Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Mirage 2000-5 Bakal Dimiliki Indonesia Masih Mempunyai 70 Peratus Jam Penerbangan

“Pesawat pejuang Mirage 2000-5 masih mempunyai jangka hayat kira-kira 15 tahun (dengan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara) kerana sehingga kini ia hanya menggunakan 30 peratus daripada jumlah jam penerbangannya,” kata Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto.

4,137

(DEFENCE SECURITY ASIA) – 12 buah pesawat pejuang Mirage 2000-5 terpakai milik Qatar yang akan diperolehi oleh Indonesia masih mempunyai 70 peratus jam penerbangannya, dedah Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto.

“Pesawat pejuang Mirage 2000-5 masih mempunyai jangka hayat kira-kira 15 tahun (dengan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara) kerana sehingga kini ia hanya menggunakan 30 peratus daripada jumlah jam penerbangannya,” kata beliau.

Tentera Udara Qatar memperolehi pesawat Mirage 2000-5 itu ada 1998, kira-kira 25 tahun yang lalu.

Qatar
Pesawat Mirage 2000-5 Qatar

 

Pesawat pejuang yang dibangunkan oleh syarikat Dassault Aviation mempunyai jangka hayat selama 5,000 jam penerbangan, bermakna Tentera Udara Qatar baru menggunakan kira-kira 1,500 jam penerbangannya sepanjang 25 tahun ia berkhidmat dengan tentera udara negara Teluk itu.

Indonesia akan memperolehi sembilan buah pesawat satu tempat duduk Mirage 2000-5 dan tiga buah pesawat pejuang dua tempat duduk yang dianggarkan menelan belanja US$797 juta (RM3.6 bilion).

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Qatar telah berbelanja besar untuk meningkatkan kemampuan angkatan tenteranya termasuk tentera udara termasuk memperolehi 36 pesawat pejuang Rafale, 24 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon dan 36 buah pesawat pejuang F-15QA.

Menteri Pertahanan Indonesia itu menyatakan bahawa perolehan 12 buah pesawat pejuang terpakai Mirage 2000-5 adalah langkah sementara bagi memastikan tahap kesiapsiagaan tentera udara negara Asia Tenggara itu sentiasa tinggi sementara pesawat-pesawat pejuang sedia adanya menjalani kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih.

Pesawat-pesawat pejuang Rafale yang dipesannya daripada Perancis juga tidak akan tiba di Indonesia sebelum 2026.

Rafale
Pesawat pejuang Rafale

 

“Sementara kita menunggu ketibaan pesawat pejuang Rafale, kita memerlukan pesawat pejuang sementara yang kita boleh operasikannya serta-merta,” kata beliau.

Pada tahun 2025, 12 buah pesawat pejuang terpakai Mirage 2000-5 itu akan dioperasikan oleh Skuadron 1 Tentera Udara Indonesia yang berpangkalan di Pangkalan Udara Supadio di Pontianak.

Sudah pasti, pesawat Mirage 2000-5 itu akan memastikan juruterbang dan krew dapat menyesuaikan diri dengan teknologi Perancis sebelum mereka mengoperasikan pesawat pejuang Rafale.

Tentera Udara Qatar menamatkan perkhidmatan pesawat pejuang satu enjin yang dibangunkan oleh Dassault Aviation itu pada 2021, tidak lama selepas ia memperolehi 36 buah pesawat pejuang Rafale pada 2015 dan 2017.

 Hanya beberapa hari selepas mengumumkan ia akan memperolehi 12 buah pesawat pejuang terpakai Mirage 2000-5 milik Qatar, Indonesia turut menyuarakan hasrat untuk memperolehi pula sebanyak 12 buah pesawat terpakai Mirage 2000-9 milik sebuah lagi negara Timur Tengah iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Rafale
Pesawat Rafale Tentera Udara Qatar.

 

Jika hasrat itu tertunai, maka di dalam tempoh dua hingga tiga tahun ke depan ini, Indonesia bakal mengoperasikan 24 buah pesawat pejuang terpakai Mirage 2000-5 dan Mirage 2000-9 yang dibangunkan oleh syarikat Dassault Aviation daripada Perancis itu.

Kedua-dua pesawat pejuang itu telah ditamatkan khidmatnya oleh Tentera Udara Qatar dan Tentera Udara UAE, selepas mereka memperolehi pesawat pejuang yang lebih canggih.

Jakarta menggunakan pinjaman asing untuk memperolehi pesawat pejuang Mirage 2000-5 Qatar yang mula diperkenalkan oleh syarikat pembuatnya, Dassault Aviation pada tahun 1967.

Kementerian Pertahanan Indonesia dalam satu kenyataan menyatakan bahawa negara itu telah menandatangani perjanjian pembelian pesawat milik Qatar itu dengan Excalibur International, anak syarikat Czechoslovak Group. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]

 

 

Comments are closed.