Agong Titah Kementerian Pertahanan Tidak Ulangi Kesilapan Letakkan “Juruterbang Dalam Keranda Terbang”
Titah Diraja sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas ke-60 sekali lagi menyorot kontroversi pembelian pesawat Skyhawk terpakai pada 1980-an.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan supaya Kementerian Pertahanan supaya tidak mengulangi kesilapan terdahulu dalam pembelian aset terpakai yang sudah berusia sehingga meletakkan “juruterbang kita dalam keranda terbang.”
Baginda yang juga pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengingatkan Kementerian Pertahanan supaya tidak mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan dahulu melibatkan pembelian sistem persenjataan terpakai daripada negara lain.
“Jangan ulang kesilapan dahulu apabila kita beli pesawat SkyHawk secara second-hand. Adakah kita hendak letak juruterbang kita dalam ‘keranda terbang’? Awak fikirlah sendiri.
“Saya percaya ini semua berlaku kerana di Kementerian Pertahanan penuh dengan agent atau bekas jeneral yang menjadi salesman, malah ada syarikat penjual kain pun masuk hendak jual drone.
“Kalau semua pembelian kena ikut harga orang tengah, maka peruntukan yang ada tidak akan cukup. Oleh itu, jangan cuba nak temberang saya. Jika tidak mahu dengar cakap saya, selepas ini saya tidak akan menegur lagi,” titah baginda seperti dikongsi di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Sultan Ibrahim memberi teguran demikian dalam Titah Diraja sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-60 di Kem Iskandar, Mersing di Johor, hari ini.
Pada tahun 1982, kerajaan Malaysia memeterai perjanjian untuk memperoleh 88 buah pesawat Douglas A-4C dan A-4L Skyhawk yang telah lama disimpan di kemudahan penyimpanan pesawat Amerika.
Keseluruhan pakej perolehan ini dilaporkan menelan belanja sekitar USD 88 juta, iaitu kurang daripada USD 1 juta setiap pesawat, menjadikannya kelihatan sebagai satu tawaran berbaloi pada ketika itu.
Daripada jumlah itu, sebanyak 54 unit dirancang untuk dijadikan pesawat pejuang satu tempat duduk, manakala 14 unit lagi sebagai pesawat latihan dua tempat duduk.
Baki pesawat disasarkan sebagai sumber alat ganti untuk memastikan kesinambungan operasi.
Pesawat yang diubah suai ini kemudian digelar sebagai A-4PTM (Peculiar To Malaysia).
Walaupun kontroversi menyelubunginya, Skyhawk tetap memainkan peranan penting dalam tempoh perkhidmatannya.
Pesawat ini mula memasuki inventori TUDM pada 1984–1985, digunakan untuk latihan serangan darat dan operasi pejuang-bom.

Ia menjadi platform peralihan penting sebelum TUDM menerima pesawat moden seperti BAE Hawk Mk 108/208 serta F/A-18D Hornet pada dekad 1990-an.
Pada Mac lalu, media melaporkan Kementerian Pertahanan merancang untuk membuka semula tender kontrak sewaan helikopter Black Hawk jenis UH-60 untuk digunakan Tentera Darat Malaysia (TDM) selepas syarikat dilantik sebelumnya, Aerotree Defence and Services Sdn Bhd gagal membuat penghantaran mengikut tarikh ditetapkan.
Pada November lepas, dilaporkan Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah menyerahkan notis pembatalan kontrak sewaan empat helikopter Black Hawk kepada syarikat yang sebelum ini telah memenangi tender sewaan berkenaan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata tindakan itu diambil selepas syarikat berkenaan gagal memenuhi tarikh akhir yang ditetapkan walaupun sudah dilanjutkan hingga akhir Oktober lepas.
Kementerian Pertahanan telah menandatangani kontrak penyewaan empat buah helikopter Black Hawk pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ‘23) yang pada Mei lepas.
