Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Amerika “Tayang” Pesawat Pengebom B-52 Bawa Peluru Berpandu Hypersonik di Guam

Peluru berpandu hypersonik yang dilihat dipasang pada pesawat pengebom strategik B-52 milik Amerika di Pangkalan Udara Andersen di Guam itu dikenalpasti sebagai “AGM-183 Air-launched Rapid Response Weapon” (ARRW).

0 2,622

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Baru-baru ini Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) telah mengeluarkan gambar-gambar pesawat pengebom strategic B-52 Stratofortress dilengkapi peluru berpandu hypersonik “hidup” di Pangkalan Udara Andersen di Guam.

Guam menempatkan pangkalan tentera strategik Amerika Syarikat di Indo-Pasifik.

Peluru berpandu hypersonik yang dilihat dipasang pada pesawat pengebom strategik B-52 milik Amerika di Pangkalan Udara Andersen di Guam itu dikenalpasti sebagai “AGM-183 Air-launched Rapid Response Weapon” (ARRW).

Penyebaran gambar-gambar peluru berpandu hypersonik itu “ARRW” itu dikatakan berlaku ketika latihan pengenalan terhadap peluru berpandu itu yang diadakan untuk anggota-anggota tentera negara itu yang bertugas di pangkalan udara strategik itu.

Dalam satu gambar yang disebarkan, nombor siri peluru berpandu hypersonik itu AUR-005 turut kelihatan dengan jelas.

Hypersonik
Anggota tentera Amerika diberikan penerangan tentang peluru berpandu hypersonik AGM-183 ARRM dibawa oleh pesawat pengebom B-52 di Pulau Guam. (USAF)

 

Peluru berpandu hypersonik AGM-183 ARRW merupakan peluru berpandu hypersonik dari udara-ke-darat atau pun “Hypersonic Glide Vehicle” (HGV) yang digunakan oleh USAF.

Ia adalah peluru berpandu hypersonik yang dilengkapi dengan kepala peledak konvensional dan bukan nuklear.

Walaupun gambar-gambar yang disebarkan oleh USAF itu menunjukkan peluru berpandu hypersonik itu dibawa oleh pesawat pengebom B-52, namun, peluru berpandu itu sebenarnya dirancang untuk dibawa oleh pesawat pengebom lain seperti B-1B Lancer, B-21 Raider dan juga pesawat pejuang F-15E.

Dibangunkan oleh firma pertahanan Lockheed Martin, peluru berpandu hypersonik berkemampuan meluncur selaju lebih daripada Mach 5 tetapi perancangan pada masa depan menyatakan bahawa peluru berpandu hypersonik itu boleh mencecah kelajuan di antara Mach 7 hingga Mach 8.

Peluru berpandu hypersonik AGM-183 ARRW itu dibangunkan untuk membedil sasaran sejauh 1,500km.

Walaupun USAF telah menyebarkan gambar-gambar pesawat pengebom B-52 itu membawa peluru berpandu hypersonik AGM-183 ARRW, bagaimanapun program pembangunan peluru berpandu itu dikatakan telah dibatalkan selepas kegagalan dalam beberapa siri ujiannya.

B-52
Pesawat pengebom B-52 Stratofortress (gambar kredit U.S Air Force)

 

Namun, penyebaran gambar-gambar daripada USAF menunjukkan “kehadiran” peluru berpandu hypersonik AGM-183 ARRW itu dibawa pesawat pengebom strategic B-52 di Guam menunjukkan program pembangunan peluru berpandu hypersonik itu terus berjalan dengan lancar.

Program pembangunan peluru berpandu hypersonik AGM-183 ARRW itu telah dimulakan pada 2018 menerusi peruntukan oleh USAF sebanyak US$480 juta (RM2.16 billion) yang telah diberikan kepada syarikat Lockheed Martin.

Pulau Guam yang terletak di perairan barat Lautan Pasifik, kira-kira 9,300km di barat San Francisco merupakan wilayah terkecil milik Amerika Syarikat dengan keluasannya hanyalah 200 batu persegi.

Walaupun kecil daripada segi saiz, tetapi Guam disifatkan amat “aktif” daripada segi ketenteraan kerana ia menempatkan anggota tentera Amerika Syarikat daripada kesemua cabang, udara, darat,laut dan bawah laut.

Dengan peningkatan ketegangan di antara Amerika Syarikat dan China, Guam berkemungkinan menjadi sasaran utama kepada pihak Beijing sekiranya konflik bersenjata tercetus di antara kedua-dua negara kuasa besar itu.

Walaupun terletak Lautan Pasifik, terdapat kemungkinan Guam menjadi sasaran peluru-peluru berpandu ballistik daripada “musuh” sekiranya peperangan berlaku di Pasifik.

Hypersonik

Kedudukan utama Tentera Udara Amerika Syarikat di Guam adalah di Pangkalan Udara Andersen yang menjadi “rumah” kepada 193 buah pesawat tentera.

Pihak Tentera Amerika Syarikat menggunakan pangkalan udara di Guam itu untuk melancarkan pesawat-pesawat bagi operasi di kawasan serantau.

Pangkalan Udara Andersen tidak memiliki penempatan tetap pesawat-pesawat tetapi banyak pesawat tentera Amerika bergilir-gilir menjadikan Guam sebagai rumah sementaranya terutama pesawat-pesawat pengebom seperti B-1 Lancer dan B-52.

Selain Pangkalan Udara Andersen, Guam juga menempatkan Pangkalan Laut Apra Harbor yang menempatkan lima buah kapal selam nuklear Amerika Syarikat daripada kelas-Los Angeles.

Sejak daripada 1991, Beijing telah melihat bagaimana tentera Amerika Syarikat menggunakan pangkalan-pangkalan tenteranya di luar negara untuk menyokong kempen-kempen peperangannya sama ada di Iraq, Afghanistan dan lain-lain negara.

Guam
Pangkalan Udara Andersen di Guam

 

Sekiranya China menyerang Taiwan atau Jepun, kedua-dua negara yang dijamin keselamatannya oleh Amerika Syarikat – maka Guam bakal menjadi pusat ketenteraan terpenting Washington untuk mempertahankan kedua-dua negara itu.

Senario Guam diserang itu bukan asing kerana pada 2020 sebuah video promosi sepanjang dua minit yang dikeluarkan oleh Tentera China telah menunjukkan bagaimana pesawat pengebomnya menggugurkan bom ke atas sebuah pengkalan udara yang mirip kepada Pangkalan Udara Andersen di Guam. — DSA

(LAGI BERITA TENTANG KEISTIMEWAAN PULAU GUAM)

 

To contact, please email admin of the website at lulwabyadah@gmail,com

 

Comments
Loading...