Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat Pejuang Russia Mula Lakukan Rondaan Udara Di Bukit Golan, Syria

"Untuk memantau keadaan semasa, unit-unit Tentera Udara Russia telah melaksanakan rondaan udara di sepanjang garisan (Bravo Line di Bukit Golan) yang memisahkan tentera Israel dan tentera Syria,” menurut beliau, sebagaimana dinyatakan oleh agensi berita TASS.

0 16,394

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Udara Russia (dipanggil Russia Aerospace Forces) telah mula mengerah pesawat-pesawat pejuang untuk meronda ruang udara di “Bravo Line” di Bukit Golan yang memisahkan tentera Syria dan tentera Israel.

Perkara itu dinyatakan oleh Laksamana Vadim Kulit yang merupakan timbalan ketua di Pusat Pendamaian Antara Pihak-Pihak Bertelagah di Syria, sebuah agensi yang bernaung di bawah Kementerian Pertahanan Russia.

“Untuk memantau keadaan semasa, unit-unit Tentera Udara Russia telah melaksanakan rondaan udara di sepanjang garisan (Bravo Line di Bukit Golan) yang memisahkan tentera Israel dan tentera Syria,” menurut beliau, sebagaimana dinyatakan oleh agensi berita TASS.

Adakah konflik di antara Israel dan Palestin pada ketika ini akan mengheret sama Russia?  

Bukit Golan merupakan kawasan di Timur Tengah yang menjadi pertikaian di antara Syria dan Israel.

Tentera Israel menduduki sebahagian daripada kawasan bukit itu selepas merampasnya daripada Syria pada 1967.

Bukit Golan

Tel Aviv kemudiannya menjajah kawasan didudukinya di Bukit Golan dalam tindakan yang tidak pernah diperakui oleh masyarakat antarabangsa.

Tentera Syria cuba merampas kembali wilayahnya yang diduduki oleh Israel di Bukit Golan itu pada Perang Arab-Israel 1973 tetapi gagal dan tentera Israel terus menduduki bukit strategik itu sehingga kini walaupun dikutuk oleh masyarakat dunia.

Sudah 57 tahun Israel menjajah Bukit Golan milik Syria dan seluruh dunia tidak dapat berbuat apa-apa mengenainya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mempunyai ratusan pemerhati antarabangsa di sepanjang garisan yang memisahkan Israel dan Syria di Bukit Golan.

Garisan gencatan senjata itu terdiri daripada dua garisan yang selari di antara satu sama – Garisan Alpha memisahkan kawasan-kawasan yang dikawal oleh Israel dan Syria manakala Garisan Bravo pula adalah garisan di timur Bukit Golan.

Tu-22M
Pesawat pengebom Tu-22M Russia mendarat di Pangkalan Udara Khmeimim, Syria untuk menjalani “latihan.”

 

Kawasan di antara Garisan Alpha dan Garisan Bravo dipanggil “Kawasan Pemisahan (Area of Separation) di mana tentera Syria tidak dibenarkan memasukinya.

Bagaimanapun pada ketika ini, kawasan terbabit diduduki oleh kumpulan-kumpulan bersenjata.

Sementara itu, Russia mula terlibat dalam peperangan di Syria pada tahun 2015 selepas “dijemput” oleh kerajaan Bashar al-Assad untuk menentang kumpulan-kumpulan bersenjata yang menentangnya serta pengganas Daesh.

Russia mengoperasikan pangkalan udara Hmeymim yang terletak di kawasan pesisir pantai Mediterranean, di mana ia melancarkan misi-misi serangan udara untuk menyokong Presiden Syria Bashar al-Assad sebelum ini.

Selain itu, Russia turut mengoperasikan pangkalan laut di Tartus di mana ia menjadi pangkalan persinggahan untuk kapal-kapal perang serta kapal selamnya.

Syria
Pangkalan Laut Russia di Tartus, Syria.

 

Pada 2021, laporan media-media Arab menyatakan bahawa Russia dikatakan telah membantu Syria menaiktaraf sistem pertahanan udaranya dengan bekalan peluru-peluru berpandu canggih serta pengetahuan dalam usaha menolong Damsyik menangani serangan udara Israel yang semakin kerap berlaku kebelakangan ini.

Russia dikatakan telah membekalkan sistem-sistem pertahanan udara Buk-M2 dan juga Pantsir untuk membantu Syria dalam menangani serangan udara Israel terhadap kedudukan tentera Syria serta kumpulan-kumpulan bersenjata pro-Iran. — DSA

To contact email: lulwabyadah@gmail.com

Comments
Loading...