Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Britain Timbang Jual Kapal Pengangkut Pesawat, HMS Prince of Wales Akibat Krisis Belanjawan Pertahanan

Media-media Britain menyatakan bahawa tentera laut negara itu berkemungkinan terpaksa menamatkan perkhidmatan atau menjual kapal pengangkut pesawat, HMS Prince of Wales seberat 65,000 tan kepada negara-negara sahabat untuk menampung kekurangan kritikal belanjawan pertahanan negara itu.

0 9,250

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Krisis belanjawan pertahanan kini amat mencengkam Britain dan angkatan tenteranya sehinggakan media-media negara itu menyatakan bahawa kapal pengangkut pesawat kedua negara itu, HMS Prince of Wales seberat 65,000 tan akan dijual dengan “harga runtuh” pada negara-negara sahabat yang berminat.

Media-media Britain menyatakan bahawa tentera laut negara itu berkemungkinan terpaksa menamatkan perkhidmatan atau menjual kapal pengangkut pesawat, HMS Prince of Wales kepada negara-negara sahabat untuk menampung kekurangan kritikal belanjawan pertahanan negara itu.

Menurut media-media itu yang memetik sumber dalam Tentera Laut Britain menyatakan bahawa keputusan sama ada untuk menamatkan perkhidmatan atau menjual HMS Prince of Wales itu akan terpaksa dibuat seawalnya tahun 2028.

Sumber-sumber dalam Tentera Laut Britain mula menyuarakan rancangan untuk mengurangkan perbelanjaan di dalam angkatan tentera selepas kerajaan negara itu berkemungkinan tidak akan menaikkan belanjawan pertahanan negara itu.

Kementerian Pertahanan negara itu dijangka akan membentangkan belanjawan pertahanannya pada minggu depan.

Kapal Pengangkut Pesawat
Kapal pengangkut pesawat HMS Prince of Wales dibina dengan kos RM13.5 bilion

 

Salah sebuah media negara itu, Daily Mail menyatakan ia diberitahu oleh sumber di dalam tentera laut negara itu bahawa senario di mana Tentera Laut Britain terpaksa menjual kapal pengangkut pesawat HMS Prince of Wales itu telah dibincangkan oleh Maritime Enterprise Planning Group.

Maritime Enterprise Planning Group merupakan kumpulan yang melihat kepada perancangan dan strategi masa depan tentera laut.

“Terdapat kesedaran di dalam Maritime Enterprise Planning Group bahawa Tentera Laut sedang bergelut untuk mengekalkan komitmen operasinya.”

“Kapal pengangkut pesawat kedua Britain itu adalah aset dan peralatan yang mahal tetapi jarang digunakan. Oleh itu sekiranya kita mahu menangani isu kewangan angkatan tentera, melupuskannya (kapal pengangkut pesawat itu) atau berkongsinya dengan negara-negara AUKUS (Australia, Amerika Syarikat), maka ia adalah suatu opsyen (penjualan),” kata kumpulan itu.

Kapal pengangkut pesawat kedua Britain itu hanya ditauliahkan ke dalam perkhidmatan tentera laut negara itu pada tahun 2019 selepas bertahun-tahun dibina pada kos yang mencecah US$3 billion (RM13.5 billion).

Kapal Pengangkut Pesawat
HMS Prince of Wales dan HMS Queen Elizabeth

 

Kapal pengangkut pesawat HMS Prince of Wales itu merupakan kapal pengangkut pesawat kelas-Queen Elizabeth milik Tentera Laut Britain yang kedua selepas kapal pengangkut pesawat yang pertama,  HMS Queen Elizabeth.

Dengan anak kapal anak kapal seramai 1,600 orang, kapal pengangkut pesawat HMS Prince of Wales itu berkemampuan membawa sehingga 36 buah pesawat pejuang F-35B (Vertical Short Take-off and Landing), tidak termasuk helikopter.

Walaupun baru sahaja lima tahun ditauliahkan ke dalam Tentera Laut Britain, namun kapal pengangkut pesawat kedua negara itu memiliki sejarah kerosakan yang agak panjang sebaik sahaja ia ditauliahkan ke dalam perkhidmatan tentera laut negara itu.

Pada tahun 2020, kapal itu “tersadai” di Portsmouth selepas bilik enjinnya dimasuki air menyebabkan kerosakan terhadap sistem elektriknya.

Dalam tempoh dua tahun selepas ditauliahkan, kapal pengangkut pesawat HMS Prince of Wales itu hanya menghabiskan masa kira-kira 90 hari di lautan selepas kebocoran dikesan sebanyak dua kali dalam tempoh lima bulan.

Pada 2022, kapal pengangkut pesawat itu mengalami kerosakan ketika ia bersiap-sedia untuk memulakan pelayaran ke Amerika Syarikat. 

Kapal perang terbesar United Kingdom itu rosak di perairan selatan England sebaik sahaja meninggalkan pangkalannya di Portsmouth.

Laksamana Steve Moorhouse dalam satu kenyataan mengatakan bahawa kapal perang itu mengalami kerosakan mekanikal di bahagian “starboard shaft” kapal terbabit.

Kapal itu akan ditunda ke kawasan untuk berlabuh bagi membolehkannya diperiksa dengan lebih teliti dan diperbaiki kerosakannya. — DSA

(LAGI BERITA TENTANG HMS PRINCE OF WALES)

 

Comments
Loading...