Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Armenia Dijangka Pilih Su-30MKI Buatan India Untuk Berdepan JF-17 Block III Milik Azerbaijan

Armenia dijangka akan menaruh kepercayaan kepada pesawat pejuang Su-30MKI buatan India itu untuk berdepan dengan pesawat pejuang pesawat pejuang JF-17 Block III yang bakal diperolehi oleh negara jirannya, Azerbaijan.

0 3,963
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas Azerbaijan memilih untuk memperolehi 40 buah pesawat pejuang JF-17 Thunder Block III, “musuh tradisinya” Armenia pula dijangka akan meningkatkan lagi usaha rundingannya dengan India untuk memperolehi pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKI bagi menangani perolehan yang dibuatkan oleh negara jirannya itu.
Armenia dijangka akan menaruh kepercayaan kepada pesawat pejuang Su-30MKI buatan India itu untuk berdepan dengan pesawat pejuang pesawat pejuang JF-17 Block III yang bakal diperolehi oleh negara jirannya, Azerbaijan.
Sejak beberapa tahun lalu, India telah muncul sebagai pembekal senjata utama kepada Armenia, membekalkan pelbagai jenis sistem persenjataan kepada negara Caucasus Selatan itu seperti sistem pertahanan udara jarak sederhana  Akash-1S dan sistem pelancar roket berganda (MLRS) Pinaka.
Selain India, Armenia turut menjalin hubungan pertahanan yang rapat dengan Perancis dan baru-baru ini telah memperolehi sistem meriam bergerak Caesar buatan syarikat pertahanan negara itu,Nexter Systems.
Perancis turut menawarkan pesawat pejuang Rafale buatan syarikat Dassault Aviation kepada Armenia, tetapi disebabkan harganya yang tinggi serta prestasinya yang kurang memuaskan pada konflik Pakistan-India baru-baru berkemungkinan menyebabkan Yerevan “tawar hati” untuk memilih Rafale.
Pada konflik Pakistan-India baru-baru ini, tiga buah pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara India didakwa ditembak jatuh oleh pesawat pejuang J-10CE buatan China milik Tentera Udara Pakistan.
Disebabkan perkara-perkara itu, peluang untuk Sukhoi Su-30MKI buatan India adalah tinggi untuk memikat hati Armenia.
Sukhoi
Su-30MKI
“Walaupun Yerevan dijangka akan meneroka pelbagai pilihan dalam usaha memperkukuh keupayaan pertahanannya, tumpuan utamanya berkemungkinan terarah kepada perolehan pesawat tempur Su-30MKI buatan India yang jauh lebih menjimatkan berbanding pesawat Rafale buatan Perancis.”
“Tambahan pula, walaupun banyak perkara masih belum jelas mengenai insiden konfrontasi antara India dan Pakistan bulan lalu, dakwaan bahawa armada Rafale milik India tidak menunjukkan prestasi yang memberangsangkan turut berpotensi mempengaruhi pertimbangan strategik Armenia,” sebagaimana dinyatakan oleh pengarah analysis syarikat perisikan risiko RANE, Sam Lictenstein kepada Forbes baru-baru ini.
Beberapa hari lalu, kerajaan Pakistan mengesahkan bahawa Azerbaijan telah menandatangani kontrak untuk memperolehi 40 buah pesawat pejuang JF-17 Thunder bernilai US$4.6 billion (RM20.24 billion), yang membuktikan lagi kejayaan pesawat pejuang dibina oleh Pakistan dan China di pasaran eksport.
Pesawat pejuang JF-17 itu dibangunkan secara bersama oleh Pakistan Aeronautical Complex (PAC) dan juga Chengdu Aircraft Corporation (CAC).
Pesawat-pesawat JF-17 Block III yang diperolehi oleh Azerbaijan itu akan menggantikan pesawat pejuang MiG-29 buatan Russia yang kini digunakan oleh tentera udara negara itu.
Secara geo-strategik, perolehan pesawat JF-17 Block III yang dibangunkan oleh Pakistan dan China itu merupakan kejayaan bagi Beijing dan Islamabad dalam menembusi pasaran senjata di rantau Asia Tengah yang sebelum ini didominasi oleh syarikat-syarikat senjata Russia.
Pakistan
Pesawat pejuang JF-17 Thunder dilengkapi dengan peluru berpandu hypersonik CM-400AKG (warna putih)
Pesawat pejuang JF-17 Block III dilaporkan memiliki DNA pesawat pejuang generasi kelima China, J-20 “Mighty Dragon”.
India membangunkan varian unik pesawat pejuang Su-30MKI buatan Russia secara berlesen, dan kini berkemungkinan akan mula mengeksport pesawat pejuang berkenaan ke negara lain, dengan Armenia dilihat sebagai salah satu pelanggan berpotensi.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Yerevan telah memeterai beberapa perjanjian bernilai tinggi bagi memperoleh pelbagai sistem persenjataan buatan India.
Selain itu, seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, New Delhi merupakan calon paling sesuai untuk menaik taraf pesawat Su-30SM sedia ada milik Tentera Udara Armenia, termasuk menjadikannya serasi dengan pelbagai jenis peluru dan sistem senjata yang dibangunkan oleh industri pertahanan India.
“India juga berkemungkinan berminat untuk membekalkan sistem-sistem ini sebagai tindak balas terhadap perolehan pesawat pejuang oleh Azerbaijan daripada Pakistan, musuh tradisi India.”
