Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Syarikat Pembuat Helikopter MD530G Milik Tentera Darat Jatuh Bankrap

Persoalan yang timbul hari ini adalah, adakah permohonan bankrap oleh syarikat MD Helicopter itu akan menjejaskan operasi helikopter MD530G oleh Tentera Darat?

0 60,303

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat MD Helicopters daripada Amerika Syarikat yang baru sahaja menghantar enam buah helikopter MD530G kepada Tentera Darat, telah membuat permohonan bankrap di bawah Chapter 11 mengikut undang-undang Amerika Syarikat.

Permohonan bankrap oleh syarikat MD Helicopters itu berlaku tidak lama selepas keenam-enam helikopter MD530G itu tiba di negara ini pada bulan Februari lepas.

Walaupun helikopter penyerang ringan itu telah tiba di Malaysia, namun ia masih perlu melalui Final Acceptance Test (FAT) sebelum ditauliahkan oleh Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) yang merupakan operatornya.

MD530G

Kementerian Pertahanan menandatangani perjanjian perolehan enam buah helikopter bernilai RM320 juta itu pada 2016, namun penghantarannya mengalami kelewatan beberapa kali.

Persoalan yang timbul hari ini adalah, adakah permohonan bankrap oleh syarikat MD Helicopters itu akan menjejaskan operasi helikopter MD530G oleh Tentera Darat?

Menurut laporan media asing baru-baru ini, permohonan bankrap oleh syarikat MD Helicopters dibawah Chapter 11 itu merupakan sebahagian daripada strategi untuk menyuntik syarikat dengan dana sebanyak US$60 juta (RM240 juta) dan membebaskannya daripada hutang serta mempercepatkan penjualan aset-asetnya.

MD530G

Dalam satu kenyataan, syarikat MD Helicopters menyatakan bahawa ia akan meneruskan operasi seperti biasa ketika syarikat menjalani penstrukturan semula.

“Syarikat MD Helicopters menjangkakan operasinya akan berjalan seperti biasa ketika proses penjualan. Kami memiliki kecairan (liquidity) yang mencukupi untuk memenuhi komitmen perniagaan termasuk komitmen kewangan tambahan berkait dengan proses ini.

“Kami (syarikat) kekal fokus untuk memenuhi kehendak pelanggan awam dan ketenteraan dan bekerjasama dengan pembekal seperti biasa,” menurut syarikat MD Helicopters dalam kenyataannya itu.

Menurut laporan media asing lagi, syarikat telah cuba untuk mencari pembeli sejak Ketua Pegawai Eksekutif Lynn Tilton meninggalkan MD Helicopters pada bulan Mac 2020.

MD530G

Permohonan bankrap itu juga dipercayai adalah “jalan keluar” oleh syarikat daripada kemungkinan dikenakan denda “sembilan angka” berikutan keputusan sivil pada Oktober lepas.

Dalam keputusan itu, juri persekutuan Amerika Syarikat mendapati syarikat itu bersalah kerana menipu soal penjualan peralatan ketenteraan kepada El Salvador, Arab Saudi dan Costa Rica pada tahun 2011 dan 2012.

Sejak Tilton meningggal syarikat MD Helicopters pada Mac 2020, urusan syarikat telah dikendalikan oleh pengerusi dan pengarahnya Alan Carr.

Laporan media asing juga mengatakan bahawa sebahagian daripada proses bankrap itu menyaksikan syarikat bersetuju dengan perjanjian pembelian aset dengan consortium pemberi hutang diketuai oleh Bardin Hill dan MBIA Insurance.

MD530G

Konsortium itu akan membeli kesemua aset milik syarikat MD Helicopters dan menyediakan modal baru.

Baru-baru ini Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata tiga daripada enam helikopter penyerang MD530G itu akan ditempatkan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), manakala bakinya akan ditempatkan di Kluang, Johor.

Helikopter itu dijangka memulakan operasinya Oktober ini.

MD530G

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Menurut PTD, kesemua helikopter itu akan dilengkapi senjata jenis Gatling Gun 7.62 milimeter (mm), Heavy Machine Gun 12.7mm dan pelancar roket 70mm.

Helikopter MD530G yang dibekalkan oleh Syarikat Halaman Optima Sdn Bhd melalui Syarikat Destini Prima Sdn Bhd itu, merupakan buatan MD Helicopters Inc (MDHI) yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Ia tiba di Pelabuhan Klang pada 21 Feb lepas dari Pelabuhan Oakland, Amerika Syarikat. — DSA

 

Comments
Loading...