Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pasukan Pengaman M’sia Di Lubnan Mula Terima 20 Kenderaan Perisai “Panthera” Januari Depan

Menurut Panglima Angkatan Tentera Jenl Tan Sri Mohammad Ab Rahman, perolehan 20 buah kenderaan perisai 4x4 “Panther” (varian kepada kenderaan perisai Ejder Yalchin) itu menelan belanja RM190 juta untuk menggantikan kenderaan perisai “Condor” yang digunakan oleh anggota pengaman Malaysia di Lubnan pada ketika ini.

0 8,603

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pasukan Pengaman Batalion Malaysia (MALBAT) yang sedang berkhidmat dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan  akan mula menerima sebanyak 20 buah kenderaan perisai “Panthera” 4×4 buatan Turkiye untuk kegunaan anggotanya pada Januari depan.

Perkara itu dinyatakan oleh Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman hari ini dan dipetik oleh media-media tempatan.

Menurut beliau lagi, perolehan 20 buah kenderaan perisai 4×4 “Panther” (varian kepada kenderaan perisai Ejder Yalchin) itu menelan belanja RM190 juta dan adalah untuk menggantikan kenderaan perisai “Condor” yang digunakan oleh anggota pengaman Malaysia di Lubnan itu.

Pasukan pengaman Malaysia itu adalah sebahagian daripada Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) “United Nations Interim Force in Lebanon.”

Selain beliau juga berkata bahawa kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM400 juta untuk perolehan 60 buah kenderaan High Mobility Light Tactical Vehicle yang akan turut digunakan oleh anggota pengaman Malaysia di bumi bergolak Lubnan itu.

Panglima
Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

 

“Kami akan terima perolehan bernilai RM400 juta ini tahun hadapan, namun perolehan ini akan mengambil sedikit masa kerana ia dibuat mengikut keperluan kita, kita mahu senjata jenis apa, kita mahu elektronik dalam jenis apa, jadi ia mengambil masa,” katanya, sebagai dipetik oleh media tempatan itu.

Panglima Angkatan Tentera berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perbarisan Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) dan Pembubaran Malbatt 850-10 di Padang Kawad, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), di Negeri Sembilan hari ini.

Dalam satu kenyataan menerusi akaun media sosial Tentera Darat Malaysia pada akhir tahun lepas, ia menyatakan bahawa nama “Panthera” atau nama saintifiknya “Panthera Pardus” dipilih kerana haiwan ini dapat menyesuaikan diri dengan baik dalam pelbagai habitat di seluruh dunia bersesuaian dengan kenderaan perisai ini yang boleh diaturgerak dalam semua keadaan.

Nama asal Turkiye kenderaan itu adalah “Ejder Yalchin” tetapi mungkin sukar untuk kita menyebutnya, maka kini ia dikenali dengan nama “Panthera.”

Kenderaan perisai “Panther” buatan syarikat Nurol Makina itu mula diperkenalkan di Malaysia pada 2018 dan telah menjalani pelbagai ujian di Malaysia tidak lama dahulu, bersama-sama beberapa pesaingnya.

Panthera
Panglima Tentera Darat pada ketika itu, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dengan kenderaan perisai “Panthera” di kemudahan syarikat Nurol Makina di Ankara,Turki. (Tentera Darat)

 

Kerajaan dipercayai membayar terlebih untuk pembelian kenderaan perisai yang akan digunakan oleh pasukan pengaman Malaysia ini sebelum kosnya di-reimburse oleh PBB kemudian.

Kenderaan perisai “Panthera” ini bakal menyertai kenderaan MRAP (Mine-Resistant Ambush Protected) IAG Guardian yang turut digunakan oleh tentera pengaman kita di Lubnan.

Kedua-dua kenderaan perisai itu,  “Panthera” dan “Guardian” memberikan perlindungan yang lebih baik kepada anggota tentera pengaman kita yang bertugas di Lubnan daripada ancaman periuk api, Improvised Explosive Device (IED), shrapnel dan lain-lain lagi berbanding kenderaan berperisai “Condor” atau kenderaan “soft-skinned” lain yang digunakan dalam tugasan harian di negara bergolak itu.

Pada pameran DSA 2022, syarikat Nurol Makina dan NADI Corp telah menandatangani “final configuration review acceptance” bagi kenderaan Ejder Yalchin (Panthera) itu.

Spesifikasi kenderaan perisai buatan Nurol Makina ini adalah, ia memiliki berat di antara 12 tan hingga 14 tan dan mampu pelbagai muatan seberat 4 tan.

Panthera
Gambar yang dikeluarkan oleh akaun media sosial tentera darat pada akhir tahun lepas.

 

Kenderaan perisai ini mampu memecut sehingga 110 km/jam dengan radius operasi sejauh 600km menggunakan enjin 300 kuasa kuda.

“Panthera” berkemampuan membawa sehingga 11 orang anggota tentera lengkap bersenjata.

Kenderaan perisai itu juga boleh dilengkapi dengan persenjataan mesingan berat dan Automatic Grenade Launcher.

Bagaimanapun admin tidak pasti persenjataan apakah akan digunakan oleh “Panthera” di Lubnan, kemungkinan besar hanyalah mesingan 7.62mm dengan menggunakan Remote Control Weapon Station (RCWS) bagi perlindungan lebih baik anggotanya/pengendali senjata.

Sistem persenjataan yang lebih besar kalibernya berkemungkinan akan mendapat bantahan keras daripada pihak tentera Israel. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...