Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[VIDEO] Syarikat Malaysia Jalin Kerjasama Dengan Tiga Syarikat Pertahanan Turki

Ketiga syarikat tersebut adalah, Makina Kimya Endustrisi Kurumu (MKE), Katmerciler dan IVEO Defence.

0 3,851

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Syarikat pertahanan Malaysia, MA Analytics Sdn Bhd telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama tiga syarikat pertahanan Turki bagi bekerjasama untuk memajukan lagi industri pertahanan negara.

Ketiga syarikat tersebut adalah, Makina Kimya Endustrisi Kurumu (MKE), Katmerciler dan IVEO Defence.

Dalam kenyataan hari ini, MA Analytics berkata MoU itu bakal menyaksikan penglibatan gergasi pertahanan berkenaan untuk bertapak secara rasmi di Malaysia.

Antara kandungan MoU yang telah dipersetujui adalah kerjasama meliputi sistem persenjataan, artileri dan kereta perisai, selain bersetuju untuk bersama-sama terlibat dalam mereka cipta, pembinaan dan pembekalan alatan persenjataan, artileri dan kereta perisai di Malaysia.

“Syarikat-syarikat Turki akan memberikan bantuan teknikal dan perundingan, pembekalan bahan dokumentasi, teknologi, lesen, “know-how” dan peralatan, pembaikan, modernisasi dan bantuan selepas jualan kepada Malaysia dan usaha sama dalam bidang-bidang lain mengikut perundangan kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.

MoU itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MA Analytics Rasyad Anwar, CEO MKE Yasin Akdere, Timbalan Pengerusi Katmerciler, Mehmet Katmerci dan CEO IVEO Defence Gokhan Erturan.

Menurut MA Analytics, Turki terkenal sebagai negara yang sedia berkongsi pengetahuan dan teknologi menerusi program pindahan teknologi setiap kali pembelian ketenteraan dijalankan.

Katanya, kerjasama itu akan mengurangkan kebergantungan terhadap negara luar menerusi pelbagai kursus yang akan dilaksanakan selain meningkatkan peluang pekerjaan terutamanya kepada veteran tentera.

“MA Analytics juga sedang merancang menjalinkan kerjasama dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan beberapa syarikat berkaitan kerajaan supaya manfaat daripada MoU ini dapat memberikan impak secara maksimum,” menurut kenyataan itu.

MKE memiliki lebih 10 kilang pembuatan senjata dan peralatan ketenteraan dan pekerja sebanyak 5,000 orang terlibat di dalam pembuatan peluru, senjata kecil dan berat, sistem artileri, bom, bahan letupan dan roket.

MA Analytics

MKE juga merupakan pembekal utama perbagai peralatan ketenteraan kepada Angkatan Pertahanan Turki dan turut
mengeksport alatannya kepada lebih 40 negara di serata dunia.

Antara produk terkenal MKE adalah sistem meriam beroda (self propelled howitzer) “MKE Yavuv “ 155mm 52 Cal berasaskan kepada kenderaan beroda BMC 6×6 10 tan. Selain itu syarikat juga membekalkan meriam 155mm 52 Cal kepada sistem “Firtina.”

Syarikat Katmerciler telah ditubuhkan pada tahun 1985 merupakan syarikat inovatif dan pelopor syarikat kenderaan berat di Turki dengan pengalaman melebihi 30 tahun.

Katmerciler mempunyai lebih 30 jenis produk kenderaan berat di bawah satu entiti.

IVEO Defence pula merupakan syarikat swasta yang berpusat di Ankara, Turki. IVEO merupakan syarikat yang mereka cipta dan memproses produk dan sistem yang inovatif di dalam bidang elektronik dan elektromekanik.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...