Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pakistan Batal Beli Helikopter Penyerang T129 ATAK Buatan Turki

Pakistan membatalkan perolehan helikopter penyerang itu yang dipesannya pada 2018 selepas penghantaran helikopter itu mengalami kelewatan akibat keengganan Amerika Syarikat memberikan lesen eksport terhadap enjin LHTEC T800-4A yang digunakan oleh helikopter penyerang Turki itu.

0 11,099

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Pakistan dilaporkan telah secara rasmi membatalkan perolehan 30 buah helikopter penyerang T129 ATAK bernilai US$1.5 bilion (RM6 bilion) yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TUSAS).

Pakistan membatalkan perolehan helikopter penyerang itu yang dipesannya pada 2018 selepas penghantaran helikopter itu mengalami kelewatan akibat keengganan Amerika Syarikat memberikan lesen eksport terhadap enjin LHTEC T800-4A yang digunakan oleh helikopter penyerang Turki itu.

Helikopter penyerang T129 ATAK menggunakan enjin yang dibangunkan oleh syarikat Amerika Syarikat, Honeywell dan Rolls-Royce daripada United Kingdom.

Setiap helikopter penyerang T129 ATAK itu menggunakan dua enjin yang diperbuat oleh kedua-dua syarikat itu yang sememangnya terkenal dengan pembuatan enjin untuk pesawat-pesawat tentera dan komersial.

Tanpa lesen eksport daripada Amerika Syarikat, adalah mustahil helikopter itu dapat diserahkan kepada Pakistan.

T129 ATAK
Helikopter Penyerang T129 ATAK

 

Pembatalan pembelian helikopter buatan Turki itu telah disahkan oleh Ketua Pengarah Bahagian Perhubungan Awan Angkatan Tentera Pakistan, sebagaimana dipetik oleh media-media pertahanan di negara itu dan antarabangsa.

Bagaimanapun, Amerika memberikan lesen eksport enjin apabila Turki menjual enam buah helikopter T129 ATAK kepada Filipina, memandangkan Manila merupakan sekutu kuatnya.

Selari dengan keputusan Pakistan membatalkan perolehan helikopter penyerang T129 ATAK itu, negara Asia Selatan bersempadan dengan Afghanistan dan India itu telah memulakan rundingan dengan China untuk memperolehi helikopter penyerang Z-10ME yang dibangunkan oleh negara itu.

Helikopter penyerang Z-10ME itu merupakan pengganti kepada helikopter T129 ATAK Turki.

Turki berkemungkinan besar akan menggantikan enjin buatan syarikat Amerika dan British yang digunakan oleh helikopter T129 ATAK itu kepada enjin-enjin buatan Ukraine atau tempatan bagi membolehkan helikopter itu dieksport mengikut kehendak Ankara.

Pada waktu ini, Amerika boleh menggagalkan usaha Turki untuk mengeksport helikopter penyerang ke mana-mana pelanggan dengan hanya tidak mengeluarkan lesen eksport terhadap enjinnya.

Helikopter penyerang China, Z-10ME yang dibangunkan oleh syarikat Changhe Aircraft Industries Corporation (CAIC) memiliki berat enam tan yang dilengkapi dengan pelbagai persenjataan untuk melaksanakan misi dan operasi pada apa-apa keadaan cuaca, malam atau siang.

Z-10
Helikopter penyerang China “Z-10”

 

Ia dilengkapi dengan peluru-peluru berpandu udara-ke-darat dan udara-ke-udara.

Jika Pakistan memperolehi helikopter penyerang Z-10ME, ia bakal menjadi negara eksport pertama helikopter itu, sama seperti pesawat pejuang J-10C yang diperolehi baru-baru ini untuk menangani ancaman pesawat Rafale dan SU-30MKI India.– DSA

 

Klik Untuk Download dan Install Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: https://play.google.com/store/apps/details?id=com.defencesecurityasia.dsanews

Google Play

 

 

Comments
Loading...