Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pakistan Beli 25 Pesawat Pejuang J-10 Dari China, Mahu Bersaing Dengan Rafale India

Menteri Dalam Negeri Pakistan Sheikh Rasheed Ahmad berkata perolehan 25 buah pesawat J-10 oleh Pakistan daripada China itu merupakan usahanya untuk bersaing dengan 36 buah pesawat dua enjin Rafale buatan Perancis yang diperolehi oleh seteru utamanya, India.

0 5,948

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam usahanya untuk bersaing dengan pesawat-pesawat Rafale yang diperolehi oleh India, Pakistan mengumumkan bahawa ia telah pun membeli 25 buah pesawat pejuang J-10 secara “senyap-senyap” daripada China.

Pesawat satu enjin J-10 itu dibangunkan oleh oleh Chengdu Aircraft Corporation.

Menurut Menteri Dalam Negeri Pakistan Sheikh Rasheed Ahmad, perolehan 25 buah pesawat J-10 oleh Pakistan daripada China itu merupakan usaha negara itu untuk bersaing dengan 36 buah pesawat dua enjin Rafale buatan Perancis yang diperolehi oleh seteru utamanya itu.

Pakistan dan India adalah seteru utama dan kedua-dua angkatan tentera telah berperang beberapa kali terutamanya berkenaan isu Kashmir, sebuah wilayah yang majoritinya adalah beragama Islam tetapi diperintah oleh India.

Pemerhati pertahanan antarabangsa mengatakan bahawa pesawat J-10 buatan China tidak jauh bezanya daripada pesawat F-16 Amerika Syarikat tetapi menampilkan DNA daripada program pesawat Lavi yang kemudiannya dibatalkan oleh Israel.

J-10

Kemungkinan pesawat J-10 itu adalah hasil daripada industrial espionage dan reverse engineering pihak China daripada pesawat-pesawat pejuang Barat.

Menteri Dalam Negeri Pakistan itu juga berkata bahawa pesawat-pesawat J-10 milik Pakistan itu akan melakukan penerbangan pada Hari Kebangsaan negara itu pada 23 Mac ini.

Jika dakwaan bahawa pesawat-pesawat itu akan melakukan penerbangan di khalayak ramai pada Mac ini terbukti benar, maka ia membuktikan bahawa Pakistan telah melakukan pembelian pesawat J-10 itu daripada China secara rahsia.

Ini adalah kerana proses pembelian pesawat itu selalunya mengambil masa sehingga di antara dua hingga tiga tahun.

J-10

Menurut media-media antarabangsa, Pakistan mula menunjukkan minat untuk memperolehi pesawat J-10 itu seawal tahun 2006 tetapi akhirnya bekerjasama dengan China untuk sama-sama membangunkan pesawat Fighter Lead-In Fighter/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA” JF-17 Thunder.

Kemungkinan besar adalah Pakistan membeli varian terkini pesawat J-10 iaitu versi “C” kerana ia dilengkapi dengan peralatan terkini seperti Active Electronically Scanned Array (AESA) dan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) “PL-15”.

Peluru berpandu udara-ke-udara PL-15 itu dikatakan dibangunkan dengan bantuan pakar-pakar daripada Russia dan memilik jarak effektif di antara 200km hingga 300km, sebagaimana didakwa oleh China.

Bagaimanapun ia hanya dakwaaan berat sebelah pihak China kerana kemampuannya belum lagi terbukti di medan peperangan.

Peluru berpandu PL-15 itu juga didakwa adalah pesaing utama kepada peluru berpandu udara-ke-udara keluaran Amerika Syarikat iaitu AIM-120 “AMRAAM.”

Pesawat J-10C itu juga dikatakan menggunakan enjin keluaran syarikat tempatan China dipanggil “WS-10C” dan bukan enjin Saturn AL-31F yang dibangunkan oleh Russia bagi mengelak kompleksiti dalam penjualan pesawat itu kepada Pakistan.

Rafale
Pesawat pejuang Rafale yang dibangunkan oleh syarikat Dassault Aviation.

 

Walaupun Pakistan mendakwa bahawa perolehan pesawat pejuang J-10 daripada China itu adalah untuk bersaing dengan pesawat-pesawat Rafale Tentera Udara India, tetapi ramai pemerhati mengatakan pesawat Rafale keluaran syarikat Dassault Aviation itu mempunyai kelebihan daripada segi radar AESA serta self-defence jammer.

Ramai juga mengatakan bahawa Pakistan terpaksa membeli pesawat pejuang China, J-10 itu kerana ia tidak mempunyai pilihan kerana tidak banyak negara mahu menjual pesawat-pesawat pejuang keluaran mereka kepada Islamabad atas pelbagai isu seperti dakwaaan pembabitan Pakistan dengan kumpulan pengganas antarabangsa dan kerajaan Taliban di Afghanistan.

Walauapapun, ramai pemerhati sedang melihat dengan teliti hasil pertembungan di antara J-10 Pakistan dengan Rafale India untuk melihat teknologi negara manakah yang lagi berkesan pada ketika ini.

J-10

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...