Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Singapura Tempatkan Detasmen 12 Pesawat F-15SG Secara Kekal Di Guam

Usaha meningkatkan infrastruktur di pangkalan udara terpenting Amerika Syarikat di Pasifik bagi menempatkan detasmen Tentera Udara Singapura itu adalah selari dengan inisiatif strategik Washington di rantau Indo-Pasifik.

0 12,894

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Udara Amerika Syarikat bakal meningkatkan lagi kemudahan infrastruktur di Pangkalan Udara Andersen di Guam bagi menempatkan secara kekal detasmen 12 buah pesawat pejuang F-15SG milik Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) dan pelbagai peralatan sokongannya.

Usaha meningkatkan infrastruktur di pangkalan udara terpenting Amerika Syarikat di Pasifik bagi menempatkan detasmen Tentera Udara Singapura itu adalah selari dengan inisiatif strategik Washington di rantau Indo-Pasifik.

Ia juga selari dengan perjanjian ditandatangani pada 2019 antara Menteri Pertahanan Singapura Dr Ng Eng Hen dan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat pada ketika itu, Mark Esper tentang penempatan detasmen pesawat pejuang Tentera Udara Singapura secara kekal di pulau itu.

Pulau Guam yang terletak di barat Lautan Pasifik adalah pangkalan operasi hadapan terpenting tentera Amerika di Pasifik, kritikal untuk menyokong power projection oleh Washington serta sekutu-sekutunya di rantau Indo-Pasifik.

Pangkalan Udara Andersen di Guam itu dipilih untuk menempatkan secara kekal pesawat-pesawat F-15SG Singapura selepas pihak Tentera Udara Amerika Syarikat mengkaji lima buah lokasi yang lain.

Guam
Pesawat dan anggota tentera Singapura di Pangkalan Udara Andersen di Guam.

 

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pangkalan Udara Andersen baru-baru ini, ia telah menyatakan notis niatnya terhadap perkara itu pada April 2021 untuk melakukan Kajian Kesan Alam Sekitar (EIA) terhadap cadangan meningkatkan infrastruktur di pangkalan udara itu.

Cadangan peningkatan infrastruktur bagi menempatkan pesawat-pesawat RSAF itu akan dilaksanakan di bahagian utara pangkalan udara itu dan berhampiran gudang peluru.

Pembinaan infrastruktur baru itu dijangka akan mengambil masa di antara tiga hingga tujuh tahun dan meliputi penurapan landasan, pembinaan hangar pesawat, bangunan penyelenggaran dan utiliti, sistem pengisian bahan api, sistem pagar dan pelbagai lagi.

Kerja-kerja pembinaan itu akan meliputi kawasan seluas 85 hektar.

Guam
Pesawat amaran awal G550 milik Tentera Udara Singapura di Guam.

 

Pada ketika ini, Singapura memiliki 40 buah pesawat pejuang F-15SG yang mula diperolehinya secara berperingkat pada 2005.

Sebelum ini, Tentera Udara Singapura telah menempatkan beberapa pesawat pejuang F-15SG dan  F-16 serta pesawat amaran awal G550 miliknya di Guam untuk tempoh sehingga dua bulan bagi tujuan latihan dengan Tentera Udara Amerika Syarikat.

Tentera Udara Singapura mula menempatkan pesawat-pesawat kombatnya di Guam untuk tempoh pendek bagi tujuan latihan pada 2017. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

To advertise contact: lulwabyadah@gmail.com

 

Comments
Loading...