Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Russia Tawar Pesawat Pejuang Generasi Kelima Su-57E, Su-35 Pada Indonesia

ROSOBORONEXPORT akan menyertai pameran pertahanan Indo Defense Expo 2025 yang dijadualkan berlangsung dari 11 hingga 14 Jun ini di Jakarta International Expo, Kemayoran, Indonesia.

0 3,440
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Agensi pertahanan Russia, ROSOBORONEXPORT yang merupakan sebahagian daripada Rostec State Corp menawarkan dua jenis pesawat pejuang termodennya — pesawat pejuang generasi kelimanya, Su-57E dan juga pesawat pejuang generasi 4 +++, Su-35 kepada Indonesia.
Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pengarah  ROSOBORONEXPORT Alexander Mikheev dalam satu kenyataan hari ini.
“Tawaran kami kepada Jakarta merangkumi pesawat pejuang generasi kelima Su-57E dan generasi 4++ Su-35, bersama sistem persenjataan seperti peluru berpandu Kh-31PD dan Kh-35UE, pesawat pengisi minyak IL-78MK-90A, helikopter penyerang Ka-52E dan jenis Mi-17, serta dron tanpa pemandu (UAV),” katanya.
Pesawat pejuang generasi kelima Su-57E itu direka bagi menguasai ruang udara dan pada masa sama mampu melaksanakan serangan terhadap sasaran di darat dan laut dengan keberkesanan tinggi.
Su-57E memiliki reka bentuknya yang mempunyai tahap kebolehkesanan radar yang rendah yang memberikan kelebihan dalam operasi dan sukar dikesan.
Antara ciri utama pesawat Su-57E termasuklah sistem radar terkini dengan teknologi Active Electronically Scanned Array (AESA), sistem peperangan elektronik (EW) moden, sistem sokongan pintar kepada juruterbang, keupayaan manuver ekstrem (super maneuverability), serta dilengkapi dengan pelbagai persenjataan udara terkini.
Gabungan teknologi-teknologi canggih ini menjadikan Su-57E sebagai antara aset strategik udara paling berbahaya yang ditawarkan oleh Rusia kepada negara-negara rantau ini.
Russia
Su-35
Sementara itu, pesawat pejuang Su-35 terkenal dengan keupayaannya mengesan sasaran udara pada jarak yang jauh, selain mampu membawa pelbagai jenis persenjataan serta beroperasi dalam misi jarak jauh.
Beberapa negara di Asia Tenggara telah lama menjadikan pesawat pejuang buatan Russia sebagai tunjang utama kekuatan angkatan udara mereka, memanfaatkan kelebihan teknologi tempur dan kos yang kompetitif berbanding pesawat-pesawat buatan Barat.
Dalam kenyataan itu, Mikheev juga berkata,ROSOBORONEXPORT akan menyertai pameran pertahanan Indo Defense Expo 2025 yang dijadualkan berlangsung dari 11 hingga 14 Jun ini di Jakarta International Expo, Kemayoran, Indonesia.
Menurut beliau, ia akan mengetengahkan lebih daripada 250 produk ketenteraan keluaran pelbagai syarikat Russia pada pameran pertahanan tersebut yang direka untuk keperluan angkatan tenteranya.
Katanya, kebanyakan daripada produk ketenteraan tersebut telah diuji dalam situasi pertempuran sebenar dan telah melalui proses penambahbaikan berdasarkan hasil penggunaannya di medan tempur.
“Kami bersedia membekalkan kenderaan berperisai yang direka untuk beroperasi di kawasan yang mempunyai banyak halangan air seperti kereta kebal amfibia ringan Sprut dan kenderaan tempur infantri BMP-3F, kapal selam dan kapal pesisir, serta kelengkapan pertahanan udara terkini seperti sistem peluru berpandu S-400 Triumf dan S-350E Vityaz, sistem artileri dan peluru berpandu anti-pesawat Pantsir-S1M, sistem peluru berpandu mudah alih Verba (MANPADS) dan sudah tentu, sistem anti-dron,” kata Mikheev.
Bastion
Bastion
Pantsir
Pantsir
Indonesia mempunyai sempadan maritim yang panjang serta lebih 17,000 buah pulau.
Menyedari hakikat ini,   ROSOBORONEXPORT akan menawarkan pelbagai jenis kelengkapan untuk keperluan Tentera Laut negara itu.
Antara aset yang bakal dipamerkan pada Indo Defense Expo 2025 termasuk kapal selam Projek 636, sistem peluru berpandu pertahanan pesisir mudah alih Bastion yang dilengkapi peluru berpandu anti-kapal Yakhont dan Rubezh-ME.
Bagi operasi di kawasan pesisir, agensi export pertahanan Russia itu akan menawarkan kapal peronda Projek 22160 dan korvet kelas Tigr Projek 20382, selain bot serangan laju BK-16 dan BK-10 yang mampu beroperasi di perairan terbuka mahupun perairan pesisir, termasuk di laluan sempit dan sungai-sungai yang merentasi wilayah Indonesia.
“Bagi kebanyakan peralatan ketenteraan buatan Rusia yang dipamerkan, ROSOBORONEXPORT menawarkan kepada Jakarta peluang untuk memperkukuhkan kerjasama teknologi dengan melancarkan pengeluaran tempatan di kilang dan limbungan kapal negara itu.”
“Langkah ini selari dengan trend pasaran senjata global masa kini, dan projek kerjasama bersama ROSOBORONEXPORT dalam bidang ini membolehkan negara-negara rakan strategik Rusia merangsang pertumbuhan industri berteknologi tinggi mereka sendiri.”
Rubezh
Rubezh

Russia

Agensi Russia itu juga berkata, sepanjang program perniagaan sempena pameran pertahanan tersebut, ROSOBORONEXPORT itu akan mengadakan mesyuarat dan rundingan bersama wakil agensi penguatkuasaan undang-undang serta semua cabang Angkatan Tentera Indonesia.
Selain itu, ia juga akan menawarkan bantuan kepada Indonesia dalam usaha membina sebuah angkatan tentera moden yang mampu menangani segala bentuk ancaman dan cabaran keselamatan negara pada masa kini dan masa hadapan.
 ROSOBORONEXPORT merupakan satu-satunya agensi milik negara Russia yang diberi kuasa untuk mengeksport keseluruhan rangkaian produk, perkhidmatan dan teknologi berkaitan pertahanan serta penggunaan dwifungsi.
Agensi ini merupakan sebahagian daripada Rostec State Corporation dan berada dalam kalangan peneraju utama pasaran senjata global.
ROSOBORONEXPORT menyumbang lebih daripada 85 peratus daripada keseluruhan eksport senjata dan kelengkapan ketenteraan Rusia.
Ia menjalinkan kerjasama dengan lebih 700 perusahaan dan organisasi industri pertahanan di seluruh Russia.
Skop kerjasama teknikal-ketenteraan Rusia meliputi lebih daripada 100 buah negara di seluruh dunia.
— DEFENCE SECURITY ASIA
Leave A Reply

Your email address will not be published.