“Selain daripada usaha memperoleh pesawat tempur baharu bagi menyaingi keupayaan udara Azerbaijan, Armenia juga dijangka sedang berusaha untuk meningkatkan keupayaan sistem pertahanan udaranya dengan mendapatkan peralatan daripada India, Iran dan/atau negara-negara lain,” kata beliau.
Pakistan
JF-17
Sejak daripada tahun lepas, Armenia dilaporkan telah memulakan rundingan dengan syarikat pertahanan India, Hindustan Aeronautics Limited (HAL), bagi tujuan memperoleh pesawat pejuang Su-30MKI, menurut laporan sumber pertahanan dari India.
Langkah ini merupakan sebahagian daripada strategi menyeluruh Armenia untuk memperkukuh keupayaan angkatan tenteranya, khususnya tentera udara negara itu.
Armenia dilaporkan telah menunjukkan minat untuk memperolehi di antara lapan hingga 12 buah pesawat pejuang Su-30MKI daripada India.
Cadangan perolehan Su-30MKI buatan India itu turut dilihat sebagai pilihan kedua dalam usaha menaiktaraf aset ketenteraan Armenia, dengan pilihan pertama melibatkan kerja-kerja pemodenan ke atas armada pesawat Su-30SM sedia ada kepada varian “Super Flanker” melalui kepakaran HAL.
Tentera Udara Armenia kini berada dalam fasa pemodenan yang kritikal bagi memperkukuh keupayaan udara negara itu selepas beberapa kelemahan ketara yang terdedah semasa konflik bersenjata dengan Azerbaijan pada tahun 2020.
Dengan anggaran kekuatan seramai 5,000 anggota dan kira-kira 70 pesawat aktif, Tentera Udara Armenia beroperasi sebagai cabang strategik Angkatan Tentera Armenia dan memberi tumpuan kepada sokongan udara taktikal, operasi pertahanan udara, serta kawalan ruang udara di kawasan pergunungan yang mencabar.
Inventori pesawat tempurnya kini merangkumi empat buah jet pejuang pelbagai peranan Su-30SM buatan Russia yang mula diterima pada akhir tahun 2019, serta sekurang-kurangnya 15 buah pesawat serangan darat Su-25 “Frogfoot” peninggalan era Soviet.
Pakistan
JF-17 “Thunder”
Selain itu, Armenia turut mengoperasikan lebih 30 buah helikopter pelbagai jenis termasuk Mi-24/Mi-35 untuk sokongan serangan, serta Mi-8/Mi-17 bagi tugasan pengangkutan dan sokongan logistik.
Dalam bidang pengangkutan dan latihan, Tentera Udara Armenia memiliki beberapa buah pesawat Il-76 serta pesawat latihan L-39 dan Yak-52 yang digunakan di pangkalan latihan Arzni dan Gyumri.
Dari segi pertahanan udara, Armenia kini mengoperasikan pelbagai sistem pertahanan udara peninggalan era Soviet seperti S-300, Buk-M2, 2K12 Kub, dan 9K33 Osa.
Namun dalam beberapa tahun kebelakangan ini, negara itu telah melangkah lebih jauh dengan memeterai kontrak penting bersama India untuk memperolehi sistem pertahanan udara jarak sederhana Akash-1S.
Bateri pertama sistem Akash tiba di Armenia pada November 2024, manakala bateri kedua dijangka dihantar menjelang pertengahan 2025, menjadikan ia satu lonjakan signifikan dalam pelindungan ruang udara Armenia terhadap ancaman peluru berpandu dan serangan udara rendah.
Hindustan Aeronautics Limited (HAL), syarikat aeroangkasa utama milik kerajaan India, terus memainkan peranan strategik dalam memperkukuh keupayaan udara negara itu menerusi pengeluaran dan penyelenggaraan pesawat pejuang Su-30MKI yang dibangunkan secara berlesen daripada Russia.
AKASH
AKASH
Pesawat pejuang Su-30MKI yang dihasilkan oleh HAL merupakan tulang belakang kepada kekuatan udara Tentera Udara India (IAF), dengan lebih 270 unit telah diserahkan sejak program ini dimulakan pada awal tahun 2000-an.
Varian Su-30MKI yang dibina oleh HAL bukan sahaja mengekalkan reka bentuk asal Sukhoi Su-30 Russia, tetapi turut melalui proses penyesuaian teknologi tempatan termasuk sistem avionik, radar, peluru berpandu dan sistem peperangan elektronik yang dibangunkan oleh industri pertahanan India seperti DRDO dan Bharat Electronics.
Hal ini menjadikan Su-30MKI sebagai salah satu pesawat pejuang paling berkemampuan di rantau Asia Selatan, dengan keupayaan menjalankan misi serangan udara-ke-udara, udara-ke-darat, serta misi strategik jarak jauh menggunakan pelbagai jenis persenjataan tempatan dan asing.
Bagi memastikan pesawat ini kekal relevan dalam persekitaran peperangan moden, HAL turut terlibat dalam inisiatif besar-besaran untuk menaik taraf pesawat Su-30MKI kepada konfigurasi baharu dikenali sebagai “Super Sukhoi”.
Pemodenan ini merangkumi pemasangan radar AESA generasi baharu, integrasi peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh Astra Mk1 dan Mk2, sistem peperangan elektronik baharu, serta paparan digital dan kemampuan serangan berasaskan data-link masa nyata.
Selain memenuhi keperluan domestik, HAL kini turut berusaha mempromosikan Su-30MKI versi eksport kepada negara-negara sahabat seperti Armenia, Malaysia dan Algeria, yang menunjukkan minat terhadap pesawat ini kerana prestasinya yang terbukti dalam pelbagai teater operasi dan kos yang lebih kompetitif berbanding pesawat Barat.
— DEFENCE SECURITY ASIA
 

 

Leave A Reply

Your email address will not be published.