengan radar pengawasan jarak jauh, sistem SHORAD, dan pemintas jarak jauh bagi membina rangkaian IADS (Intergrated Air Defence System) yang berdaya tahan.

Operator Semasa

Setakat ini, negara yang diketahui mengoperasikan sistem LY-80 (HQ-16) termasuk:

  • China – Mengoperasikan versi HQ-16 untuk kegunaan Tentera Darat dan Tentera Laut (HHQ-16).
  • Pakistan – Mengoperasikan LY-80 dalam perkhidmatan Tentera Darat di bawah sistem LOMADS.
  • Myanmar – Dilaporkan memperoleh HQ-16 untuk meningkatkan keupayaan pertahanan udaranya.
  • Bangladesh – Dikaitkan dengan perolehan HQ-16 untuk memperkukuh pertahanan udara jarak sederhana.
  • Turkmenistan – Dikenali sebagai salah satu pengguna eksport HQ-16.

Laporan sebelum ini menyatakan bahawa Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah membuat permohonan untuk memperolehi satu bateri Sistem Misil Pertahanan Udara Jarak Sederhana (MERAD – Medium Range Air Defence) dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) tetapi tidak menjadi kenyataan.

Harapan kini adalah untuk melihat perolehan sistem pertahanan udara jarak sederhana semasa RMK13 yang baru sahaja dilancarkan.

Dalam perancangan pembangunan CAP55 TUDM, ia telah menggariskan perolehan sehingga empat buah bateri sistem pertahanan udara jarak sederhana (MERAD) bermula dariada Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-25) hingga RMK-15 (2035-2040).

Perolehan sistem MERAD itu adalah untuk mengukuhkan sistem pertahanan udara negara yang pada ketika ini hanya bergantung kepada beberapa sistem pertahanan udara jarak dekat seperti Igla, FN6, Rapier, Jernas dan Starstreak.

Sebelum ini terdapat juga laporan menyaakan sistem MERAD yang sedang cuba dipromosi oleh Korea Selatan kepada Malaysia itu dikenali dengan nama “KM-SAM” atau yang juga dikenali dengan nama Koreanya, “Cheongung” atau Cheolmae II.

 Satu ciri yang menarik mengenai sistem pertahanan udara jarak sederhana KM-SAM  adalah ianya merupakan satu-satunya sistem MERAD yang mempunyai sentuhan DNA teknologi dari kedua-dua Blok Barat dan Rusia.

a adalah sistem pertahanan udara jarak sederhana Korea Selatan yang dibangunkan oleh firma pertahanan LIG Nex1 Agency for Defense Development (ADD) dengan bantuan teknikal daripada firma Russia, Almaz-Antey yang terkenal dengan pembangunan sistem pertahanan udara S-300,S-400 dan terkini, S-500.

Turut sama membangunkan sistem pertahanan udara itu adalah Hanwha Systems yang membangunkan sistem radarnya dan Hanwha Aerospace pula membekalkan kenderaan pelancarnya.

Sistem KM-SAM dibangunkan oleh Korea Selatan berinspirasikan sistem-sistem pertahanan udara yang telah dibangunkan oleh firma pertahanan terkenal Russia, Almaz-Antey seperti S-300 dan S-400.

Komposisi standard sistem KM-SAM mengandungi sebuah Fire Control Centre (FCC), sebuah Multifunction Radar (MFR) dan beberapa Transporter Erector Launcher (TEL) yang boleh membawa sehingga lapan buah peluru berpandu bagi sistem terbabit.

Radar 3D Pelbagai Fungsi Passive Electronically Scanned Array (PESA) X-Band sistem KM-SAM itu berkemampuan mengesan sasaran sejauh 100km dan track sebanyak 40 sasaran secara serentak.

Sistem pertahanan udara jarak sederhana KM-SAM boleh membedil sasaran udara setinggi 15km (49,000 kaki) pada jarak sejauh 40 km.

Selain Arab Saudi, UAE dan Iraq juga dilaporkan telah menjadi pelanggan kepada sistem pertahanan udara jarak sederhana buatan Korea Selatan, KM-SAM Block II (varian terkini KM-SAM).

Sebagaimana dilaporkan oleh media pertahanan antarabangsa, Arab Saudi dikatakan telah menandatangani kontrak bernilai US$3.2 billion (RM15.25 billion)  pada November 2023 untuk memperolehi sistem pertahanan udara jarak sederhana itu.

Pembelian oleh Arab Saudi mengukuhkan lagi kedudukan Korea Selatan sebagai negara pembekal senjata utama dunia selepas Amerika Syarikat, Russia dan Eropah.

Keputusan Riyadh untuk memperolehi sistem pertahanan udara jarak sederhana buatan Korea Selatan itu hanya diketahui baru-baru ini ketika Arab Saudi menjadi penganjur pameran pertahanan, World Defense Show 2024.

Negara Arab yang kaya dengan sumber minyak itu dilaporkan memperolehi 10 buah sistem pertahanan udara jarak sederhana itu, mengikuti jejak langkah negara jirannya, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang turut memperolehi sistem yang sama bernilai US$3.5 bilion (RM16.68 bilion) pada Janurai 2022.

– DEFENCE SECURITY ASIA

alamat

 

Leave a Reply