Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Turkiye Pertonton Pesawat Gen-5 Buatannya, “TF-X”

Prototaip pesawat generasi kelima Turki, TF-X yang telah siap sepenuhnya dijangka dipertontonkan kepada orang awam dan seluruh dunia pada 18 Mac, tahun depan yang merupakan tarikh bersejarah kerana ia adalah hari kemenangan bagi Turki dalam Peperangan Gallipoli ada Perang Dunia Pertama dengan menumpaskan tentera Inggeris dan Perancis.

0 3,105

(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Buat pertama kali, pihak Turkish Aerospace Industries (TUSAS) telah menunjukkan gambar-gambar dan video prototaip pesawat generasi kelima TF-X, selepas beberapa tahun di dalam perancangan dan pembangunan.

Laporan awal mengatakan prototaip pesawat yang telah siap sepenuhnya dijangka dipertontonkan kepada orang awam dan seluruh dunia pada 18 Mac, tahun depan.

Tarikh 18 Mac 2023 itu adalah amat penting dan bersejarah pada Turkiye kerana ia adalah hari kemenangan bagi negara itu dalam Peperangan Gallipoli yang berlaku pada Perang Dunia Pertama dengan menumpaskan tentera Inggeris dan Perancis.

Seramai 250,000 tentera dari kedua-dua pihak maut dalam peperangan itu.

Penerbangan sulung pesawat pejuang generasi kelima Turki itu dijangka berlaku sama ada pada tahun 2025 atau 2026 dan ditauliahkan ke dalam perkhidmatan tentera udara Turki pada awal tahun 2030.

Prototaip pertama pesawat generasi kelima Turki yang dinamakan, Milli Muharip Ucak (MMU) atau National Combat Aircraft – kini berada di kemudahan pemasangan pesawat milik syarikat TUSAS di Ankara.

Walaupun prototaip pesawat itu kelihatannya hampir siap tetapi ia masih tidak mempunyai enjin yang berkemungkinan akan dipasang pada fasa terakhir.

Pesawat prototaip TF-X itu akan dilengkapi dengan enjin buatan General Electric  F110, yang amat dikenali oleh pihak Turki kerana ia turut digunakan oleh pesawat-pesawat F-16 C/D milik negara itu dan dipasang di dalam negara.

TF-X

Terdapat juga cadangan untuk melengkapkan pesawat generasi kelima Turki itu dengan enjin yang lebih moden keluaran General Electric atau Rolls Royce.

Namun oleh kerana Turkiye mahukan pesawat pejuang generasi kelima TF-X itu dilengkapi 100 peratus dengan teknologi tempatan, maka pihak berkuasa pertahanan negara itu telah mengiklankan tender antarabangsa untuk mencari rakan kongsi kepada syarikat tempatan, TRMotor yang dipertanggungjawabkan untuk membangunkan enjin pesawat TF-X itu.

Dalam video dan gambar yang dikeluarkan baru-baru ini, kokpit pesawat itu juga masih kosong dengan sistem avionik serta kerusi pesawat juga masih belum lagi dipasang.

TFX
Mock-Up Pesawat TF-X dibangunkan oleh Turki.

 

Walaupun sedikit kecil berbanding pesawat F-22 Raptor milik Amerika Syarikat, pesawat TF-X adalah agak besar jika dibandingkan dengan F-35 dengan panjang keseluruhan pesawat keluaran TUSAS itu adalah 60 kaki dan panjang sayap mencecah 39 kaki.

Program TF-X itu dilancarkan pada 2010 dengan matlamat utama adalah untuk membangunkan pesawat pejuang generasi kelima keluaran tempatan.

Menjelang 2032,  kesemua 250 pesawat pejuang TFX Turki dijangka sudah siap bersedia, menggantikan sebahagian besar daripada 240 buah pesawat pejuang F-16 (versi lama) dan kira-kira 40 buah pesawat pejuang F-4 Phantom.

TF-X

Usaha membina pesawat pejuang generasi ke-lima TF-X dipergiatkan selepas Turki digugurkan daripada program F-35 selepas ia berkeras mahu mendapatkan sistem peluru berpandu S-400 daripada Russia.

Pesawat pejuang gen-5 Turki ini bakal menggabungkan beberapa ciri iaitu ia adalah pesawat air-superiority yang  halimunan dengan kemampuan serangan darat, kepelbagaian sistem penderia (sensors), Active Electronically Scanned Array (AESA) radar, kawalan jaringan drone dan peluru berpandu hypersonic. — DSA

apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

 

Comments
Loading...