Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Greek Terima Enam Pesawat Rafale, Saingi Kekuatan Tentera Turki

Athens dengan pesawat-pesawat Rafale dan kapal friget barunya serta sokongan kuat diplomatik daripada Perancis kini lebih berkeyakinan untuk berdepan dengan Turki dalam pertikaian mereka berkenaan kawasan-kawasan perairan yang kaya dengan gas asli di timur Mediterranean

4,741

(DEFENCE SECURITY ASIA) – “Kepulangan” enam buah pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara Greek dua hari lepas bakal menghangatkan lagi perseteruan negara itu dengan jiran Mediterranean terdekatnya, Turki.

Keenam-enam buah pesawat Rafale buatan syarikat Perancis,Dassault Aviation yang berlepas daripada Lapangan Terbang Merignac di Bordeaux itu mendarat di Pangkalan Udara Tanagra yang terletak kira-kira 70km di utara ibu negara, Athens.

Pendaratan enam buah pesawat pejuang termoden dimiliki oleh Tentera Udara Greek di pangkalan udara terbabit membawa harapan tinggi negara itu bahawa mereka kini memiliki kelebihan ketenteraan terutamanya di dalam aspek kekuatan udara berbanding sekutunya, Turki.

Pemerhati ketenteraan Greek mendakwa kekuatan udara Turki yang bergantung kepada pesawat-pesawat F-16 bukanlah saingan kepada pesawat-pesawat generasi 4.5 Rafale yang baru diperolehi mereka daripada Perancis.

Sememangnya, Ankara kini berhadapan dengan masalah untuk menyaingi kekuatan udara baru Greek itu selepas ia yang “dikeluarkan” daripada program pembangunan F-35 oleh Amerika Syarikat kerana meneruskan hasrat membeli sistem pertahanan udara S-400 daripada Russia.

Rafale
Paderi memberikan restu kepada pesawat-pesawat Rafale yang baru diterima oleh Greek.

 

Sebelum dikeluarkan daripada program pembangunan F-35 itu, Turki dijadualkan akan menerima sejumlah 100 buah pesawat generasi kelima dan halimunan Amerika Syarikat itu.

Selain itu, usaha Turki untuk membeli varian lebih moden F-16 untuk menggantikan pesawat F-16 miliknya yang lama juga menerima tentangan daripada anggota kongres Amerika Syarikat, menyebabkan cadangan perolehan itu kini berdepan dengan jalan sukar untuk direalisasikan.

Usaha Ankara membangunkan pesawat generasi kelimanya, “TF-X” juga masih berada di peringkat awal dan masih memerlukan tempoh beberapa tahun lagi.

Rafale

Halangan demi halangan ini “memeningkan” pihak tentera Turki.

Greek memperolehi 24 buah pesawat pejuang Rafale selepas menandatangani kontrak bernilai US$3.4 bilion dengan Paris pada tahun lepas, dengan 12 daripada pesawat itu adalah pesawat  terpakai Tentera Udara Perancis manakala selebihnya pesawat-pesawat baru.  

Pesawat-pesawat Rafale Greek dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara “Meteor BVRAAM” (Beyond Visual Range Air-to-Air Missile) buatan syarikat MBDA Systems yang mempunyai kemampuan menangani ancaman udara daripada jarak sejauh 120km-150km. 

Rafale

Selain pesawat pejuang Rafale, Greek turut menandatangani perjanjian dengan Perancis untuk memperolehi tiga buah kapal friget kelas-Belharra bernilai lebih US$3 bilion yang dibangunkan oleh syarikat Naval Group.

Perancis dilihat bersungguh-sungguh membantu Greek mengimbangi kekuatan tentera Turki dengan penjualan sistem persenjataan strategic.

Athens dengan pesawat-pesawat Rafale dan kapal friget barunya serta sokongan kuat diplomatik daripada Perancis kini lebih berkeyakinan untuk berdepan dengan Turki dalam pertikaian mereka berkenaan kawasan-kawasan perairan yang kaya dengan gas asli di timur Mediterranean. — DSA

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

 

Comments
Loading...