India Dakwa Tembak Jatuh 5 Jet Pejuang dan AEW&C Pakistan, Islamabad Gelar Dakwaan “Melucukan”

India dan Pakistan bertelagah mengenai dakwaan tembakan S-400 paling jauh dalam sejarah tentera India, yang didakwa menjatuhkan AEW&C dan lima jet pejuang Pakistan, di tengah-tengah perang maklumat dan ketegangan strategik rantau Asia Selatan.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Ketua Tentera Udara India (IAF), Ketua Marsyal Udara Amar Preet Singh, buat pertama kalinya mendakwa bahawa India telah menembak jatuh lima pesawat pejuang Pakistan serta sebuah pesawat Airborne Early Warning and Control (AEW&C) milik Tentera Udara Pakistan (PAF) semasa pertempuran empat hari dalam Operasi Sindoor pada bulan Mei lalu.

Namun, kenyataan berprofil tinggi itu dengan pantas ditolak oleh Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Asif, yang menyifatkan dakwaan India sebagai “tidak masuk akal” dan “melucukan”.

Pengumuman Singh ini menamatkan spekulasi selama berbulan-bulan dan menjadi pengakuan rasmi pertama daripada New Delhi mengenai kehilangan pesawat tempur PAF dalam konflik tersebut.

Penembakan jatuh pesawat AEW&C milik Pakistan itu – yang dilaksanakan pada jarak luar biasa sejauh 300 kilometer menggunakan sistem pertahanan udara buatan Rusia, S-400 Triumf – didakwa sebagai tembakan permukaan-ke-udara paling jauh pernah direkodkan dalam sejarah ketenteraan India.

Menurut Singh, serangan itu telah melumpuhkan salah satu tunjang utama rangkaian pengurusan pertempuran udara Pakistan, sekali gus membutakan keupayaan PAF untuk mengawal pergerakan pesawat tempur secara masa nyata pada saat genting operasi.

S-400
S-400 Triumf

Beliau menegaskan bahawa “S-400 adalah “game changer” dengan memuji jarak capaian sistem itu yang memaksa pesawat tempur Pakistan berundur dari ruang udara di kawasan konflik.

Dakwaan Singh juga dilihat sebagai tindak balas langsung terhadap kenyataan Pakistan sebelum ini yang mendakwa ia telah berjaya menembak jatuh lima pesawat pejuang Tentera Udara India, termasuk tiga daripada jet pejuang termoden India iaitu Rafale buatan Perancis.

Malah, dakwaan Pakistan itu, dalam langkah yang jarang berlaku, secara tidak langsung diakui oleh beberapa pegawai kanan IAF yang memaklumkan dalam taklimat tertutup kepada Parlimen India dan penilaian dalaman bahawa beberapa pesawat memang telah hilang akibat pertahanan udara Pakistan sepanjang pertempuran.

Operasi Sindoor dilancarkan pada 7 Mei sebagai tindak balas langsung terhadap serangan pengganas di Pahalgam pada 22 April yang mengorbankan 26 orang awam.

Serangan itu dikaitkan dengan kumpulan The Resistance Front (TRF) yang secara meluas dianggap sebagai proksi kepada Lashkar-e-Taiba (LeT).

Dalam kata-kata Singh sendiri: “Ia telah diperjelaskan bahawa kali ini tindakan kita mesti bersifat tegas. Kita mesti menghantar mesej yang lantang dan jelas — bukan sekadar memusnahkan tapak pelancaran pengganas, tetapi mencabar kepimpinan pengganas itu sendiri.”

IAF telah menyasarkan dua pusat pengganas yang paling dilindungi di Pakistan iaitu ibu pejabat Jaish-e-Mohammed (JeM) di Bahawalpur dan pangkalan LeT di Muridke, kedua-duanya terletak jauh di dalam wilayah Punjab, Pakistan.

Dalam masa yang sama, Tentera Darat India menyerang tujuh lagi sasaran berhampiran sempadan antarabangsa dan Garisan Kawalan (LoC).

Imej satelit dan rakaman sistem senjata yang ditunjukkan oleh Singh mengesahkan kemusnahan dua pusat kawalan dan pemerintahan Pakistan, sekurang-kurangnya enam radar, dua sistem senjata berpandu permukaan-ke-udara (SAGW) serta infrastruktur kritikal di pangkalan udara Sargodha, Rahim Yar Khan, Sukkur, Bholari dan Jacobabad.

