Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Helikopter Penyerang Z-10ME Kebanggaan China Buat “Kemunculan” Di Singapore Air Show

Kemunculan varian eksport helikopter penyerang Z-10ME yang dibangunkan oleh Changhe Aircraft Industries Corporation (CAIC) itu pada Singapore Air Show 2024 memberi peluang kepada pemerhati pertahanan antarabangsa untuk melihat dengan lebih dekat helikopter penyerang kebanggaan China itu.

0 3,248

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Buat pertama kali, helikopter penyerang Z-10ME buatan China yang merupakan pesaing kepada helikopter penyerang Amerika Syarikat, AH-64D Apache membuat kemunculan sulung pada pasaran antarabangsa di Singapura.

Kemunculan varian eksport helikopter penyerang Z-10ME yang dibangunkan oleh Changhe Aircraft Industries Corporation (CAIC) itu pada Singapore Air Show 2024 memberi peluang kepada pemerhati pertahanan antarabangsa untuk melihat dengan lebih dekat helikopter penyerang kebanggaan China itu.

Helikopter penyerang kebanggaan industri pertahanan itu akan terlibat dalam pameran statik pada ‘Singapore Air Show 2024 akan berlangsung mulai esok hingga Februari 25.

Ia akan “bersaing” dengan helikopter penyerang AH-64 Apache milik Singapura dan Amerika Syarikat yang turut menyertai pameran pertahanan itu.

Ada juga yang mengatakan rekabentuknya Z-10ME lebih kepada mirip helikopter penyerang “Tigre.”

Z-10ME
Helikopter Z-10ME

 

Helikopter penyerang buatan China itu telah digunakan secara meluas oleh unit udara tentera darat negara itu dalam beberapa latihan besar-besaran berhampiran Taiwan dan India sebelum ini.

Terdapat laporan mengatakan bahawa terdapat varian helikopter Z-10 digunakan oleh unit udara tentera darat China menggunakan enjin yang dibangunkan bersama dengan firma pembuat enjin Perancis, Safran Helicopter Engines.

Enjin yang dibangunkan bersama dengan firma Perancis itu membolehkan helikopter penyerang Z-10 itu beroperasi pada altitud tinggi terutamanya kawasan pergunungan di sempadan China-India.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada varian eksport helikopter penyerang China itu dilengkapkan dengan enjin yang dibangunkan secara bersama dengan syarikat Perancis.

Sementara itu, terdapat juga laporan menyatakan bahawa helikopter penyerang China itu dilengkapi dengan Milimetre Wave Radar (MVR) sebagaimana yang turut dilengkapkan pada helikopter penyerang AH-64D Apache buatan Amerika Syarikat.

Z-10ME
“Z-10ME”

 

Setakat ini selain Pakistan, tidak pasti negara mana lain di dunia ini menggunakan helikopter penyerang Z-10ME.

Pada tahun lepas, Pakistan dilaporkan telah mula menerima helikopter penyerang Z-10ME buatan China itu, selepas usahanya untuk memperolehi helikopter penyerang T129 ATAK buatan Turkiye dihalang oleh Amerika Syarikat.

Penghantaran helikopter penyerang China kepada Pakistan itu hanya mengukuhkan lagi hubungan ketenteraan di antara negara Asia Selatan itu dengan Beijing.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Pakistan muncul sebagai antara pengguna utama sistem persenjataan buatan China daripada pesawat pejuang kepada kapal-kapal perang.

Sebelum perolehan helikopter Z-10ME itu, Islamabad telah menandatangani kontrak dengan Turkiye pada 2018 untuk memperolehi 20 buah helikopter penyerang ATAK yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) dengan nilai US$1.5 bilion (RM6.75 bilion).

Walaupun helikopter penyerang T129 ATAK itu dibina oleh syarikat Turkiye, namun enjinnya dibekalkan oleh Amerika Syarikat, sekaligus memberikan Washington kuasa untuk “veto” penjualannya kepada Pakistan.

T129 ATAK
Helikopter Penyerang T129 ATAK

 

Enjin LHTEC T800-4A yang digunakan oleh helikopter ATAK itu dibangunkan oleh firma Amerika Syarikat, Honeywell dan syarikat pengeluar enjin British, Roll-Royce.

Untuk pembangunan helikopter penyerang ATAK-2 pula, Turkiye menggunakan enjin buatan syarikat Ukraine pada awalnya sebelum digantikan dengan enjin buatan Turkiye sendiri, bagi mengelak episod malang dengan Pakistan berulang lagi.

Sebaik sahaja mengetahui bahawa Amerika Syarikat enggan mengeluarkan lesen eksport bagi membolehkan Turkiye menjual helikopter penyerang ATAK itu kepada Pakistan, Islamabad telah memulakan semula rundingan dengan China.

Helikopter penyerang China, Z-10ME yang dibangunkan oleh syarikat Changhe Aircraft Industries Corporation (CAIC) memiliki berat enam tan yang dilengkapi dengan pelbagai persenjataan untuk melaksanakan misi dan operasi pada apa-apa keadaan cuaca, malam atau siang.

Ia dilengkapi dengan peluru-peluru berpandu udara-ke-darat dan udara-ke-udara. – DSA

Notis

Comments
Loading...