Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Israel Bunuh Pemimpin Kanan Hamas, Saleh al-Arouri di Beirut

(VIDEO) Video yang tersebar di media-media sosial menunjukkan beberapa buah kenderaan hangus terbakar akibat serangan udara itu, dipercayai sama ada menggunakan pesawat pejuang atau dron milik Israel.

0 977

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Israel dipercayai bertanggungjawab melancarkan serangan udara yang membunuh pemimpin kanan Hamas, Saleh al-Arouri di ibu negara Lubnan, Beirut.

Video yang tersebar di media-media sosial menunjukkan beberapa buah kenderaan hangus terbakar akibat serangan udara itu, dipercayai sama ada menggunakan pesawat pejuang atau dron milik Israel.

Serangan yang berlaku di Dahiyeh itu merupakan kawasan kejiranan di Beirut yang merupakan kubu kuat kepada pergerakan Hezbollah tetapi pada masa yang sama turut menempatkan pejabat Hamas di negara Mediterranean itu.

Laporan media menyatakan selain Arouri, turut terbunuh adalah dua komander kanan Briged al-Qassam dan empat lain yang belum dikenali.

Perdana Menteri Lubnan Najib Mikati mengutuk insiden itu dan menyatakan bahawa ia adalah tindakan jenayah Israel.

Dalam temuramah dengan Al-Jazeera bulan lepas, Arouri menyatakan bahawa Hamas tidak berunding tentang pertukaran tahanan selagi Israel tidak menamatkan serangan terhadap Gaza.

“Pihak kami bersedia untuk berhadapan dengan segala scenario ketenteraan. Tiada ketakutan atau kebimbangan. Kita akan menang,” kata beliau.

Pegawai-pegawai Israel telah berulang-kali mengancam untuk menyerang pemimpin-pemimpin Hamas yang berada di luar Palestin termasuk di Lubnan, Qatar dan Turkiye, sebagai reaksi terhadap serangan yang berlaku pada 7 Oktober lalu.

Pada November lalu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menyatakan bahawa beliau telah memberikan arahan kepada Mossad untuk “membunuh semua pemimpin Hamas tidak kira di mana mereka berada.”

Saleh
Saleh al-arouri

 

Arouri adalah timbalan pengerusi biro politik Hamas dan pengasas kepada cabang ketenteraan kumpulan itu di Tebing Barat.

Dilahirkan pada 19 Ogos 1966 di Ramallah di Tebing Barat ketika ia masih lagi dibawah Jordan, beliau menerima pendidikan di Universiti Hebron dan adalah di antara pengasas kepada Briged al-Qassam. — DSA

CLICK FOR DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

Any enquiries can email: lulwabyadah@gmail.com

 

Comments
Loading...