Kontrak penyewaan helikopter itu telah ditandatangani dengan syarikat tempatan, Aerotree Defence & Services Sdn Bhd bernilai RM187 juta.
Penyewaan empat buah helikopter itu dikatakan untuk tempoh selama lima tahun.
Keempat-empat helikopter itu akan berfungsi sebagai pletfom kepada Tim Nukleus Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) sebagai latihan dan tugasan penerbangan operasi.
Sebelum ini, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dilaporkan berkata, beberapa syarikat telah pun mengemukakan kertas cadangan bagi menawarkan diri untuk membekalkan helikopter berkenaan.
“Buat masa ini, parameter dia tetap kekal di mana nilai projek masih di paras RM200 juta dan kita memerlukan sewaan lima tahun untuk empat helikopter ini. TDM masih lagi membuka ruang untuk sebarang cadangan daripada mana-mana pihak berminat dan berkemampuan untuk projek pembekalan ini,” katanya.
Awal bulan ini, Bahagian Perolehan MINDEF dilaporkan telah mengeluarkan satu tender yang akan ditutup pada 26 September depan, bagi penyewaan empat helikopter utiliti untuk tempoh lima tahun bagi TDM dengan kos anggaran RM185,185,224.00.
Helikopter UH-60 Black Hawk: Tulang Belakang Operasi Udara Medan Moden
Helikopter UH-60 Black Hawk keluaran Sikorsky Aircraft Corporation (kini dimiliki Lockheed Martin) merupakan antara helikopter utiliti sederhana paling ikonik dan banyak digunakan di dunia.
Pertama kali terbang pada tahun 1974 dan mula berkhidmat pada tahun 1979, Black Hawk dicipta bagi menggantikan UH-1 Huey sebagai tulang belakang mobiliti udara Tentera Darat Amerika Syarikat.
Sejak itu, ia telah berkembang menjadi platform pelbagai guna yang digunakan oleh lebih 30 negara di seluruh dunia.
Black Hawk biasanya dikendalikan oleh empat kru terdiri daripada juruterbang, pembantu juruterbang serta dua kru belakang.
Ruang kabinnya mampu membawa sehingga sebelas anggota tentera lengkap bersenjata atau muatan dalaman seberat 1,200 kilogram.
Fleksibiliti ini menjadikannya helikopter yang mampu memenuhi pelbagai keperluan operasi, sama ada pengangkutan pasukan infantri, logistik mahupun misi perubatan.
Dari segi saiz, Black Hawk mempunyai panjang keseluruhan hampir 20 meter dengan fuselaj sepanjang 15.27 meter dan ketinggian 5.13 meter. Rotor utamanya pula berdiameter 16.36 meter, satu reka bentuk yang membolehkan ia beroperasi di kawasan yang padat dan sempit seperti hutan tropika, padang pasir yang gersang mahupun kawasan bandar.
Prestasi terbang Black Hawk membuktikan keunggulannya. Ia mampu mencapai kelajuan maksimum sekitar 294 kilometer sejam dengan kelajuan jelajah 280 kilometer sejam.
Jarak operasi asasnya ialah 592 kilometer dengan tangki standard, tetapi dengan pemasangan tangki tambahan ia boleh terbang sejauh lebih 2,000 kilometer.
Helikopter ini juga boleh beroperasi sehingga altitud 5,790 meter dengan kadar pendakian yang mencecah 2,540 kaki seminit, memberikan kelebihan besar dalam operasi taktikal jarak sederhana dan misi jarak jauh.
Kuasa Black Hawk datang daripada dua enjin General Electric T700-GE-701C atau 701D turboshaft yang masing-masing menghasilkan sekitar 2,000 kuasa kuda.
Enjin ini memberikan keupayaan operasi “hot and high”, iaitu kemampuan untuk beroperasi di kawasan altitud tinggi dan dalam suhu yang panas, sesuatu yang sering melemahkan prestasi helikopter lain.
