Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat Gen-5 Turkiye, “TF-X” Lakukan Penerbangan Sulung Akhir Tahun Ini

Ketua Pegawai Eksekutif TAI Prof Temel Kotil kini menyatakan bahawa pesawat pejuang generasi kelima Turki itu, "TF-X" akan melakukan penerbangan sulungnya pada akhir tahun ini, iaitu dua tahun lebih awal daripada jadual asalnya pada tahun 2025.

2,712

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pihak Turkish Aerospace Industries (TAI)  yang sedang membangunkan pesawat pejuang generasi kelima Turkiye dinamakan Milli Muharip Ucak (MMU) atau National Combat Aircraft  atau  “TF-X” telah merombak semula jadual penerbangan sulung pesawat pejuang itu.

Pada mulanya, pihak TAI menjangkakan pesawat pejuang itu akan melakukan penerbangan sulungnya pada 2025 sebelum mengubah jadual itu kepada pada akhir tahun 2024.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif TAI Prof Temel Kotil kini menyatakan bahawa pesawat pejuang generasi kelima Turkiye itu akan melakukan penerbangan sulungnya pada akhir tahun ini, iaitu dua tahun lebih awal daripada jadual asalnya pada tahun 2025.

“Program pembangunan pesawat generasi kelima TF-X telah berjalan dengan amat baik, penerbangan sulung sepatutnya dijadualkan pada tahun 2025 tetapi jadual (penerbangan sulung) itu telah dijadualkan semula  kepada akhir tahun ini (2023),” kata beliau kepada media tempatan.

Laporan juga mengatakan bahawa pihak TAI telah berjaya melengkapkan pesawat prototaip TF-X itu dengan enjin dan menyalakan (ignition) enjin pesawat TF-X itu buat pertama kali baru-baru ini. 

TF-X

Pegawai kanan TAI menyatakan bahawa syarikat sememangnya mahu mengejutkan semua orang dengan perubahan jadual penerbangan sulung pesawat itu.

TAI merancang untuk menampilkan TF-X buat pertama kalinya kepada seluruh dunia pada 18 Mac tahun ini.

Menurut Temel Kotil lagi, hampir 100 peratus pesawat generasi kelima Turkiye itu dibangunkan oleh industri pertahanan negara itu, kecuali beberapa bahagian pesawat seperti kerusi anjal (ejection seat), enjin dan joystick (controller).

Bagaimanapun ketiga-tiga komponen asing pada pesawat TF-X itu akan digantikan dengan komponen buatan Turkiye apabila pembangunan pesawat itu memasuki fasa lebih maju.

Kesemua 10 buah pesawat prototaip TF-X akan dilengkapi dengan dua enjin buatan General Electric  F110, yang amat dikenali oleh pihak Turkiye kerana ia turut digunakan oleh pesawat-pesawat F-16 C/D milik negara itu dan dipasang di dalam negara.

TF-X
Enjin GE F110 yang akan digunakan oleh pesawat prototaip TF-X

 

Bagaimanapun untuk pesawat-pesawat produksi bersiri (serial production) TF-X, ia akan menggunakan enjin-enjin yang lebih berkuasa dihasilkan oleh syarikat Turki sendiri dengan kerjasama syarikat luar sama ada Rolls-Royce atau syarikat lain.

Menurut sumber di dalam kerajaan Turkiye  yang memberitahu media antarabangsa, ia mempunyai tiga program berasingan untuk membangunkan enjin buatan tempatan bagi digunakan oleh pesawat-pesawat produksi bersiri TF-X.

Pembangunan enjin bagi pesawat TF-X itu disifatkan cabaran paling utama yang boleh menghalang kejayaan pembangunan pesawat pejuang generasi kelima Turkiye.

Berbanding pesawat F-35 yang hanya memiliki satu enjin, pesawat TF-X dilengkapi dengan dua enjin.

TFX
Mockup pesawat TF-X dibangunkan oleh Turki.

 

Usaha membina pesawat pejuang generasi ke-lima TF-X dipergiatkan selepas Turkiye digugurkan daripada program F-35 selepas ia berkeras mahu mendapatkan sistem peluru berpandu S-400 daripada Russia.

Pesawat pejuang gen-5 Turkiye ini bakal menggabungkan beberapa ciri iaitu ia adalah pesawat air-superiority yang  halimunan dengan kemampuan serangan darat, kepelbagaian sistem penderia (sensors), Active Electronically Scanned Array (AESA) radar, kawalan jaringan drone dan peluru berpandu hypersonic.

Program TF-X itu dilancarkan pada 2010 dengan matlamat utama adalah untuk membangunkan pesawat pejuang generasi kelima keluaran tempatan.

Menjelang tahun 2030,  kesemua 250 pesawat pejuang generasi kelima  TF-X Turkiye dijangka sudah siap bersedia, menggantikan sebahagian besar daripada 240 buah pesawat pejuang F-16 (versi lama) dan kira-kira 40 buah pesawat pejuang F-4 Phantom yang digunakan oleh Tentera Udara Turki. — DSA

Apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

 

Comments are closed.