Indonesia Peroleh 60 Bayraktar TB3, 9 Bayraktar Akinci. Program Pemasangan Dalam Negara
Kerjasama itu adalah di antara Baykar Technologies yang merupakan syarikat pembuat UCAV Bayraktar TB3 dan UCAV Bayraktar Akinci dengan syarikat pertahanan Indonesia, Republikorp.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat-syarikat pertahanan Indonesia dan Turkiye telah menandatangani perjanjian yang akan melihat sebuah syarikat usahasama ditubuhkan bagi produksi, pemasangan dan penyelenggaraan pesawat kombat tanpa pemandu (UCAV) di negara Asia Tenggara itu.
Perjanjian yang ditandatangani dihadapan Presiden Turkiye Recep Tayyep Erdogan dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto turut melibatkan pembelian sehingga 60 buah UCAV Bayraktar TB3 dan sembilan buah UCAV Bayraktar Akinci oleh negara Asia Tenggara itu.
Erdogan yang sedang dalam rangka lawatan kerja ke tiga buah negara tiba di Indonesia semalam selepas melawat Malaysia. Selepas Indonesia dan Malaysia, Presiden Turkiye itu akan ke Pakistan sebelum pulang ke Istanbul.
Kerjasama itu adalah di antara Baykar Technologies yang merupakan syarikat pembuat UCAV Bayraktar TB3 dan UCAV Bayraktar Akinci dengan syarikat pertahanan Indonesia, Republikorp.
UCAV Bayraktar TB3 merupakan varian terkini UCAV Bayraktar TB2 yang telah pun terbukti berkesan dan digunakan di beberapa medan peperangan seperti di Nagorno-Karabakh, Syria dan Ukraine.
Sebahagian besar daripada UCAV Bayraktar TB3 dan Akinci yang diperolehi oleh Indonesia itu berkemungkinan besar akan dibuat atau dipasang di kemudahan yang bakal diwujudkan di negara Asia Tenggara itu, di bawah kerjasama di antara Baykar dan Republikorp.

Kerjasama itu bukan sahaja akan mengeratkan lagi hubungan diplomatik di antara Indonesia dan Turkiye, tetapi juga akan meningkatkan kapasiti industri pertahanan negara Asia Tenggara itu dan membolehkannya berdikari dalam pembuatan sistem pertahanan terutama dron.
Turkiye merupakan antara negara pengeluar dron kombat terbesar di dunia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Baykar Technology Haluk Bayraktar, syarikat itu akan menyediakan pemindahan teknologi, bantuan produksi dan program latihan di dalam ruang lingkup kerjasama itu.
Sementara itu Pengerusi Republikorp Norman Joesoef dalam kenyataannya pula berkata mereka akan membangunkan infrastruktur tempatan dan perlesenan pakar-pakar Indonesia.
UCAV Bayraktar TB3 direka untuk beroperasi dari kapal pengangkut pesawat dengan landasan pendek, seperti TCG Anadolu, dan dilengkapi dengan sayap boleh lipat untuk memudahkan penyimpanan dan operasi di atas kapal.
Dengan kemampuan untuk berada di ruang udara lebih daripada 24 jam, ia berkemampuan dilengkapi dengan pelbagai sistem persenjataan termasuk, L-UMTAS (Sistem Peluru Berpandu Anti-Kereta Kebal Jarak Jauh), peluru berpandu mikro MAM-C, MAM-L, dan MAM-T, Roketsan Cirit 70mm, TÜBİTAK-SAGE BOZOK, TÜBİTAK-SAGE TOGAN dan TÜBİTAK-SAGE KUZGUN.
Bayraktar TB3 pula mempunyai panjang sayap 14 meter manakala panjang badannya adalah 8 meter.
Bayraktar TB3 direka untuk menjalankan misi pengawasan, risikan, dan serangan dengan keupayaan membawa pelbagai jenis muatan dan persenjataan pintar, menjadikannya aset penting dalam operasi ketenteraan moden.
Dalam ujian yang dilakukan pada Disember 2023, Bayraktar TB3 telah berjaya melakukan penerbangan paling lamanya sehingga 32 jam meliputi jarak sejauh 5,700km.
UCAV STOL (Short Take-Off Landing) Bayraktar TB3 didedahkan pada awam buat pertama kalinya di Lapangan Terbang Ataturk di Istanbul ketika acara teknologi utama Turkiye, Teknofest yang diadakan pada April 27 hingga 1 Mei 2023 bersempena dengan sambutan ke -100 tahun Republik Turkiye.
Dengan berat ketika berlepas pada 5,500kg, Bayraktar Akinci ini boleh terbang setinggi 40,000 kaki dengan endurance operasi lebih daripada 20 jam.

