Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[VIDEO] “Tentera Upahan” Wagner Cuba Rampas Kuasa. Russia Diambang “Perang Saudara”?

Kerajaan Russia menuduh ketua kumpulan bersenjata atau "tentera upahan" Wagner, Yevgeny Prigozhin melancarkan “pemberontakan bersenjata” terhadap negara itu dan cubaan “merampas kuasa.”

0 2,255

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Adakah Russia sedang menuju ke arah “Perang Saudara” di antara tentera Russia dipimpin oleh Presiden Vladimir Putin dengan kontraktor keselamatan “Wagner” aka “tentera upahan” diketuai oleh panglimanya Yevgeny Prizoghin?

Dalam tempoh 24 jam, itulah yang berlaku dimana Prigozhin yang sebelum ini amat rapat dengan Putin mengumumkan secara terbuka bahawa beliau akan “menumbangkan” kepimpinan tentera Russia diketuai oleh presiden, menteri pertahanan dan panglima-panglimanya.

Kerajaan Russia menuduh anggota bersenjata Wagner dan Prigozhin melancarkan “pemberontakan bersenjata” terhadap negara ini dan laporan terkini daripada Russia menyatakan bahawa pasukan keselamatan negara itu sedang memburu ketua kumpulan bersenjata itu.

Moscow juga menuduh Prigozhin yang berusia 62 tahun dan anggota bersenjata Wagner cuba “merampas kuasa.”

Agensi keselamatan Russia, FSB telah membuka tuduhan jenayah terhadap Prigozhin dan menuduh beliau kerana menyeru pemberontakan bersenjata dan cuba memulakan konflik saudara di Russia.

FSB juga meminta anggota Wagner supaya tidak mematuhi arahan oleh ketuanya itu dan mengambil tindakan menangkap beliaui.

Hubungan di antara Prigozhin dan kepimpinan tentera Russia tegang sejak beberapa bulan kebelakangan ini walaupun kedua-dua pihak berjuang bersama-sama di medan peperangan di Ukraine terutamanya ketika dalam cubaan mereka untuk menakluk wilayah Bakhmut di Ukraine.

Dilaporkan,ramai dikalangan anggota kumpulan bersenjata Wagner ini direkrut daripada penjara-penjara di Russia untuk membantu kempen ketenteraan Russia di Ukraine.

Wagner
Yevgeny Prigozhin (tengah)

 

Selain di Ukraine,  anggota kumpulan bersenjata Wagner turut dilaporkan beroperasi di medan-medan konflik di serata dunia daripada Syria, Libya dan beberapa negara Afrika.

Kebelakangan ini, Prigozhin mengkritik secara terbuka cara-cara kepimpinan tentera Russia melaksanakan peperangan di Ukraine termasuk menuduh ramai di kalangan jeneral-jeneral terlibat dalam kegiatan rasuah.

Beliau menuduh jeneral-jeneral tentera Russia ini hidup mewah hasil kegiatan rasuah dan membiarkan anggota tentera mereka menderita dan terbunuh di medan peperangan dengan Ukraine.

Terbaru, Prigozhin mendakwa tentera Russia telah melancarkan serangan udara terhadap kedudukan anggotanya di Ukraine menyebabkan beberapa daripada mereka terbunuh.

Tentera Russia menafikan dakwaan oleh ketua kumpulan bersenjata Wagner itu dan mengarahkan beliau supaya menghentikan tindakan yang menyalahi undang-undang.  

Wagner

Ketua kumpulan Wagner itu juga mendakwa anggotanya telah menembak jatuh sebuah helikopter tentera Russia “kerana melepaskan tembakan terhadap orang awam”,tetapi dakwaan itu tidak dapat disahkan oleh media-media Russia.

Anggota kumpulan Wagner juga dilaporkan telah berjaya menawan bangunan tentera Russia di bandar Rostov-on-don di selatan negara itu.

Prigozhin dilaporkan berkata bahawa mereka yang “jahat”di dalam kepimpinan tentera Russia perlu disingkirkan dan akan “berarak untuk menuntut keadilan.”

“Mereka yang membunuh anggota kami dan ribuan anggota tentera Russia dalam perang di Ukraine akan menerima hukuman,” menurut mesej audio yang disebarkan menerusi aplikasi Telegram.

“Saya meminta anda supaya tidak melawan. Sesiapa sahaja yang dianggap sebagai lawan akan dimusnahkan. Ini termasuklah semua kawalan-kawalan di jalanraya dan pasukan udara. Kuasa Presiden, kerajaan, polis dan pengawal Russia akan bekerja seperti biasa.Wagner

“Ini bukanlah suatu rampasan kuasa, tetapi perarakan menuntut keadilan. Tindakan kami tidak mencampuri urusan tentera,” kata Prigozhin.

Sementara itu jurucakap Presiden Putin berkata bahawa beliau menerima makluman tentang perkembangan terkini berkenaan situasi itu.

Kawalan keselamatan di Moscow telah dipertingkatkan di beberapa lokasi penting di ibu negara Russia itu, menurut laporan oleh agensi berita negara itu, TASS.

Sementara itu,gabenor di wilayah Lipetsk meminta warga wilayah itu supaya tidak pergi ke selatan.

Lipetsk terletak kira 280km daripada sempadan terdekat Ukraine. — DSA

Wagner
Anggota keselamatan persendirian Wagner Russia di Libya.

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...