Turkiye Berkeras Mahu Amerika Pulangkan US$1.4 Bilion Dibayarnya Untuk Program F-35
Hampir empat tahun sudah berlalu selepas Ankara "ditendang keluar" daripada program F-35 itu, namun Amerika Syarikat masih belum menunjukkan sebarang tanda bahawa ia bersedia untuk membayar-balik wang berjumlah US$1.4 bilion (RM5.4 bilion) yang dituntut oleh Ankara.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Turkiye mula menyertai program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima F-35 Lightning II seawal tahun 1999, dengan negara anggota NATO itu komited untuk membeli 100 buah varian F-35A pesawat keluaran syarikat Lockheed Martin itu.
Sebagai rakan pembangunan, Ankara telah membayar US$1.4 bilion (RM5.4 bilion) sebagai kos pembangunan pesawat pejuang itu, manakala syarikat-syarikatnya pula bertanggungjawab menghasilkan kira-kira 900 alat ganti dalam program perkongsian industri.
Pembabitan syarikat Turkiye dalam program pembangunan pesawat pejuang itu dilaporkan menyumbang kira-kira US$9 bilion (RM40.5 bilion) kepada ekonomi negara Mediterranean itu.

Pesawat pertama F-35A milik Turkiye telah pun dilancarkan di Amerika Syarikat pada 2018 dalam majlis gilang-gemilang, disusuli oleh lima lagi buah pesawat pejuang yang sama, yang kini “disimpan” dalam gudang di negara itu.
Bagaimanapun pada 2019, Turkiye telah secara rasmi “ditendang” keluar daripada program pesawat pejuang F-35 oleh Washington kerana kedegilannya untuk meneruskan pembelian sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia.
Pegawai-pegawai kanan di Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat dilaporkan berkata bahawa pesawat pejuang F-35 tidak boleh “hidup bersama” dengan sistem pertahanan udara, S-400 yang dikategorikan oleh Washington adalah “platform pengumpulan perisikan” Russia.
Pegawai kanan Amerika Syarikat percaya Russia akan menggunakan sistem pertahanan udara S-400 untuk mempelajari kemampuan terkini pesawat pejuang F-35 itu.
“Kebanyakkan daripada kekuatan F-35 itu terletak kepada kemampuan halimunannya (stealth), jadi kemampuan untuk mengesan aspek halimunan itu menjejaskan keselamatan jangka panjang program F-35 itu. Kami hanya mahu menjaga aspek keselamatan jangka panjang program pesawat pejuang itu, ” menurut seorang pegawai kanan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat.
Bukan sahaja Ankara dikeluarkan daripada program pembangunan pesawat F-35 itu, tetapi negara Mediterranean itu turut dikenakan sekatan ketenteraan di bawah CAATSA (Countering America’s Adversaries Through Sanctions Act (CAATSA).
CAATSA adalah undang-undang persekutuan Amerika Syarikat yang mengenakan sekatan ketenteraan terhadap musuh-musuh negara itu seperti Iran,Korea Utara dan Russia.
Comments are closed.