Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Selepas TUDM, PUTD Juga Akan Diberikan Helikopter Sewa?

Pada ketika ini “cakap-cakap” dikalangan pemerhati pertahanan dalam negara serta blog-blog pertahanan tempatan adalah Kementerian Pertahanan “terbuka kepada cadangan” untuk menyewa helikopter daripada pihak swasta berkemungkinan di bawah konsep GOCOM juga untuk kegunaan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).

0 6,203

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Konsep menyewa peralatan tentera untuk kegunaan angkatan tentera semakin diminati oleh Kementerian Pertahanan kerana selepas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menyewa empat buah helikopter Leonardo AW139, terdapat spekulasi mengatakan cabang udara tentera darat juga bakal menyewa helikopter untuk kegunaan anggotanya.

Terma yang betul untuk konsep sewaan peralatan tentera ini adalah GOCOM (Government Operate, Company Own and Maintain).

Pada ketika ini “cakap-cakap” dikalangan pemerhati pertahanan dalam negara serta blog-blog pertahanan tempatan adalah Kementerian Pertahanan “terbuka kepada cadangan” untuk menyewa helikopter daripada pihak swasta berkemungkinan di bawah konsep GOCOM juga untuk kegunaan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).

AW139
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berada di dalam helikopter AW139 di Pangkalan TUDM Butterworth, hari ini. (gambar kredit FB Hishammuddin)

 

Sebelum ini PUTD telah mengoperasikan empat buah helikopter Nuri daripada 12 yang sepatut diterimanya daripada TUDM untuk kegunaan utiliti tentera darat.

Bagaimanapun apabila kerajaan memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan helikopter Nuri itu, PUTD juga terpaksa menamatkan perkhidmatan empat buah helikopter terbabit yang sedang dioperasikannya.

Pada ketika ini, PUTD tidak memiliki sebarang helikopter utiliti untuk membantunya menjalankan tugas bagi tentera darat dan terpaksa bergantung sepenuh pada helikopter H225M (EC725) milik TUDM.

Oleh kerana itulah terdapat keperluan untuk sewaan empat buah helikopter sederhana bagi PUTD ketika ini sebagai langkah sementara sebelum Kementerian Pertahanan melakukan perolehan sejumlah helikopter baru untuk PUTD.

H225M
Helikopter Airbus H225M (EC 725) milik Tentera Udara Diraja Malaysia.

 

Dikatakan beberapa syarikat tempatan yang terlibat dalam perniagaan sewaan helikopter dalam “keadaan siap-sedia” untuk menawarkan helikopter mereka sebagaimana yang berlaku ketika proses sewaan empat buah helikopter AW139 untuk TUDM.

 Empat buah helikopter Leonardo AW 139 untuk kegunaan TUDM itu disewa daripada syarikat Westar Aviation Services Sdn Bhd.

Kontrak sewaan helikopter ini adalah sebahagian daripada perancangan TUDM melalui pelan strategiknya, Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM atau RMAF Capability Development Plan 2055 (RMAF CAP55) serta digariskan dalam RMK-13 (2026-2030) bagi menggantikan operasi helikopter Nuri.

PUTD
Helikopter Agusta A109 milik PUTD.

 

Ia merupakan kaedah jangka pendek yang dilaksanakan secara sewaan (leasing).

Pada masa ini, sebanyak tiga buah helikopter AW 139 yang disewa telah pun diterima manakala sebuah helikopter lagi dijadualkan akan diterima pada bulan Mei 2022.

Tindakan Kementerian Pertahanan menyewa empat buah helikopter Leonardo AW 139 daripada syarikat swasta itu merupakan  langkah sementara sebelum angkatan itu memperolehi  24 helikopter baru bagi menggantikan helikopter S-61 “Nuri” yang telah dibersarakan di atas faktor usia.

Nuri

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Menurut TUDM dalam posting dalam media sosialnya baru-baru ini, helikopter AW 139 ini akan beroperasi di bawah kendalian No. 3 Skuadron yang sebelum ini merupakan skuadron yang mengoperasikan pesawat helikopter Nuri.

TUDM dijangka melakukan perolehan 24 buah helikopter baru bermula pada Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) pada tahun 2026-2030 sehingga RMK-14 bermula pada tahun 2031 hingga 2035. —  DSA

 

Comments
Loading...