Greek Dakwa Turkiye Akan Reverse Engineer Peluru Berpandu METEOR Untuk Bangun GOKHAN

Sumber memberitahu akhbar Greek, Kathimerini bahawa industri pertahanan Turkiye menerusi kaedah reverse engineering akan menganalisis dan akhirnya meniru elemen struktural dan operasional peluru berpandu udara-ke-udara METEOR untuk membangunkan GOKHAN keluaran tempatan.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sumber-sumber pertahanan Greek mendakwa Turkiye bercadang menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh METEOR yang bakal diperolehinya untuk membangunkan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh keluaran tempatan dinamakan, GOKHAN.
Sumber memberitahu akhbar Greek, Kathimerini bahawa industri pertahanan Turkiye menerusi kaedah reverse engineering akan menganalisis dan akhirnya meniru elemen struktural dan operasional peluru berpandu udara-ke-udara METEOR untuk membangunkan GOKHAN keluaran tempatan.
Peluru berpandu udara-ke-udara GOKHAN keluaran tempatan sedang menjalani pelbagai ujian, dengan laporan menyatakan bahawa peluru berpandu jarak jauh yang turut digelar “METEOR Turkiye” dibangunkan untuk kegunaan pesawat pejuang generasi kelima Turkiye, KAAN.
Greek mendakwa bahawa rekabentuk kedua-dua peluru berpandu itu, METEOR dan GOKHAN adalah hampir sama.
Bagaimanapun,peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh keluaran Turkiye itu mempunyai sayap (fin) yang lebih kecil, menunjukkan ia direkabentuk untuk diletakkan di dalam internal weapon bays sebagaimana yang terdapat pada pesawat pejuang generasi kelima.
Türkiye dijangka akan menguji peluru berpandu udara-ke-udara GÖKHAN yang dipacu ramjet dalam beberapa bulan akan datang, menandakan pencapaian besar dalam keupayaan teknologi pertahanan negara itu.
“KAAN”
Dengan jarak kinetik melebihi 200km dan zon “no escape” sejauh 100km, seperti yang dinyatakan oleh Agensi Penyelidikan Pertahanan Türkiye (TÜBİTAK-SAGE), peluru berpandu GÖKHAN telah dibangunkan sejak 2021 sebagai sistem persenjataan berpanduan radar aktif.
Ia direka untuk memberikan kelebihan taktikal kepada pesawat tempur siluman generasi kelima KAAN, membolehkan Türkiye bersaing dengan kuasa udara paling maju di dunia.
Sistem pendorongan ramjet pada GÖKHAN memberikan kelebihan jarak efektif yang lebih jauh berbanding enjin roket bahan api pepejal, kerana ia mampu melaraskan daya tujahan sepanjang penerbangan, sesuatu yang tidak dapat dilakukan oleh enjin roket konvensional.
Peluru berpandu ini akan digunakan pada pesawat pejuang F-16 Turkiye yang telah menjalani pemodenan ÖZGÜR, dilengkapi dengan radar AESA MURAD 100-A, serta pesawat tempur generasi kelima KAAN.
Greek dilaporkan berang dengan Perancis kerana negara Eropah itu didakwa telah memberikan kebenaran kepada Turkiye untuk memperolehi peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh METEOR bagi digunakan pada pesawat pejuang Eurofighter Typhoon yang ia akan perolehi.
Baru-baru ini, Menteri Pertahanan Greek Nikos Dendias telah bertindak memanggil Duta Perancis ke Greek, Laurence Auer bagi membantah keras cadangan oleh Paris itu dan meminta ia menjelaskan tentang laporan penjualan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) METEOR kepada Turkiye itu.
Pesawat pejuang Eurofighter Typhoon fighter dengan peluru berpandu “METEOR” 
“Saya telah menyampaikan kepada Duta Perancis tentang tentangan kuat Greek terhadap kemungkinan tersebut (penjualan peluru berpandu METEOR kepada Turkiye), yang tidak selaras dengan hubungan strategik erat yang telah dinikmati oleh kedua-dua Greek dan Perancis sehingga kini,” tulis Dendias di dalam platform media sosial,  X.
Ketegangan diplomatik di antara Greek dan Perancis ini berlaku walaupun kedua-dua buah negara mempunyai kerjasama pertahanan yang kukuh.
Di bawah perjanjian pertahanan bersama yang dimeterai pada September 2021 di antara Greek dan Perancis,  kedua-dua negara berikrar untuk memberikan sokongan dan bantuan ketenteraan sekiranya salah sebuah diserang oleh negara ketiga.
Perjanjian pertahanan di antara Paris dan Athens ini telah membawa kepada pembelian senjata yang signifikan oleh Greek termasuk perolehan 24 jet pesawat pejuang Rafale dibangunkan oleh syarikat Dassault Aviation serta kapal perang Perancis oleh Greek.
Greek sebenarnya bimbang perolehan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh METEOR oleh Turkiye menerusi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon yang bakal dimilikinya itu akan menghakis kekuatan udaranya yang kini berada di hadapan berbanding Ankara berikutan perolehan pesawat pejuang Rafale daripada Perancis.
Cadangan penjualan 40 buah pesawat pejuang varian terkini Eurofighter Typhoon yang dilengkapi peluru berpandu udara-ke-udara METEOR kepada Turkiye telah menyebabkan hubungan antara Britain, Perancis, dan Greek menjadi begitu tegang.
METEOR BVR AAM
Turkiye dilaporkan meletakkan syarat bahawa ia akan hanya memperolehi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu sekiranya ia turut dibenarkan memperolehi peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh METEOR dan kini hasratnya ditunaikan.
Turkiye bakal memperolehi varian terkini pesawat pejuang Eurofighter Typhoon iaitu Tranche 4.
Dilengkapi dengan radar AESA CAPTOR E, Eurofighter Typhoon Tranche 4 dikatakan adalah varian pesawat pejuang termoden Eropah yang boleh berkhidmat sehingga ke tahun 2060. 
Peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh atau Beyond Visual Range (BVRAAM) METEOR didakwa adalah peluru berpandu udara-ke-udara terbaik dunia, mengatasi AIM-120 AMRAAM yang dibangunkan oleh Amerika Syarikat.
Peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh “Meteor” yang dipandu menggunakan radar(radar guided) itu dilaporkan berkemampuan meluncur selaju Mach 4 dan membedil sasaran udara sejauh 200km.
— DEFENCE SECURITY ASIA

Eurofighter TyphoonGOKHANMeteorTurkiye
Comments (0)
Add Comment