Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

11 Buah Kapal Perang Russia, China “Hampiri” Perairan Amerika

Wakil rakyat Alaska daripada parti Republikan, Senator Dan Sullivan berkata kepada stesen televisyen Fox News bahawa apa yang dilakukan oleh kapal-kapal perang Russia dan China di perairan yang sangat hampir dengan perairan wilayah (territorial waters) milik Amerika Syarikat, tidak pernah berlaku sebelum ini.

0 11,511

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam apa yang disifatkan oleh pemimpin Amerika Syarikat sebagai suatu insiden “bersejarah” dan tidak pernah berlaku sebelum ini, armada 11 buah kapal perang Russia dan China dikesan mengadakan latihan perang dan rondaan di Kepulauan Aleutians di perairan Alaska baru-baru ini.

Alaska merupakan salah sebuah negeri di Amerika yang terletak di wilayah paling utara di benua Amerika Utara manakala perairannnya bersempadan dengan Selat Bering.

Ia adalah wilayah Amerika Syarikat yang paling hampir dengan wilayah Russia, dengan Pulau Diomede Kecil (milik Amerika) hanya terletak kira-kira 4km daripada Pulau Diomede Besar (milik Russia).  

Russia

Pihak Wall Street Journal menyifatkan tindakan kapal-kapal perang Russia dan China berhampiran perairan wilayah Amerika Syarikat sebagai “sangat provokatif”  disebabkan peperangan yang sedang berlaku di Ukraine dan juga sikap agresif tentera China di sekeliling Pulau Taiwan.

Wakil rakyat Alaska daripada parti Republikan, Senator Dan Sullivan berkata kepada stesen televisyen Fox News bahawa apa yang dilakukan oleh kapal-kapal perang Russia dan China di perairan yang sangat hampir dengan perairan wilayah (territorial waters) milik Amerika Syarikat, tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Ini tidak pernah berlaku sebelum ini, terutamanya melibatkan skop dan saiz armada tentera laut Russia dan China, yang bekerjasama dengan rapat sekali.”

“Sama ada anda tinggal di Alaska atau di tempat-tempat lain di Amerika Syarikat, kehadiran kapal-kapal perang daripada dua buah negara “pesaing” berada sangat hampir dengan Amerika Syarikat adalah sesuatu yang membimbangkan,” kata beliau.

Katanya, ia hanya mengukuhkan lagi idea bahawa dictator di Russia dan China kini semakin bertindak agresif.

Russia

Senator itu juga berkata kejadian berlaku beberapa hari lepas.

Sebagai tindakan balas terhadap kehadiran 11 buah kapal perang Russia dan China di perairan Alaska itu, Tentera Laut Amerika Syarikat telah mengerah empat buah kapal destroyer miliknya serta sebuah kapal peronda maritim P-8 “Poseidon” untuk membayangi (shadow) pergerakan kapal-kapal “musuhnya” itu.

Kejadian sama pernah berlaku pada pada tahun lepas, tetapi bilangan kapal-kapal perang Russia dan China kali adalah jauh lebih besar.

Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat dan pentadbiran Presiden Jo Biden masih belum memberikan kenyataan tentang kehadiran kapal-kapal perang Russia dan China di perairan Alaska itu baru-baru ini dan mengkategorikannya sebagai rahsia negara.

Armada kapal-kapal perang Russia dan China itu termasuk kapal-kapal destroyer — RFS Admiral Panteleyev (548) dan RFS Admiral Tributs (564), korvet RFS Gremyashchiy (337) dan RFS Hero of the Russian Federation Aldar Tsydenzhapov (339) dan kapal pengisi minyak Pechenga.

Russia
“Admiral Panteleyev”

 

Manakala kapal-kapal perang China pula terdiri daripada kapal destroyer – CNS Guiyang (119) dan CNS Qiqihar (121), friget CNS Zaozhuang (542) dan CNS Rizhao (598) dan kapal pengisi minyak CNS Taihu (889).

Kenyataan daripada Kementerian Pertahanan Russia pula menyebut bahawa armada kapal-kapal perangnya dan China itu kini berada di Selat Bering selepas belayar di Laut Jepun, Selat La Perouse,  Laut Okhotsk dan Selat Kamchatka.

Beberapa bulan lepas, pegawai-pegawai kanan tentera Amerika Syarikat menyuarakan kebimbangan mereka tentang peningkatan kekerapan “kemunculan” kapal-kapal selam berkuasa nuklear Russia di kawasan perairan pesisir  negara itu sejak kebelakangan ini.

Sebagaimana dilaporkan oleh Newsweek, peningkatan kekerapan kemunculan kapal-kapal selam berkuasa nuklear Russia di perairan pesisir Amerika Syarikat  sebagaimana dinyatakan oleh pegawai kanan tentera negara itu,  sememangnya mengancam keselamatan negara ini.

Menurut pegawai-pegawai tentera Amerika Syarikat, peningkatan kekerapan “kemunculan” kapal-kapal berkuasa nuklear Russia di pesisir negara itu berlaku, walaupun Moscow sedang berhadapan dalam konflik dengan Ukraine.

USS Mustin
Kapal destroyer kelas-Arleigh Burke “USS Mustin.”

 

Pengarah Russia Maritime Studies Institute (RMSI) Michael Peterson yang menyelidik tentera Russia berkata terdapat banyak petanda bahawa Russia mengerah banyak kapal-kapal selam berkuasa nuklearnya ke kawasan perairan pesisir Amerika Syarikat.

Kerahan itu bukan sahaja disasarkan kepada kawasan-kawasan pesisir  Amerika Syarikat tetapi juga di Mediterranean dan juga di sekitar Eropah.

Apa yang dilakukan oleh Moscow pada ketika ini kata penyelidik itu,adalah sama sebagaimana dilakukan oleh Kesatuan Soviet ketika ketegangan pada zaman Perang Dingin. 

Strategi dasar laut Russia itu semakin jelas ketika Presiden Russia Vladimir Putin mentauliahkan beberapa aset tentera lautnya termasuk kapal selam berkuasa nuklear terbarunya, Generalissimus Suvorov yang berkemampuan melancarkan peluru berpandu nuklear.

Menurut presiden Russia itu, negara itu akan membina lebih banyak kapal selam berkuasa nuklear bagi “memastikan keselamatan negara itu untuk berdekad akan datang.” — DSA

Donlod

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...