Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Turki Bakal “Ditendang” Keluar Dari NATO? (Video)

0 152

(DEFENCE SECURITY ASIA)Pihak tentera Turki telah memulakan proses menguji sistem peluru berpandu S-400 buatan Russia dengan memindahkan sistem pertahanan udara itu ke Sinop, yang terletak berhampiran dengan Laut Hitam.

Bagaimanapun tindakan Ankara itu tidak disenangi oleh Amerika Syarikat, NATO dan musuh ketatnya, Greek.

Malah sudah ada pihak yang mahukan Turki “ditendang” keluar daripada NATO kerana kedegilannya untuk membeli sistem pertahanan udara S-400 itu.

Pihak berkuasa penerbangan awam Turki telah pun mengeluarkan NOTAM (Notice to Airmen) untuk mengharamkan mana-mana pesawat daripada menggunakan ruang udara di antara Sinop dan Unyem.

NOTAM itu adalah petanda jelas bahawa Turki akan melakukan penembakan peluru berpandu S-400 pada bila-bila masa.

Turki s-400
Sistem pertahanan udara S-400 boleh menembak sasaran dalam sasaran 400km. (sumber internet)

Sistem pertahanan udara S-400 ini mampu menembak sasaran udara dalam lingkungan 400km, menjadikannya sistem yang amat ampuh.

Turki yang mula menerima sistem itu daripada Russia pada 2019, telah pun memindahkan kenderaan pelancar dan sistem radar serta komunikasi S-400 ke Sinop beberapa hari lepas.

Turut dipindahkan ke Sinop adalah 10 buah dron “Banshee”, yang dipercayai akan dijadikan sasaran bagi sistem S-400 itu.

Rakaman penghantaran sistem S-400 Turki ke bandar Sinop beberapa hari lepas. (sumber Twitter)

Ankara membeli sistem pertahanan udara yang amat digeruni oleh pihak Barat itu pada 2017 dalam perjanjian pembelian bernilai US$2.5 bilion.

Pada ketika ini, Turki dan Russia sedang berunding bagi penghantaran keseluruhan sistem itu kepada negara Mediterranean dan isu pemindahan teknologi termasuk kemungkinan penghasilan S-400 oleh industri pertahanan tempatan.

Semenjak Turki memutuskan untuk membeli S-400, Amerika Syarikat telah menguggurkan penyertaan Ankara dalam program pesawat pejuang F-35.

Washington juga mengugut untuk mengenakan sekatan terhadap Ankara menerusi akta “Countering America’s Adversaries Through Sanction Act (CAATSA) jika ia mengaktifkan sistem S-400 yang dibelinya daripada Russia.

Akta CAATSA itu menghendaki Amerika Syarikat mengenakan sekatan ekonomi terhadap mana-mana negara yang membeli sistem persenjataan daripada Russia.

Erdogan
Presiden Erdogan dan Presiden Trump dalam satu pertemuan tahun lepas. (sumber internet)

Dalam insiden terbaru, Greek mendakwa Turki telah pun mengaktifkan radar S-400 terhadap pesawat F-16 miliknya yang melalui ruang udara berhampiran ketika pulang daripada menjalani latihan di Cyprus pada Ogos lepas.

Dakwaan bahawa Turki telah mengaktifkan radar S-400 terhadap pesawat F-16 Greek telah membangkitkan kemarahan dua orang senator Amerika, Chris Van Hollen dan James Lankford yang mahukan Presiden Trump mengambil tindakan terhadap Ankara.

Kedua-dua senator daripada Demokrat dan Republikan itu mahu mengetahui sama ada insiden pada 27 Ogos itu terhadap pesawat Greek menunjukkan bahawa Turki benar-benar telah menghubungkan (link) sistem S-400 itu dengan sistem data link “LINK 16” milik NATO.

Jika ini berlaku kata mereka, ia akan membenarkan pihak Russia akses kepada maklumat perisikan NATO.

S-400
Grafik kredit oleh Associated Press dan Army Technology.

Pihak Jabatan Negara dalam respons mereka terhadap kenyataan kedua-dua senator itu berkata mereka “memandang” berat dakwaan itu.

NATO dan Amerika Syarikat bimbang kerana pesawat-pesawat mereka banyak beroperasi di kawasan Laut Hitam terutama untuk memantau Crimea , Russia.

Ankara telah pun menyatakan ia akan bertindak jika Washington dan NATO bertindak terhadapnya berhubung pembelian sistem pertahanan udara S-400.

Antara tindakan yang bakal diambil oleh Turki termasuklah menutup pengkalan udara Incirlik daripada digunakan oleh pesawat-pesawat Amerika Syarikat dan NATO.

Pengkalan udara Incirlik ini amat penting bagi operasi pesawat-pesawat milik Washington dan NATO di Timur Tengah, Laut Hitam dan Mediterranean.

Negara Mediterranean itu juga mengugut untuk menutup pusat radar di Kurecik yang dioperasikan oleh NATO untuk memantau pelancaran peluru berpandu ballistik milik Iran.

– DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...