Penilaian risikan mendedahkan bahawa pesawat AEW&C yang musnah itu berada di dalam hangar di Pangkalan Udara Bholari ketika serangan, menunjukkan keupayaan data sasaran India dan ketepatan serangan mencapai tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Beberapa pesawat F-16 turut dilaporkan rosak di Pangkalan Udara Shahbaz di Jacobabad.

Hangar UAV di Pangkalan Udara Sukkur – pusat utama operasi dron peninjau Pakistan – turut menjadi sasaran, sekali gus menjejaskan kemampuan ISR Islamabad di selatan negara itu.

Singh turut mendedahkan bahawa sejumlah besar dron dan senjata serangan jarak jauh milik Pakistan berjaya dimusnahkan oleh sistem pertahanan udara India sepanjang operasi tersebut.

Sisa serpihan daripada tembakan ini sedang dianalisis oleh IAF dan Pertubuhan Penyelidikan dan Pembangunan Pertahanan (DRDO) bagi mendapatkan maklumat teknikal tentang sistem peluru berpandu dan dron PAF.

Serangan dilaksanakan terutamanya menggunakan peluru berpandu jarak jauh, dipercayai termasuk peluru berpandu kruis udara-ke-permukaan BrahMos versi dilancarkan dari udara, membolehkan pesawat IAF kekal di luar jangkauan pertahanan udara Pakistan.

Singh menegaskan bahawa kebanyakan sasaran adalah struktur bertetulang, memerlukan senjata berketepatan tinggi jarak jauh untuk memastikan kemusnahan.

Beliau turut merumuskan pengajaran strategik daripada Operasi Sindoor: “Kuasa udara adalah pasukan tindak balas pertama yang dimiliki mana-mana negara — mampu bertindak pantas, menyerang jauh ke dalam wilayah musuh, dan melakukannya dengan ketepatan untuk mencapai objektif tanpa kerosakan sampingan.”

Dari sudut teknikal ketenteraan, kejayaan tembakan AEW&C pada jarak 300km ini menunjukkan kematangan penuh operasi bateri S-400 India yang diintegrasikan dengan radar amaran awal dan pusat kawalan berangkaian untuk serangan di luar garisan penglihatan.

Varian peluru berpandu 40N6 S-400, yang mampu memusnahkan sasaran sehingga jarak 380km, dipercayai digunakan dalam serangan ini — menjadikannya antara pembunuhan operasi sebenar yang jarang berlaku di dunia.

India menandatangani kontrak pembelian S-400 dengan Rusia pada tahun 2018 bernilai kira-kira USD 5.43 bilion (RM 25.7 bilion) bagi lima rejimen lengkap, meskipun berdepan tekanan dan ancaman sekatan daripada Amerika Syarikat di bawah undang-undang CAATSA.

Penghantaran pertama S-400 bermula pada akhir 2021, dan sejak itu sistem ini telah ditempatkan di sektor barat yang menghadap Pakistan serta sektor utara berhampiran sempadan dengan China.

S-400 direka untuk mengesan, menjejak, dan memusnahkan pelbagai jenis sasaran udara termasuk pesawat pejuang, pesawat pengintip, pesawat AWACS, peluru berpandu kruis, serta peluru berpandu balistik jarak pendek dan sederhana.

Salah satu kelebihan utama S-400 adalah keupayaan pelbagai jarak, dengan setiap rejimen dilengkapi peluru berpandu berbeza seperti 48N6 (hingga 250 km) dan 40N6 (hingga 380 km) yang mampu menyerang sasaran pada altitud tinggi dan rendah.

Sistem radar 92N6E Grave Stone dan 91N6E Big Bird membolehkan S-400 mengesan sasaran udara sehingga 600 km, memberi masa reaksi yang cukup untuk membuat keputusan tembakan strategik.

Dengan memusnahkan pesawat AEW&C, India menyerang pusat saraf pengurusan pertempuran PAF, menghapuskan kebolehannya untuk menyelaras pesawat tempur, mengesan ancaman pada jarak jauh, dan mengatur serangan balas.

