Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Amerika Jadikan Guam Kubu “Paling Dilindungi” Di Dunia

Menurut dokumen-dokumen tentera Amerika Syarikat, Pulau Guan itu akan dilindungi secara bersepadu oleh 20 pusat pertahanan udara berlainan dipanggil Enhanced Integrated Air and Missile Defense (EIAMD) terdiri daripada sistem radar dan peluru berpandu pertahanan udara, yang bukan sahaja mampu menangkis pesawat tetapi juga peluru berpandu ballistik.

0 4,409

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pulau Guam yang menempatkan pangkalan tentera Amerika Syarikat di Lautan Pasifik bakal dilindungi oleh 20 pusat sistem pertahanan udara berlainan, bertujuan menjadikan pulau milik negara kuasa besar itu sebagai kawasan yang paling dilindungi di dunia.

Menurut dokumen-dokumen tentera Amerika Syarikat, Pulau Guam itu akan dilindungi secara bersepadu oleh 20 pusat pertahanan udara berlainan dipanggil Enhanced Integrated Air and Missile Defense (EIAMD) terdiri daripada sistem radar dan peluru berpandu pertahanan udara, yang bukan sahaja mampu menangkis pesawat tetapi juga peluru berpandu ballistik.

Usaha bersepadu itu adalah untuk memastikan Pulau Guam yang terletak di kedudukan strategik di perairan barat Lautan Pasifik, kira-kira 9,300km di barat San Francisco, Amerika Syarikat itu berkemampuan menangani sebarang ancaman daripada udara.

Guam

Kesemua sistem pertahanan udara itu akan beroperasi sepanjang masa, dibantu dengan peraturan sekatan penggunaan ruang udara di sekitar pulau itu yang akan dilaksanakan oleh Federal Aviation Administration (FAA), sebuah agensi persekutuan Amerika Syarikat.

“Sistem EIAMD itu mampu mempertahankan Pulau Guam secara 360 darjah di keseluruhan pulau itu. Kemampuan pertahanan 360 darjah itu mampu dicapai dengan meletakkan komponen sistem EIAMD itu di pelbagai lokasi di keseluruhan pulau itu.”

“Pemilihan lokasi-lokasi EIAMD itu dan penambahan lokasi itu akan dipertimbangkan,” kata dokumen tentera Amerika Syarikat itu.

Sistem EIAMD itu bakal dibangunkan oleh Missile Defense Agency dan Tentera Darat Amerika Syarikat dan ia akan beroperasi sepanjang masa.

Pada ketika ini, sistem EIAMD yang akan melindungi Pulau Guam itu daripada ancaman udara adalah sistem pertahanan udara “berlapis-lapis” yang memberikan pertahanan 360 darjah daripada segala jenis ancaman udara.

Guam
Anggota tentera Amerika meninjau kemudahan sistem pertahanan udara AEGIS Darat ( AEGIS Ashore)

 

Pulau Guam yang merupakan wilayah terkecil milik Amerika Syarikat dengan keluasan hanyalah 200 batu persegi menempatkan pangkalan-pangkalan utama tentera udara, laut dan marin Amerika Syarikat.

Pulau Guam menjadi wilayah Amerika Syarikat pada 1898 sebelum Jepun menakluk dan menduduki pulau itu ketika Perang Dunia Kedua.

Amerika Syarikat membebaskan Guam pada 1945 daripada tentera Jepun dan pulau itu kembali semula sebagai wilayah Amerika.

Walaupun kecil daripada segi saiz, tetapi Guam disifatkan amat “aktif” daripada segi ketenteraan kerana ia menempatkan anggota tentera Amerika Syarikat daripada kesemua cabang, udara, darat,laut dan bawah laut

Pangkalan Udara Andersen dan Pangkalan Laut Apra Harbor adalah pangkalan tentera utama Amerika Syarikat di Pulau Guam.

Guam
Kapal selam nuklear SSBN “USS Nevada” di Pulau Guam.

 

Pangkalan Udara Andersen tidak memiliki penempatan tetap pesawat-pesawat tetapi banyak pesawat tentera Amerika bergilir-gilir menjadikan Guam sebagai rumah sementaranya terutama pesawat-pesawat pengebom seperti B-1 Lancer dan B-52.

Selain Pangkalan Udara Andersen, Guam juga menempatkan Pangkalan Laut Apra Harbor yang menempatkan lima buah kapal selam nuklear Amerika Syarikat daripada kelas-Los Angeles.

Kapal-kapal selam nuklear kelas-Los Angeles Amerika Syarikat yang ditempatkan di Pangkalan Laut Apra Harbor adalah Key West,Asheville,Annapolis, Springfield dan Jefferson  City.

Selain menempatkan kapal-kapal selam kelas-Los Angeles, kapal-kapal selam Amerika daripada kelas-Ohio juga kerap berkunjung ke Apra Harbor sebagai tempatan persinggahan sementara sebelum mereka meneruskan operasi di Pasifik.

Sebuah kapal pemusnah kelas-Arleigh Burke dengan sistem kombat AEGIS dan peluru berpandu SM-3 1B akan sentiasa berada di Pulau Guam untuk mempertahankan pulau itu daripada serangan peluru berpandu ballistik.

Guam
Pesawat pengebom strategik B-1 Lancer di Pangkalan Andersen di Pulau Guam.

 

Tentera Laut Amerika Syarikat juga mahu membina kemudahan sistem AEGIS/SM-3 1B di darat (ashore).

Bagi mengukuhkan lagi pertahanan Guam daripada sebarang serangan peluru berpandu ballistik sama ada daripada China atau Korea Utara, Amerika telah menempatkan bateri  Terminal High Altitude Area Defense (THAAD).

Selain THAAD dan AEGIS/SM-31B, tentera Amerika Syarikat juga dilaporkan akan menempatkan sistem pertahanan udara Patriot di Guam untuk menangani sebarang kemungkinan serangan peluru berpandu ballistik China.

Guam
Pulau Guam dan lingkungan pertahanan udaranya.

 

Senario Pulau Guam diserang itu bukan asing kerana pada 2020 sebuah video promosi sepanjang dua minit yang dikeluarkan oleh Tentera China telah menunjukkan bagaimana pesawat pengebomnya menggugurkan bom ke atas sebuah pengkalan udara yang mirip kepada Pangkalan Udara Andersen di Guam.

Bagi memastikan China berjaya dalam kempen ketenteraannya di Taiwan atau Jepun sekiranya konflik tercetus – Pulau Guam perlu “dihapuskan.”

Peluru berpandu ballistik DF-26 milik China yang juga digelar “Guam Express” hanya memerlukan masa 30 minit untuk “mendarat” di Guam selepas dilancarkan.

Ia adalah suatu cabaran yang besar bagi Amerika Syarikat untuk mempertahankan Pulau Guam, Pangkalan Udara Andersen dan Apra Harbor sekiranya konflik bersenjata dengan China meletus. — DSA

Donlod

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...