Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Lockheed Martin Kaut “Bonanza”, Dua Lagi Negara Pilih F-35

Sehingga kini, syarikat Lockheed Martin itu telah membina lebih daripada 800 buah pesawat pejuang generasi kelima itu untuk Amerika Syarikat dan negara-negara sekutunya dan perkara itu dijangkakan berterusan untuk beberapa ketika akibat ketiadaan "pesaing" bagi pesawat F-35 ketika ini.

0 6,491

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Konflik di antara Russia dan Ukraine boleh disifatkan sebagai “bonanza” kepada syarikat-syarikat pembuat senjata Amerika Syarikat, dengan pesanan tanpa henti diterima daripada pelanggan terhadap produk-produk mereka.  

Antara syarikat yang sedang mengaut “keuntungan besar” daripada konflik itu adalah Lockheed Martin, syarikat pertahanan Amerika Syarikat yang membangunkan pesawat pejuang generasi kelima, F-35.

Sehingga kini, syarikat Lockheed Martin itu telah membina lebih daripada 800 buah pesawat pejuang generasi kelima itu untuk Amerika Syarikat dan negara-negara sekutunya dan perkara itu dijangkakan berterusan untuk beberapa ketika akibat ketiadaan “pesaing” bagi pesawat F-35 ketika ini.

F-35

Beberapa hari lepas, syarikat itu mengaut kontrak bernilai berbilion-bilion Dolar Amerika apabila pesawat pejuang generasi kelimanya yang diibaratkan sebagai “goreng pisang panas” itu menjadi pilihan dua buah negara lagi.

Ia menambah deretan negara-negara yang telah pun menjadi pelanggan Lockheed Martin sebelum ini, mengukuhkan lagi penguasaannya terhadap pasaran pesawat pejuang antarabangsa dengan F-35.

Pesawat pejuang F-35 membuktikan bahawa ia tidak mempunyai pesaing dalam pasaran ketika ini.

Pada 29 Jun, Jabatan Negara Amerika Syarikat mengumumkan bahawa ia telah bersetuju untuk menjual 24 buah pesawat pejuang F-35 bersama-sama kelengkapan persenjataan, peralatan dan alat ganti kepada Republik Czech dianggarkan bernilai US$5.6 bilion (RM25.2 bilion).

Republik Czech itu menolak pesawat pejuang Gripen yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan Sweden, Saab Group dalam memilih varian F-35A.

“Cadangan penjualan itu akan meningkatkan kemampuan pertahanan Republik Czech dan pada masa yang sama menyokong operasi NATO untuk mempertahankan sempadannya daripada ancaman,” kata Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat.

F-35A
Dua buah pesawat pejuang F-35A Tentera Udara Diraja Australia (RAAF)

 

Ia juga berkata bahawa perolehan pesawat-pesawat pejuang oleh Republik Czech tidak akan mengubah imbangan kuasa tentera di rantau itu.

Dua hari lepas, kerajaan Israel mengumumkan bahawa ia akan memperolehi 25 buah pesawat tambahan F-35 buatan Amerika Syarikat dalam urusan perniagaan bernilai US$3 bilion (RM13.5 bilion), membawa keseluruhan pesawat F-35 di dalam pemilikan tentera udaranya kepada 75 buah.

Perolehan 25 buah pesawat pejuang F-35 tambahan itu akan dibiayai menerusi pakej bantuan ketenteraan Amerika Syarikat.

Israel merupakan negara pertama di luar Amerika Syarikat menggunakan pesawat pejuang F-35 yang dinamakan “Adir” (Mighty).

Ia juga merupakan diantara beberapa negara yang dibenar untuk melakukan pengubahsuaian terhadap pesawat F-35 miliknya itu.

Tahun lepas, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Saab Group, Micael  Johansson memberitahu wartawan negara itu tentang “kekecewaannya” berhubung kegagalan syarikat itu menarik pelanggan untuk memperolehi pesawat buatannya.

F-35 Adir
Pesawat F-35I “Adir” Tentera Udara Israel

 

Bercakap kepada media negara itu di ibu pejabat Saab di Stockholm, beliau berkata pesawat pejuang Gripen yang dibangunkannya gagal menepati sasaran dalam pasaran eksport dan menyalahkan faktor-faktor politik sebagai punca disebalik kegagalan itu.

Kali terakhir Gripen berjaya memenangi persaingan membekalkan pesawat kepada negara asing adalah pada 2014 apabila ia berjaya menambat hati Brazil yang bersetuju membeli 36 buah pesawat pejuang buatan Sweden itu bernilai US$5.4 bilion (RM21.6 bilion).

Daripada segi prestasi dan kemampuan pesawat pejuang, Johansson berkata, tiada apa yang membezakan di antara Gripen dengan pesawat-pesawat pejuang yang setanding dengannya.

Dalam persaingan untuk membekalkan pesawat, Gripen telah tewas di negara-negara seperti Denmark yang memilih F-35 buatan Amerika, Kanada (juga memilih F-35), Finland (memilih F-35), Switzerland (F-35), Poland (F-35 dan FA-50),  Norway (F-35) dan Belanda (F-35).

Nampaknya, “musuh” utama pesawat pejuang Gripen iaitu F-35 yang dibangunkan oleh Lockheed Martin telah “tapau” hampir kesemua persaingan untuk membekalkan pesawat baru di Eropah pada ketika ini.

Malah negara-negara Scandinavia lain yang berjiran dengan Sweden seperti Finland dan Norway turut memandang sepi terhadap bidaan oleh Saab serta pesawat Gripen dan telah memilih F-35 buatan Amerika Syarikat. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...