Secara geostrategik, tindakan ini menghantar isyarat pencegahan yang kuat bukan sahaja kepada Pakistan, tetapi juga kepada pemain kuasa udara serantau lain seperti China yang mempunyai pesawat AEW&C KJ-500 dalam barisan Tentera Udara PLA.

Bagi Pakistan, kehilangan ini menonjolkan kelemahan kritikal bahawa aset udara bernilai tinggi kini berada dalam jangkauan rangkaian pertahanan udara jarak jauh India, memaksa penilaian semula doktrin operasi mereka.

Konflik ini berlaku di tengah-tengah peningkatan ketegangan di sempadan barat dan utara India, dengan China mengekalkan kehadiran ketenteraan yang ketara di Ladakh Timur manakala Pakistan terus memodenkan armada J-10C mereka yang dilengkapi peluru berpandu PL-15 Beyond Visual Range.

Kejayaan Operasi Sindoor dalam meneutralkan aset bernilai tinggi tanpa menyeberangi LoC oleh pesawat berawak menandakan perubahan doktrin bagi IAF — membuktikan kesan strategik yang mendalam boleh dicapai sepenuhnya melalui serangan ketepatan jarak jauh dan pertahanan udara bersepadu.

Di peringkat antarabangsa, operasi ini dianalisis sebagai ujian dunia sebenar yang jarang berlaku terhadap sistem pertahanan udara tercanggih dalam konflik negara-ke-negara berintensiti tinggi.

Implikasinya melangkaui Asia Selatan, apabila tentera NATO, Timur Tengah dan Asia Timur mengkaji data untuk memahami prestasi pertahanan udara bersepadu terhadap sasaran udara yang bermanuver pada jarak ekstrem.

Pembunuhan AEW&C ini juga menjadi kajian kes dalam peperangan menentang AEW&C, menonjolkan potensi peluru berpandu jarak jauh untuk mengganggu seni bina pertempuran udara berpusat rangkaian moden.

Walaupun Singh tidak mendedahkan langkah seterusnya India, operasi ini dijangka mempercepatkan pelaburan New Delhi dalam sistem SAM jarak jauh buatan tempatan seperti XR-SAM dan peluasan penempatan S-400 di sektor barat dan utara.

Bagi Pakistan, penggantian AEW&C yang hilang – dipercayai model Saab 2000 Erieye – akan menjadi proses yang perlahan dan mahal, berpotensi rumit akibat kekangan bajet pertahanan dan bekalan.

Menteri Pertahanan Pakistan Tolak Dakwaan “Melucukan” India

Khawaja Asif dengan tegas menolak dakwaan Amar Preet Singh bahawa India telah memusnahkan lima jet pejuang PAF dan sebuah pesawat tentera lain semasa Operasi Sindoor.

“Dakwaan terlewat yang dibuat oleh Ketua Tentera Udara India mengenai pemusnahan pesawat Pakistan dalam Operasi Sindoor adalah sama sekali tidak masuk akal dan tidak kena pada waktunya, katanya.

Asif mendakwa tiada satu pun pesawat PAF yang terkena atau musnah akibat tindakan India, sambil menyifatkan dakwaan New Delhi itu, selepas beberapa bulan, sebagai sesuatu yang amat “melucukan”.

Malah Menteri Pertahanan Pakistan itu berkata tentera udara negara itu telah memusnahkan enam jet pejuang IAF, menetralkan bateri S-400 India, menjatuhkan pelbagai UAV India, dan “segera melumpuhkan beberapa pangkalan udara India.”

Asif menegaskan bahawa kerugian tentera India di LoC adalah jauh lebih berat” berbanding Pakistan.

Beliau mencabar India: Jika kebenaran dipersoalkan, biar kedua-dua pihak membuka inventori pesawat mereka untuk pengesahan bebas — walaupun kami yakin ini akan mendedahkan realiti yang cuba disembunyikan India. Perang tidak dimenangi dengan pembohongan tetapi dengan kewibawaan moral, tekad nasional dan kecekapan profesional.”

Asif memberi amaran bahawa naratif sebegini dalam persekitaran nuklear hanya akan meningkatkan risiko salah perhitungan strategik yang berbahaya. — DEFENCE SECURITY ASIA

alamat

Leave a Reply