Dari segi muatan, Black Hawk mampu mengangkut 1,200 kilogram secara dalaman, tetapi kekuatan sebenarnya terletak pada keupayaan mengangkut muatan eksternal melalui sistem underslung yang boleh membawa beban sehingga 4,100 kilogram.
Dalam misi evakuasi perubatan pula, ia mampu menampung enam pengusung pesakit bersama empat atendan perubatan, menjadikannya helikopter yang sangat berguna dalam operasi menyelamat.
Walaupun direka sebagai helikopter utiliti, Black Hawk boleh dipersenjatai mengikut misi tertentu.
Ia mampu membawa senjata sampingan seperti mesingan M240 atau minigun GAU-17, roket Hydra 70 milimeter, dan juga peluru berpandu AGM-114 Hellfire dalam konfigurasi khas.
Varian bersenjata ini, yang kadangkala dikenali sebagai “Battlehawk”, memberikan keupayaan serangan ringan yang boleh menyokong operasi darat.
Sistem avionik Black Hawk turut memastikan ia kekal relevan dalam persekitaran peperangan moden.
Kokpitnya dilengkapi paparan digital multifungsi, sistem navigasi GPS/INS, serta FLIR untuk operasi malam atau dalam keadaan cuaca buruk.
Helikopter ini juga dilengkapi sistem perlindungan elektronik seperti jammer infra merah AN/ALQ-144, radar warning receiver AN/APR-39, dan sistem amaran peluru berpandu AN/AAR-57.
Dengan sistem komunikasi satelit, link data taktikal dan radio pelbagai frekuensi, Black Hawk mampu beroperasi dalam rangkaian peperangan moden yang padat dengan ancaman elektronik.
Kejayaan Black Hawk dapat dilihat melalui pelbagai variannya. Versi UH-60A, L dan M berfungsi sebagai pengangkutan standard Tentera Darat Amerika Syarikat.
Versi HH-60M digunakan khusus untuk misi MEDEVAC dengan peralatan perubatan lengkap. MH-60K dan MH-60M pula direka untuk operasi khas dengan avionik canggih dan tangki bahan bakar tambahan bagi misi jarak jauh.
Sikorsky juga mengeluarkan varian eksport moden dikenali sebagai S-70i, manakala S-70A Firehawk digunakan sebagai helikopter pemadam kebakaran dengan tangki air khas.
Dari segi operasi, Black Hawk benar-benar menjadi “workhorse” kepada pelbagai tentera di dunia.
Ia digunakan untuk pengangkutan taktikal pasukan dan logistik, operasi khas, evakuasi perubatan, penghantaran bantuan kemanusiaan sewaktu bencana, serta pemadaman kebakaran udara.
Keupayaannya beroperasi dalam pelbagai geografi dan iklim menjadikannya antara helikopter paling fleksibel dan boleh dipercayai yang pernah dicipta.
Lebih tiga dekad selepas kemunculannya, Black Hawk kini digunakan oleh lebih 30 negara.
Amerika Syarikat kekal sebagai pengguna terbesar, namun negara lain seperti Australia, Korea Selatan, Jepun, Poland, Turki, Colombia, Arab Saudi, dan Filipina turut mengoperasikannya.
Di Asia Tenggara, Thailand, Brunei, Filipina dan Singapura adalah antara pengguna aktif platform ini.
Kesimpulannya, UH-60 Black Hawk bukan sekadar helikopter pengangkutan utiliti sederhana. Ia adalah simbol keupayaan taktikal serba guna yang mampu berkhidmat dalam misi tempur, menyelamat, bantuan kemanusiaan dan pemadam kebakaran.
Dengan rekod operasi yang panjang dan kemampuan dinaik taraf secara berterusan, Black Hawk kekal sebagai salah satu helikopter paling dipercayai dalam dunia pertahanan dan dijangka terus menjadi pilihan utama dalam dekad-dekad akan datang.
— DEFENCE SECURITY ASIA
