Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Amerika Cadang Jual F-35 Pada Greek Selepas Larang Turki Beli Pesawat Itu

Rundingan antara Amerika dan Greek berkenaan penjualan pesawat F-35 itu bermula sebaik sahaja Washington "tendang keluar" Turki daripada program pembangunan pesawat generasi kelima itu selepas Ankara berkeras mahu membeli sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia.

0 3,449

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas “menendang keluar” Turki daripada program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima F-35 Joint Strike Fighter dan melarang negara Mediterranean itu daripada membelinya, Washington kini bercadang menjual pesawat F-35 kepada musuh ketatnya iaitu Greek.

Sejak setahun yang lepas, Washington dan Athens telah mengadakan rundingan demi rundingan berkenaan penjualan pesawat halimunan yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin itu kepada Greek.

Dan kini perundingan itu semakin berhasil dengan Greek dijangka membeli kira-kira 20 buah pesawat F-35 bernilai US$3.5 bilion (RM14 bilion).

Menurut laporan daripada portal pertahanan, Janes.com, satu pasukan daripada syarikat Lockheed Martin akan ke Greek pada bulan ini untuk merundingkan perkara berkenaan penjualan pesawat pejuang itu.

Duta Amerika ke Greek Geoffrey Pyatt juga mengesahan bahawa pasukan daripada syarikat pembuat pesawat F-35 serta Tentera Udara Amerika akan ke Athens untuk berbincang tentang penjualan pesawat generasi kelima itu.

F-35
Pesawat pejuang F-35

 

 

“Greek bakal menjadi sebahagian daripada program pesawat F-35,” kata duta Amerika itu kepada media tempatan baru-baru ini.

Rundingan antara Amerika dan Greek berkenaan penjualan pesawat F-35 itu bermula sebaik sahaja Washington mengeluarkan Turki daripada program pembangunan pesawat canggih itu selepas Ankara berkeras mahu membeli sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia.

Amerika bimbang Russia akan menggunakan sistem pertahanan udara S-400 yang digunakan oleh Turki itu untuk “mencungkil” rahsia berkenaan pesawat F-35 itu.

S-400
Sistem pertahanan udara S-400

 

Sistem pertahanan udara S-400 itu sudah pun dioperasikan oleh tentera udara Turki, tindakan yang membangkitkan lagi kemarahan Washington dan menegangkan lagi hubungan di antara kedua-dua negara anggota NATO itu.

Turki dan Greek juga adalah anggota NATO.

Ankara sepatutnya membeli kira-kira 100 buah pesawat pejuang F-35, sebelum “dikeluarkan” daripada program pembangunan pesawat itu.

Nasib Turki terutama tentera udaranya memang “malang” akhir-akhir ini, kerana bukan sahaja ia dilarang untuk membeli pesawat F-35 tetapi cadangannya untuk membeli 40 buah pesawat F-16 serta 80 buah “modification kit” pesawat daripada Amerika Syarikat menerima tentangan hebat daripada anggota Kongres Uncle Sam itu.

F-16 Turki
Pesawat F-16 Turki

 

Tentangan hebat anggota Kongres Amerika itu mungkin menyebabkan Turki gagal mendapatkan pesawat F-16 dan “modification kit” yang amat penting untuk memodenkan pesawat-pesawat F-16 yang sedang digunakan oleh tentera udaranya pada ketika ini.

Turki merupakan pengguna pesawat F-16 terbesar di luar Amerika dengan kira-kira 250 buah pesawat.

Pada ketika Tentera Udara Turki sedang “dirudung malang”, musuh ketatnya iaitu Greek pula baru sahaja menerima enam buah pesawat pejuang Rafale daripada 24 buah yang dibelinya daripada Perancis bernilai US$3.4 bilion (RM13.6 bilion).

Rafale
Paderi memberikan restu kepada pesawat-pesawat Rafale yang baru diterima oleh Greek.

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

 

Sebanyak 12 buah daripada pesawat itu adalah pesawat  terpakai Tentera Udara Perancis manakala selebihnya adalah pesawat-pesawat baru. 

Pesawat-pesawat Rafale Greek dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara “Meteor BVRAAM” (Beyond Visual Range Air-to-Air Missile) buatan syarikat MBDA Systems yang mempunyai kemampuan menangani ancaman udara daripada jarak sejauh 120km-150km.  — DSA

Comments
Loading...