Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

37 Peratus Kapal Selam Amerika Syarikat Tidak Boleh Beroperasi Tahun Ini

Menurut laporan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat, daripada 49 buah kapal selam negara itu pada ketika ini, sebanyak 18 buah atau 37 peratus tidak dapat beroperasi pada 2023, jauh lebih tinggi daripada amalan industri sebanyak 19 peratus.

0 2,481

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Data terbaru yang dikeluarkan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat menunjukkan 37 peratus kapal-kapal selam milik negara kuasa besar itu tidak dapat beroperasi kerana kegagalan dalam menjalani penyelenggaraanya.

Kapal-kapal selam itu tidak boleh menjalani penyelenggaran kerana limbungan kapal Amerika Syarikat tidak mampu menampung bebanan kerja.

Menurut laporan, daripada 49 buah kapal selam negara itu pada ketika ini, sebanyak 18 buah atau 37 peratus tidak dapat beroperasi pada 2023, jauh lebih tinggi daripada amalan industri sebanyak 19 peratus.

USS Columbia
Kapal selam berkuasa nuklear Amerika Syarikat “USS Columbia”.

 

Ia adalah suatu angka yang tinggi berbanding 28 peratus pada 2017 dan 33 peratus pada 2022.

Tahun terbaik adalah pada 2015 di mana 19 peratus kapal selam Amerika Syarikat atau 10 buah daripada 53 buah kapal selam yang dimilikinya pada ketika itu tidak dapat beroperasi akibat diselenggara.

Satu contoh melibatkan kapal selam USS Connecticut —  yang terlibat dalam insiden melanggar gunung bawah laut (sea mountain) di Laut China Selatan kira -kira 20 bulan yang lalu.

Sebelas orang krew kapal selam berkuasa nuklear kelas-Seawolf Tentera Laut Amerika Syarikat, USS Connecticut (SSN-22) mengalami kecederaan selepas kapal selam itu terlanggar gunung dasar laut terbabit di suatu lokasi tidak didedahkan di Laut China Selatan.

Menurut jurucakap 7th Fleet Tentera Laut Amerika Syarikat, insiden tersebut berlaku pada 2 Oktober 2021 ketika kapal selam terbabit sedang menjalankan operasi di kawasan perairan antarabangsa di Laut China Selatan itu.

USS Connecticut
Kapal selam berkuasa nuklear kelas-Seawolf “USS Connecticut”

 

Sejurus selepas kemalangan itu, USS Connecticut telah belayar balik menggunakan kuasanya sendiri ke Guam, yang merupakan pangkalan tentera laut utama Amerika Syarikat di Indo-Pasifik.

Kapal selam berkuasa nuklear itu diisytiharkan tidak mampu beroperasi sehingga pada awal tahun 2026, memandangkan ia tidak mempunyai limbungan kapal yang berkelapangan untuk diperbaiki.

Menurut laporan lagi, antara sebab utama kegagalan aspek penyelenggaran adalah disebabkan kekurangan pekerja dan kemudahan di limbungan kapal serta masalah rangkaian bekalan.

Kelewatan dalam aspek penyelenggaran itu telah menyebabkan penurunan dalam kapasiti untuk memenuhi keperluan misi harian, sekaligus meningkatkan lagi tekanan terhadap operasi kapal-kapal selam Amerika Syarikat.

Menurut pakar-pakar, statistik menunjukkan tahap ketidaksiapsiagaan Tentera Laut Amerika Syarikat dalam berhadapan dengan potensi konflik bersenjata dengan China adalah “tidak berapa baik.”

USS Connecticut
Kapal selam USS Connecticut hanya akan belayar semula selepas diperbaiki pada 2026.

 

Institut Tentera Laut Amerika Syarikat pada May lepas menyatakan bahawa Tentera Laut China dijangka akan meningkatkan bilangan kapal-kapal perangnya kepada 440 buah kapal menjelang pada tahun 2030.

Pada masa yang sama, Tentera Laut Amerika Syarikat hanya memiliki 290 buah kapal perang pada 2030.

Simulasi peperangan dengan China yang dijalankan oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat dan badan-badan pemikir antarabangsa menunjukkan bahawa Washington tidak bersedia untuk berperang dengan China pada ketika ini. — DSA

 

Comments
Loading...