Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat Pejuang Ringan “JF-17 Thunder” Pakistan Terhempas

Pesawat itu dikatakan berlepas daripada pangkalan udara Minhas, di Pakistan.

0 3,152

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah pesawat pejuang ringan, JF-17 “Thunder” yang dibangunkan oleh China dan Pakistan telah terhempas ketika melakukan penerbangan latihan di sebuah kawasan bernama Attock di negara itu.

Pesawat itu dikatakan berlepas daripada pangkalan udara Minhas, di Pakistan.

Terdapat dakwaan mengatakan ia merupakan pesawat JF-17 “Thunder” milik Tentera Udara Pakistan kelima  yang telah terhempas sejak ia mula berkhidmat dengan negara itu.

Pesawat JF-17 “Thunder” yang dibangunkan oleh Chengdu Aircraft Industry Corporation (CAIC) dan Pakistan Aeronautical Complex (PAC) itu dikatakan salah sebuah daripada pesawat yang ditawar kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk mengisi keperluan bagi Light Combat Aircraft/Fighter Lead-In Trainer (LCA/FLIT).

Malah ada laporan daripada media antarabangsa pada tahun ini yang mengatakan bahawa pesawat JF-17 “Thunder” ini merupakan pesawat pilihan untuk memenangi tender TUDM.

JF-17
Pesawat JF-17 Thunder Tentera Udara Pakistan yang terhempas semalam.

 

“Kedua-dua juruterbang terselamat, Tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda setakat ini,” menurut kenyataan oleh Tentera Udara Pakistan sebagaimana dipetik oleh media-media tempatan negara itu.

Pada September tahun lepas, pesawat daripada jenis yang sama turut terhempas berhampiran, Pindigheb, juga di Attock semasa penerbangan latihan.

Tentera Udara Pakistan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan untuk melakukan siasatan berkenaan insiden semalam itu, walaupun terdapat laporan oleh media tempatan mengatakan punca kemalangan adalah akibat “technical malfunctions”.

Bagi tender untuk 18 buah pesawat LCA/FLIT untuk TUDM itu, selain JF-17 “Thunder” pesawat-pesawat lain yang dijangka turut sama dalam tender antarabangsa itu adalah KAI F-50, Leonardo M-346, Yak-130 dan Tejas daripada Hindustan Aerospace Limited (HAL) daripada India.

Dengan kerajaan dikatakan mahu membayar 50 peratus daripada kos pembelian pesawat itu dalam bentuk komoditi, persaingan kini adalah diantara negara-negara yang bersedia menerima bayaran dalam bentuk minyak sawit, getah, petroleum,gas asli dan lain-lain.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...