Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Media Lubnan Dakwa Anggota Pengaman Malaysia Ditahan Hezbollah, Sebelum Dibebaskan

(VIDEO) Kenderaan perisai itu sebagaimana didakwa oleh media-media Lubnan, membawa anggota-anggota pengaman UNIFIL daripada Malaysia yang kemudiannya ditahan sementara waktu oleh pejuang Hezbollah di kawasan kejiranan Hay al-Sellom di Dahiyeh, selatan Beirut itu sebelum dibebaskan.

0 2,979

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Beberapa media di Lubnan melaporkan sebuah kenderaan berperisai milik Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL) telah ditahan oleh penduduk tempatan, yang bertindak menyerahkan anggota pengaman PBB itu kepada pejuang Hezbollah.

Media Lubnan, Al-Monitor mendakwa insiden membabitkan kenderaan perisai dan penduduk tempatan serta pejuang Hezbollah itu berlaku baru-baru ini di sebuah kawasan dinamakan Hay al-Sellom di Dahiyeh, selatan Beirut.

Kenderaan perisai itu sebagaimana didakwa oleh media-media Lubnan, membawa anggota-anggota pengaman UNIFIL daripada Malaysia yang kemudiannya ditahan sementara waktu oleh pejuang Hezbollah di kawasan kejiranan selatan Beirut itu sebelum dibebaskan.

Kawasan Hay al-Sellom di Dahiyeh itu berada diluar kawasan operasi UNIFIL, dakwa media Lubnan.

Portal berita berbahasa Arab Lubnan Al-Modon juga telah mengeluarkan video kenderaan keadaan didalam kenderaan perisai milik anggota pengaman terbabit.

Rakaman video itu juga menunjukkan di stereng kenderaan perisai itu, terdapat perkataan “Cendana Auto” dan beberapa peralatan peribadi milik anggota pengaman itu.

Bercakap kepada stesen televisyen tempatan iaitu LBCI, timbalan jurucakap UNIFIL Kandice Ardiel mengesahkan tentang kejadian itu sehingga menyebabkan penahanan sementara anggota-anggota pengaman UNIFIL itu.

“Sebuah kenderaan pasukan pengaman PBB yang sedang dalam perjalanan rutin lojistik ke Beirut telah memasuki jalan yang tidak dirancang,” menurut beliau.

Kandice bagaimanapun tidak mendedahkan kewarganegaraan anggota pengaman yang terbabit dalam insiden itu.

Jurucakap UNIFIL itu juga berkata bahawa selain kebebasan untuk bergerak di dalam kawasan operasi UNIFIL, mereka juga diberikan kebebasan untuk bergerak di seluruh Lubnan oleh kerajaan negara itu untuk tujuan pentadbiran dan sebab-sebab lojistik.

“Kebebasan pergerakan itu adalah perlu untuk perlaksanaan Resolusi 1701,” kata Kandice.

UNIFIL

Sumber-sumber pula memberitahu media Lubnan Al-Modon bahawa peralatan dan kamera yang ditemui di dalam kenderaan perisai dinaiki anggota pengaman UNIFIL itu telah dirampas manakala anggota terbabit diserahkan kepada jawatankuasa keselamatan Hezbollah.

Mereka mengesyaki anggota terbabit telah mengambil gambar di kawasan terbabit, menurut media Lubnan itu.

Anggota pengaman PBB daripada Batallion Malaysia itu menurut media negara itu, kemudiannya telah dibebaskan dan diserahkan kepada Angkatan Tentera Lubnan.

Sebuah lagi akhbar Lubnan dinamakan Al-Akhbar yang dipetik oleh portal LBCI juga mengesahkan bahawa insiden di kawasan Hay al-Sellom di Dahiyeh itu melibatkan kenderaan perisai dinaiki oleh anggota-anggota pengaman Malaysia.

Akhbar itu juga menyatakan bahawa insiden itu bukan kali pertama berlaku dan “perselisihan faham” (altercation) antara pasukan tentera antarabangsa dan penduduk tempatan juga bukanlah kali pertama berlaku.

Bagaimanapun Al-Akhbar itu berkata, sensitiviti insiden yang berlaku adalah kerana “kesilapan”  berlaku di kawasan yang sememangnya dikenali sebagai kawasan pejuang terutamanya ketika peperangan dengan musuh.

Sebagaimana dilaporkan, insiden membabitkan anggota pengaman UNIFIL daripada Malaysia itu berlaku di kawasan Hay al-Sellom di Dahiyeh, selatan Beirut yang dikenali sebagai kawasan kubu kuat Hezbollah.

UNIFIL
Kawasan kejiranan Dahiyeh, Beirut. (Wikipedia)

 

Dahiyeh ini sememangnya adalah kawasan yang “sensitif” daripada segi keselamatan.

Pada 2 Januari lepas, Israel telah melancarkan serangan udara di Dahiyeh yang telah membunuh pemimpin kanan Hamas, Saleh al-Arouri.

Dahiyeh itu merupakan kawasan kejiranan di Beirut yang merupakan kubu kuat kepada pergerakan Hezbollah tetapi pada masa yang sama turut menempatkan pejabat Hamas di negara Mediterranean itu.

Laporan media menyatakan selain Arouri, turut terbunuh adalah dua komander kanan Briged al-Qassam dan empat lain.

Arouri adalah timbalan pengerusi biro politik Hamas dan pengasas kepada cabang ketenteraan kumpulan itu di Tebing Barat. — DSA

(LAGI BERITA TENTANG LUBNAN)

 

Comments
Loading...