“Kilang” Dron Berani Mati Iran, “Shahed-131” Bakal Dibina Di Russia
“Ini merupakan kerjasama pertahanan (Russia dan Iran) yang memudaratkan Ukraine dan kepada negara-negara jiran Iran serta komuniti antarabangsa. Kita akan terus menggunakan segala “peralatan” untuk mendedahkan dan menjejaskan aktiviti (kerjasama pertahanan Russia dan Iran) ini dengan berkongsinya dengan masyarakat dunia,” Majlis Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Iran bukan sahaja membantu kempen ketenteraan Russia di Ukraine dengan membekalkan dron-dron “berani mati” kepada Moscow, tetapi kini kerjasama itu bakal dipertingkatkan ke tahap yang lebih tinggi.
Kedua-dua negara dilaporkan sedang bekerjasama untuk membuka “kilang” pembuatan dron-dron berani mati Iran itu di Russia bagi memastikan bekalan berterusan dron berani mati itu untuk kegunaan jangka masa panjang tentera Russia, sama ada di Ukraine atau di lokasi konflik yang lain.
Usaha mendirikan kemudahan pembuatan dron-dron berani mati Iran di Russia itu dinyatakan oleh jurucakap Majlis Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat Laksamana John Kirby,yang turut mengedarkan gambar-gambar satelit berkenaan lokasi pembuatan dron-dron berani mati Iran di Russia itu.

Menurut beliau, Iran membantu Russia dengan menyalurkan peralatan dan komponen-komponen penting dalam pembuatan dron-dron berani mati Iran bagi membolehkan kilang pembuatan dron itu didirikan dengan segera di wilayah Yelabuga, Tatarstan.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, tentera Russia telah menggunakan dron-dron berani mati Iran seperti Shahed-131, Shahed-136 dan Mohajer untuk menyerang pelbagai sasaran di Ukraine seperti bangunan,infrastruktur awam termasuk janakuasa elektrik, pusat simpanan minyak dan lain-lain lagi.
Pegawai Amerika Syarikat menyatakan bahawa kemampuan sistem dron Iran telah meningkat sejak 2014, bermula daripada penggunaannya oleh militan Houthi yang disokong Teheran dalam serangan-serangan terhadap kemudahan minyak dan gas milik syarikat Saudi Aramco kepada serangan terhadap kapal-kapal komersial yang melalui perairan Teluk Parsi dan kini di medan peperangan di Ukraine.
Laporan juga menyatakan pada permulaan penggunaannya di Ukraine, dron-dron berani mati Iran itu telah dioperasikan oleh sekumpulan anggota tentera pengawal revolusi Iran yang diterbangkan khas daripada Iran untuk membantu kempen ketenteraan Russia itu.
Selain menggunakan penerbangan-penerbangan khas, Iran juga menggunakan kapal untuk memindahkan dron-dron berani mati itu serta komponennya menerusi Laut Caspia daripada Amirabad di Iran ke Makhachkala di Russia sebelum digunakan oleh tentera negara itu di Ukraine.

Walaupun dron-dron berani mati buatan Iran ini memiliki ketepatan yang rendah,tetapi berjaya “menakutkan” tentera dan orang awam Ukraine daripada segi psikologi.
Dron-dron berani keluaran Iran juga dikatakan berjaya menampung kekurangan senjata dialami oleh tentera Russia akibat konflik berintensiti tinggi yang berterusan untuk tempoh tempoh daripada setahun.
Comments are closed.