Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Israel Mahu Lebih Banyak Helikopter Penyerang Apache, Amerika Enggan Layan

Menurut para penganalisis, keengganan Washington melayan permintaan Tel Aviv untuk mendapatkan lebih banyak helikopter penyerang Apache untuk menunjukkan keretakkan hubungan di antara Presiden Jo Biden dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.

0 22,653

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Israel telah memohon kepada Amerika Syarikat untuk membekalkannya dengan lebih banyak helikopter penyerang Apache bagi digunakan terhadap pejuang-pejuang Palestin dan Hezbollah tetapi permintaan Tel Aviv itu tidak dilayan oleh Washington setakat ini.

Perkara itu didedahkan oleh media Israel, Yediot Ahronoth.

“Permohonan (untuk memperolehi tambahan helikopter Apache) telah dibuat kepada Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat beberapa minggu lepas dan isu itu juga telah dibangkitkan oleh Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant ketika bertemu dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat yang melawat Israel minggu lepas.”

“Israel dijangka akan terus menekan Amerika Syarikat (supaya membenarkan penjualan helikopter penyerang itu,” menurut akhbar Yahudi dan menambah, penolakan Washington terhadap permintaan Tel Aviv itu bukan muktamad.

Menurut para penganalisis, keengganan Washington melayan permintaan Tel Aviv untuk mendapatkan lebih banyak helikopter penyerang Apache untuk menunjukkan keretakkan hubungan di antara Presiden Jo Biden dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.

Akhbar Yediot Ahronoth menyatakan bahawa tentera Israel memerlukan helikopter penyerang Israel untuk meningkatkan lagi operasi udaranya.

Apache

Pada ketika ini, Israel menggunakan helikopter penyerang Apache untuk operasi di Gaza, selatan Lubnan untuk menentang pejuang-pejuang Hezbollah serta operasi di Tebing Barat.

Israel hanya mempunyai dua skuadron helikopter penyerang Apache keluaran syarikat Boeing, yang ditempatkan di pangkalan udara Ramon dan juga di Lembah Jezreel di utara negara itu.

Kedua-dua skuadron dilaporkan beroperasi tanpa henti sejak konflik di antara Israel, Palestin dan Hezbollah di selatan Lubnan tercetus pada 7 Oktober lalu.

Bebanan kerja juruterbang helikopter penyerang Apache semasa konflik ini adalah amat tinggi, dengan Komander Tentera Udara Israel Brig Jen Tomar Bar terpaksa memanggil balik bekas juruterbang berumur 54-55 tahun untuk kembali bertugas secara aktif.  

Walaupun menolak permohonan Israel untuk mendapatkan lebih banyak helikopter peyerang Apache, namun Amerika Syarikat tetap adalah penyumbang bantuan ketenteraan paling besar kepada Yahudi terutamanya pada ketika ini.

Sejak konflik di Gaza itu tercetus, Israel telah menerima sebanyak 230 penerbangan pesawat-pesawat pengangkut membawa pelbagai jenis senjata daripada Amerika Syarikat.

Pelabuhan di Israel juga telah menerima sebanyak 20 buah kapal-kapal yang membawa pelbagai jenis bantuan kelengkapan tentera daripada Amerika, bagi membantu negara itu berhadapan dengan pejuang Palestin dan Hezbollah. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

To advertise contact: lulwabyadah@gmail.com

Comments
Loading...