Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Tentera Russia Tidak Mahu Gunakan T-14 Armata Di Ukraine Kerana “Terlalu Mahal”

(VIDEO) Ketua Pegawai Eksekutif Rostec Sergey Chemezov dalam satu temuramah dengan agensi berita negara itu, RIA Novosti berkata, kereta kebal T-14 “Armata” itu adalah terlalu mahal, berharga dan besar kemungkinan tentera darat Russia tidak akan menggunakannya pada ketika ini.

1,346

(DEFENCE SECURITY ASIA) –  Tentera Russia dilapor enggan menggunakan kereta kebal terbaru dan tercanggihnya, T-14 “Armata” pada konflik di Ukraine kerana ia adalah “terlalu berharga”, menurut seorang sekutu rapat kepada Presiden Russia Vladimir Putin.

Ketua Pegawai Eksekutif Rostec Sergey Chemezov dalam satu temuramah dengan agensi berita negara itu, RIA Novosti berkata, kereta kebal T-14 “Armata” itu adalah terlalu mahal, berharga dan besar kemungkinan tentera darat Russia tidak akan menggunakannya pada ketika ini.

“Kereta kebal T-14 Armata secara amnya adalah sedikit mahal. Dalam soal fungsinya pula, sudah tentu ia adalah lebih bagus berbanding kereta-kereta kebal sebelum ini tetapi ia (T-14) adalah terlalu berharga, jadi sudah tentu mereka tidak akan menggunakannya pada ketika ini.”

“Adalah lebih mudah untuk mereka (tentera darat Russia) untuk membeli kereta kebal T-90,” kata Chemezov.

Moscow dikatakan telah mengerahkan kumpulan kecil kereta kebal T-14 Armata ke medan peperangan di Ukraine pada Julai 2023 untuk suatu tempoh yang pendek sebelum “mengundurkannya” balik ke Russia.

 Russia dilapor mengambil keputusan untuk “mengundurkan” kereta kebal termodennya, T-14 “Armata” daripada medan pertempuran di Ukraine, dengan alasan ia telah  “selesai melaksanakan pelbagai “ujian” terhadap kereta kebal itu.

Menurut agensi berita nasional Russia, TASS, kereta kebal itu dihantar ke Ukraine untuk menjalani ujian dan selepas ia menyelesaikan ujian terbabit, maka ia telah diundur daripada medan peperangan.

“Tujuan penggunaan kereta kebal T-14 Armata (di Ukraine) adalah untuk menguji dan menilai prestasi kenderaan kombat itu dalam suasana kombat yang sebenar. Kereta kebal itu telah diundurkan daripada barisan hadapan,” menurut agensi berita itu.

Malah katanya lagi, kereta kebal termoden Russia juga pernah dikerah ke Syria pada tahun 2020  untuk “menimba pengalaman dan menjalani ujian dalam suasana peperangan yang sebenar” sebagaimana yang dilakukannya di Ukraine.

Seorang pegawai kanan tentera British menyatakan bahawa kereta kebal terbaru Russia itu adalah “kereta kebal paling ke depan” berbanding kereta-kereta kebal yang lain.

Chemezov menyatakan bahawa tentera Russia memerlukan sumber kewangan yang lebih besar untuk menghasilkan kereta kebal dan senjata-senjata terbaru.

Armata
T-14 Armata

 

“Pada ketika ini, kita memerlukan duit untuk mencipta kereta kebal baru, senjata baru dan kemungkinan yang lebih murah. Jika ada peluang untuk membeli senjata-senjata yang lebih murah, mengapa kita tidak berbuat demikian,” menurut beliau.

Pada mulanya, Russia berhasrat untuk menghasilkan kira-kira 2,300 buah kereta kebal T-14 Armata menjelang tahun 2020, tetapi disebabkan beberapa masalah termasuk sekatan ekonomi yang ketat terhadap negara itu berikutan pencerobohannya di Ukraine, usaha terbabit telah terbantut.

Sehingga kini, Russia hanya berkemampuan menghasilkan bilangan yang terhad kereta kebal itu.

Produksi besar-besaran kereta kebal canggih Russia itu hanya dijangkakan akan bermula pada tahun 2025.

Kereta kebal T-14 Armata yang dibangunkan oleh syarikat Uralvagonzavod itu telah diperkenalkan kepada umum pada 2015 pada satu perbarisan di Red Square.

Syarikat Uralvagonzavod yang berpengkalan di Nizhny Tagil merupakan syarikat pembuat kereta kebal terbesar di dunia dan telah wujud sejak zaman pimpinan Josef Stalin.

Kereta kebal yang bakal dieksport untuk pelanggan luar negara yang berminat itu mula diuji secara intensif pada 2019.

Syarikat Uralvagonzavod sepatutnya menyerahkan kira-kira 80 buah Armata kepada Tentera Russia pada akhir 2022.

Armata
Keadaan dalam kereta kebal T-14 Armata

 

Penganalisis pertahanan antarabangsa mendakwa kereta kebal T-14 Armata yang memiliki rekabentuk seperti kereta kebal Barat itu turut menggunakan bahan dan teknologi yang dibangunkan oleh syarikat Barat, sebagaimana dengan banyak lagi senjata-senjata lain Russia.

T-14 Armata dikatakan “menggerunkan” pihak Barat kerana ia memiliki teknologi yang terkini, armor yang lebih berat dan kukuh, meriam 125mm tanpa pengendali (unmanned turret), pendigitalan operasi dan pelbagai kelebihan lain.

Kereta kebal terbaru Russia itu yang memiliki berat 48 tan itu dikatakan jauh lebih baik daripada kebanyakkan kereta kebal utama negara Barat.

Menurut laporan pada 2016, komander-komander NATO bimbang kereta kebal T-14 Armata boleh mengugat ketumbukan armor mereka terutamanya di timur Eropah dan negara-negara Baltik. — DSA

Iklan

Comments are closed.