Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Russia “Undur” Kereta Kebal T-14 Armata Dari Ukraine

Kereta kebal T-14 "Armata" dilapor “menggerunkan” pihak Barat kerana ia memiliki teknologi yang terkini, armor yang lebih berat dan kukuh, meriam 125mm tanpa pengendali (unmanned turret), pendigitalan operasi dan pelbagai kelebihan lain.

0 11,516

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Russia mengambil keputusan untuk “mengundurkan” kereta kebal termodennya, T-14 “Armata” daripada medan pertempuran di Ukraine, dengan alasan ia telah  “selesai melaksanakan pelbagai “ujian” terhadap kereta kebal itu.

Menurut agensi berita nasional Russia, TASS, kereta kebal itu dihantar ke Ukraine untuk menjalani ujian dan selepas ia menyelesaikan ujian terbabit, maka ia telah diundur daripada medan peperangan.

“Tujuan penggunaan kereta kebal T-14 Armata (di Ukraine) adalah untuk menguji dan menilai prestasi kenderaan kombat itu dalam suasana kombat yang sebenar. Kereta kebal itu telah diundurkan daripada barisan hadapan,” menurut agensi berita itu.

T-14 Armata
T-14 Armata

 

Malah katanya lagi, kereta kebal termoden Russia juga pernah dikerah ke Syria pada tahun 2020  untuk “menimba pengalaman dan menjalani ujian dalam suasana peperangan yang sebenar” sebagaimana yang dilakukannya di Ukraine.

Pada mulanya, Russia berhasrat untuk menghasilkan kira-kira 2,300 buah kereta kebal T-14 Armata menjelang tahun 2020, tetapi disebabkan beberapa masalah termasuk sekatan ekonomi yang ketat terhadap negara itu berikutan pencerobohannya di Ukraine, usaha terbabit telah terbantut.

Sehingga kini, Russia hanya berkemampuan menghasilkan bilangan yang terhad kereta kebal itu.

Produksi besar-besaran kereta kebal canggih Russia itu hanya dijangkakan akan bermula pada tahun 2025.

Pada Julai lepas,  Russia dilaporkan telah mengerah kereta kebal T-14 Armata ke medan pertempuran di Ukraine tetapi kerahan itu adalah bertujuan untuk mengujinya, menurut sumber industri pertahanan negara itu kepada agensi berita TASS.

Kereta-kereta kebal termoden Russia itu berkhidmat dengan Pemerintahan Pentadbiran Selatan Tentera Russia yang bertanggungjawab terhadap operasi di Ukraine.

Armata
Keadaan dalam kereta kebal T-14 Armata

 

“Anggota tentera Russia yang berkhidmat di Pentadbiran Selatan Tentera Russia telah mula menggunakan kereta kebal Armata dengan aktif. Beberapa buah kereta kebal moden itu telah dihantar ke medan peperangan  untuk melihat prestasinya.”

“Selepas daripada itu (aksi di medan peperangan), ia akan diundurkan daripada barisan hadapan,” kata sumber industri pertahanan Russia kepada agensi berita TASS itu.

Kereta kebal T-14 Armata yang dibangunkan oleh syarikat Uralvagonzavod itu telah diperkenalkan kepada umum pada 2015 pada satu perbarisan di Red Square.

Syarikat Uralvagonzavod yang berpengkalan di Nizhny Tagil merupakan syarikat pembuat kereta kebal terbesar di dunia dan telah wujud sejak zaman pimpinan Josef Stalin.

Kereta kebal yang bakal dieksport untuk pelanggan luar negara yang berminat itu mula diuji secara intensif pada 2019.

Syarikat Uralvagonzavod sepatutnya menyerahkan kira-kira 80 buah Armata kepada Tentera Russia pada akhir 2022.

Armata
Perbandingan antara kereta kebal T-14 Armata (kiri) dan T-90 (kanan).

 

Penganalisis pertahanan antarabangsa mendakwa kereta kebal T-14 Armata yang memiliki rekabentuk seperti kereta kebal Barat itu turut menggunakan bahan dan teknologi yang dibangunkan oleh syarikat Barat, sebagaimana dengan banyak lagi senjata-senjata lain Russia.

T-14 Armata dikatakan “menggerunkan” pihak Barat kerana ia memiliki teknologi yang terkini, armor yang lebih berat dan kukuh, meriam 125mm tanpa pengendali (unmanned turret), pendigitalan operasi dan pelbagai kelebihan lain.

Kereta kebal terbaru Russia itu yang memiliki berat 48 tan itu dikatakan jauh lebih baik daripada kebanyakkan kereta kebal utama negara Barat.

Menurut laporan pada 2016, komander-komander NATO bimbang kereta kebal T-14 Armata boleh mengugat ketumbukan armor mereka terutamanya di timur Eropah dan negara-negara Baltik. — DSA

Donlod

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...