Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat JF-17 “Thunder” Block III Menuju Ke Timur Tengah…

Perolehan sejumlah pesawat JF-17 Block III oleh Iraq itu telah disahkan oleh Menteri Pertahanannya Juma Inad dalam satu temuramah dengan stesen televisyen Al-Arabiya, yang berpengkalan di Dubai baru-baru ini.

11,126

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Iraq menjadi negara terbaru membeli pesawat JF-17 “Thunder” yang dibangunkan secara usahasama oleh Pakistan Aeronautical Complex (PAC) dan Chengdu Aircraft Industry Group daripada China.

Perolehan sejumlah pesawat JF-17 Block III oleh Iraq itu telah disahkan oleh Menteri Pertahanannya Juma Inad dalam satu temuramah dengan stesen televisyen Al-Arabiya, yang berpengkalan di Dubai baru-baru ini.

Walaupun Menteri Pertahanan Iraq itu tidak mendedahkan bilangan pesawat JF-17 Block III yang diperolehinya daripada Pakistan, tetapi media-media di negara Asia Selatan itu mendakwa Baghdad membeli sebanyak 12 buah pesawat pejuang ringan usahasama Pakistan dan “rakan baiknya”, China.

Juma berkata Iraq telah pun menandatangani kontrak dengan Pakistan untuk memperolehi pesawat JF-17 yang akan digunakan untuk menangani ancaman dron bersenjata yang berleluasa di Iraq pada ketika ini.

Kumpulan-kumpulan bersenjata termasuk Daesh kini menggunakan dron bersenjata (kamikaze drone) untuk melancarkan serangan terhadap kedudukan tentera Iraq serta tentera bersekutu terutamanya Amerika Syarikat.

JF-17
Pesawat JF-17 “Thunder”

 

Iraq bukan negara pertama yang membeli pesawat JF-17 kerana pada 2016, Myanmar menjadi negara pertama menjadi pelanggan pesawat dengan memperolehi 16 buah JF-17 Block II diikuti oleh Nigeria yang membeli tiga buah pesawat.

Selain kedua-dua negara itu, Argentina juga dilaporkan berminat untuk memperolehi sejumlah pesawat JF-17 selepas usahanya untuk memperolehi pesawat FA-50 Korea Selatan dihalang oleh kerajaan British.

Disebabkan isu Falklands, British enggan meluluskan penjualan pesawat FA-50 yang menggunakan komponen British kepada Argentina.

JF-17
Pesawat pejuang JF-17 Thunder buatan Pakistan/China

 

Tindakan British menghalang penjualan FA-50 itu menyebabkan Argentina berpaling ke Pakistan untuk mendapatkan pesawat pejuang ringan.

Pakistan dan Argentina masih berunding mengenai penjualan pesawat JF-17 Block III.

Netizen Pakistan juga berharap Malaysia akan menjadi pelanggan pesawat JF-17 itu.

Antara kemampuan terbaru JF-17 Block 3 berbanding JF-17 Block 2 adalah pesawat varian termaju JF-17 itu dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) “KLJ-7A” yang dibangunkan oleh syarikat teknologi China iaitu China Electronics Technology Group.

JF-17

Penganalisis tentera China mendakwa radar AESA KLJ-7A adalah setanding dengan radar AN/APG-81 yang dimiliki oleh pesawat pejuang generasi kelima Amerika Syarikat, F-35 dan radar N036 phased array radar yang digunakan oleh pesawat Su-57 Russia.

Varian terbaru pesawat JF-17 Block 3 itu juga menggunakan Wide-Angle Holographic Head-Up Display sebagaimana yang digunakan oleh pesawat generasi ke-lima China, J-20 “Mighty Dragon.”

Peningkatan keupayaan varian terbaru pesawat JF-17 Block 3 juga menyaksikan ia dilengkapi dengan Infra Red Missile Approach Warning System, sistem sensor yang terletak di intake udara pesawat sama seperti yang digunakan oleh pesawat J-10C milik China.

JF-17
Peluru berpandu BVRAAM “PL-15” dan WVRAAM “PL-10” yang bakal melengkapkan pesawat JF-17 “Thunder.”

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Bagi sistem persenjataan udara-ke-udara pula, pesawat JF-17 Block 3 ini akan dilengkapi dengan dua jenis peluru berpandu iaitu PL-10 yang turut digunakan oleh pesawat termoden China, J-20 “Mighty Dragon.”

Satu lagi peluru berpandu udara-ke-udara yang melengkapkan pesawat JF-17 Block 3 adalah “PL-15” yang memiliki jarak operasi sejauh 200km hingga 300km, memberikan kelebihan berbanding peluru berpandu udara-ke-udara dimiliki oleh pesawat-pesawat India.

Secara keseluruhannya, tentera udara Pakistan bakal memiliki kira-kira 50 buah pesawat JF-17 Block 3 menjelang tahun 2024, bagi menambah pegangan 98 buah pesawat JF-17 Block 1 dan JF-17 Block 2.

— DSA

Comments are closed.