Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pakistan Mula Terima “Replika” AH-64 Apache, Z-10ME Buatan China

Helikopter penyerang Z-10ME yang dikatakan adalah “replika” kepada helikopter penyerang terkenal Apache buatan Amerika Syarikat berikutan rekabentuknya yang hampir sama itu,  telah dibangunkan oleh syarikat Changhe Aircraft Industries Corporation (CAIC).

0 3,907

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pakistan dilaporkan telah mula menerima helikopter penyerang Z-10ME buatan China, lebih daripada setahun selepas usahanya untuk memperolehi helikopter penyerang T129 ATAK buatan Turkiye dihalang oleh Amerika Syarikat.

Penghantaran helikopter penyerang China kepada Pakistan itu hanya mengukuhkan lagi hubungan ketenteraan di antara negara Asia Selatan itu dengan Beijing.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Pakistan muncul sebagai antara pengguna utama sistem persenjataan buatan China daripada pesawat pejuang kepada kapal-kapal perang.

Z-10ME

Helikopter penyerang Z-10ME yang dikatakan adalah “replika” kepada helikopter penyerang terkenal Apache buatan Amerika Syarikat berikutan rekabentuknya yang hampir sama itu,  telah dibangunkan oleh syarikat Changhe Aircraft Industries Corporation (CAIC).

Ada juga yang mengatakan rekabentuknya Z-10ME lebih kepada mirip helikopter penyerang “Tigre.”

Sebelum perolehan helikopter Z-10ME itu, Islamabad telah menandatangani kontrak dengan Turkiye pada 2018 untuk memperolehi 20 buah helikopter penyerang ATAK yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) dengan nilai US$1.5 bilion (RM6.75 bilion).

Walaupun helikopter penyerang T129 ATAK itu dibina oleh syarikat Turkiye, namun enjinnya dibekalkan oleh Amerika Syarikat, sekaligus memberikan Washington kuasa untuk “veto” penjualannya kepada Pakistan.

Enjin LHTEC T800-4A yang digunakan oleh helikopter ATAK itu dibangunkan oleh firma Amerika Syarikat, Honeywell dan syarikat pengeluar enjin British, Roll-Royce.

Untuk pembangunan helikopter penyerang ATAK-2 pula, Turkiye menggunakan enjin buatan syarikat Ukraine pada awalnya sebelum digantikan dengan enjin buatan Turkiye sendiri, bagi mengelak episod malang dengan Pakistan berulang lagi.

T129 ATAK
Helikopter Penyerang T129 ATAK

 

Sebaik sahaja mengetahui bahawa Amerika Syarikat enggan mengeluarkan lesen eksport bagi membolehkan Turkiye menjual helikopter penyerang ATAK itu kepada Pakistan,  Islamabad telah memulakan semula rundingan dengan China.

Pakistan telah pun mengadakan rundingan dengan China berkenaan helikopter penyerang Z-10ME itu tetapi memutuskan untuk tidak memperolehinya kerana berpendapat prestasinya tidak setanding dengan helikopter penyerang ATAK keluaran Turkiye.

Ia kemudian menandatangani kontrak dengan Turkiye untuk memperolehi 20 buah helikopter penyerang T129 ATAK itu.

Namun pada saat-saat akhir Washington enggan mengeluarkan lesen eksport, sekaligus membatalkan hasrat Pakistan untuk memperolehi helikopter penyerang buatan Turkiye itu.

Apache
Helikopter AH-64 “Apache”.

 

Berdepan dengan kegagalan memperolehi helikopter penyerang T129 ATAK buatan Turkiye itu, Pakistan terpaksa membuka semula rundingan dengan China untuk memperolehi helikopter penyerang Z-10ME itu.

Kini helikoper penyerang Z-10ME pertama milik Pakistan dilaporkan telah pun dihantar ke Pakistan.

Helikopter penyerang China, Z-10ME yang dibangunkan oleh syarikat Changhe Aircraft Industries Corporation (CAIC) memiliki berat enam tan yang dilengkapi dengan pelbagai persenjataan untuk melaksanakan misi dan operasi pada apa-apa keadaan cuaca, malam atau siang.

Ia dilengkapi dengan peluru-peluru berpandu udara-ke-darat dan udara-ke-udara. – DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...