Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pakistan Dakwa Miliki Peluru Berpandu Hypersonik, Pemerhati Kata Mungkin CM-400AKG

Pemerhati pertahanan antarabangsa menyatakan peluru berpandu hypersonik yang didakwa oleh Pakistan itu berkemungkinan adalah peluru berpandu CM-400AKG yang diperolehi oleh negara itu daripada China kira-kira lima tahun lalu untuk dilengkapkan pada pesawat pejuang JF-17 “Thunder” yang dibangunkan oleh Pakistan dan China.

0 4,475

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Baru-baru ini, Tentera Udara Pakistan (PAF) mendedahkan bahawa ia kini memiliki peluru berpandu hypersonik, sistem persenjataan yang merupakan sebahagian daripada usaha menyeluruhnya untuk memodenkan angkatan tenteranya bagi menangani ancaman berterusan “pihak luar.”

Menurut PAF (Pakistan Air Force), kemampuan peluru berpandu hypersonik itu adalah untuk mewujudkan angkatan yang “berbisa” dan menyeimbangkan semula dinamik kuasa di rantau Asia Selatan di bawah panglima tentera udaranya Air Chief Marshal Zaheer Ahmed Baber Sidhu.

Sebagaimana dipetik oleh media pertahanan antarabangsa baru-baru ini, PAF menyatakan antara usaha permodenan terhadap tentera udara negara itu termasuklah perolehan pesawat pejuang J-10C, platform peperangan elektronik yang moden, sistem pertahanan udara yang bersepadu, platform mobiliti udara dan lain-lain.

Walaupun mendedahkan kepada umum tentang kemampuan peluru berpandu hypersonik yang dimilikinya, namun PAF “mengunci mulut” dengan tidak mendedahkan jenis peluru berpandu hypersonik yang dimilikinya.

Bagi pemerhati pertahanan antarabangsa yang dipetik oleh media berkata, memandangkan China merupakan pembekal senjata terbesar kepada Pakistan, maka meramalkan bahawa peluru berpandu hypersonik itu berkemungkinan telah dibekalkan oleh Beijing.

Pakistan
Peluru berpandu CM-400AKG

 

Peluru berpandu hypersonik yang didakwa oleh Pakistan itu berkemungkinan adalah peluru berpandu CM-400AKG yang diperolehi oleh negara itu kira-kira lima tahun lalu untuk dilengkapkan pada pesawat pejuang JF-17 “Thunder”.

Pesawat pejuang JF-17 “Thunder” itu merupakan pesawat yang dibangunkan secara bersama di antara Pakistan Aeronautic Corporation (PAC) dan syarikat Chengdu Aircraft Corporation (CAC) daripada China.

Menjelang tahun ini atau tahun depan, Tentera Udara Pakistan dilaporkan akan  memiliki kira-kira 50 buah pesawat JF-17 Block 3 bagi menambah pegangan 98 buah pesawat JF-17 Block 1 dan JF-17 Block 2 yang dimilikinya pada ketika ini.

Varian terbaru pesawat pejuang JF-17 Block 3 itu lebih moden dan berkeupayaan kerana ia turut dilengkapi dengan teknologi pesawat pejuang generasi kelima,  J-20 dan dibangunkan sejak dua tahun lepas.

Penganalisis pertahanan Pakistan menyifatkan JF-17 Block 3 sebagai “game changer” dalam persaingan udara negara itu dengan musuh tradisinya, India.

Pakistan

Menurut syarikat Aviation Industry Aviation of China yang membangunkan peluru berpandu CM-400AKG itu, peluru berpandu itu boleh terbang selaju Mach 5 menjadikannya peluru berpandu hypersonik atau peluru berpandu dengan kelajuan supersonik yang tinggi.

Dengan berat keseluruhan kira-kira 900kg, peluru berpandu CM-400AKG itu dikatakan adalah peluru berpandu anti-kapal yang memiliki corak penerbangan seperti sebuah peluru berpandu ballistik dan boleh membedil sasaran sejauh 240km.

Peluru berpandu itu menggunakan Inertial Navigation System (INS) sebagai sistem panduannya.

Namun apa yang menarik bagi para pemerhati tentang peluru berpandu CM-400AKG itu adalah corak penerbangannya yang unik seperti peluru berpandu ballistik berbanding seperti peluru berpandu anti-kapal.

Peluru berpandu itu boleh dilancarkan daripada altitud yang tinggi berbanding peluru berpandu anti-kapal yang dilancarkan daripada altitud rendah bagi membolehkan ia mengelak pengesanan oleh radar musuh dan seterusnya ditembak jatuh.

Pakistan dilaporkan telah membeli kira-kira 60 buah peluru berpandu CM-400AKG daripada China dengan harga US$100 juta (RM450 juta) untuk dilengkapkan dengan pesawat-pesawat pejuang JF-17 milik PAF itu. — DSA

To contact email: lulwabyadah@gmail.com

Comments
Loading...