Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal LMS Batch 2 TLDM Lebih Besar Dan “Lebih Berkuasa”

Apa yang menarik adalah kapal-kapal LMS Batch 2 TLDM bersaiz lebih besar dan "berkuasa" berbanding empat buah kapal LMS Batch 1 yang telah pun dimiliki oleh TLDM.

0 12,150

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada pameran Defence Service Asia (DSA) yang baru sahaja berakhir baru-baru ini, beberapa syarikat pembuat kapal  telah menampilkan rekabentuk kapal-kapal Littoral Mission Ship (LMS) mereka untuk pertimbangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

TLDM menerusi program perolehan Kapal LMS Batch 2 bercadang memperolehi lapan buah kapal LMS untuk menambah empat buah yang telah pun dimiliknya.

Menurut Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany pihaknya merancang untuk memperolehi tiga buah kapal LMS terlebih dahulu di bawah program perolehan buah kapal LMS Batch 2.

LMS
Rekabentuk Damen Sigma 9113.

 

Beliau juga berkata peruntukan untuk perolehan kapal-kapal LMS Batch II itu sedang diusahakan TLDM dan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien.

“Setakat ini, di peringkat TLDM kami telah buka kertas cadangan (proposal) kepada beberapa negara antaranya China, Belanda dan Turki dan kami telah menyenarai pendek beberapa cadangan.

“Apabila TLDM telah dapat bajet barulah kami akan memilih syarikat mana yang berjaya membina LMS berkenaan,” katanya.

LMS
Tiga daripada empat kapal LMS Batch 1 milik TLDM.

 

Mohd Reza berkata perolehan kelompok kedua LMS dirancang bagi menggantikan aset-aset TLDM sedia ada yang telah usang.

TLDM dikatakan sedang merancang untuk memperolehi sehingga lapan buah kapal LMS Batch 2 kedua pada tahun, dengan pembinaannya akan dilaksanakan secara berperingkat di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025).

Antara syarikat yang tampil mempamerkan rekabentuk cadangan kapal LMS Batch 2 TLDM pada DSA 2022 adalah Gading Marine dengan kerjasama Damen Schelde Naval Shipbuilding daripada Belanda.

NSM
Peluru berpandu NSM

 

Kedua-dua syarikat itu menampilkan rekabentuk Damen Sigma 9113 untuk program perolehan LMS Batch 2 TLDM.

Rekabentuk Damen Sigma 9113 adalah sama seperti rekabentuk empat buah kapal korvet kelas-Diponegoro yang mula memasuki Tentera Laut Indonesia pada 2009.

Keseluruhan panjang kapal Damen Sigma 9113 itu adalah 91 meter dan berat 1900 tan, yang merupakan jauh lebih panjang dan berat berbanding empat buah kapal LMS Batch 1 yang diperolehi oleh TLDM daripada China.

Disebabkan saiznya yang lebih besar daripada kapal LMS Batch 1, maka kapal LMS Damen Sigma 9113 itu boleh dilengkapi dengan sekurang-kurangnya dua silos peluru berpandu Kongsberg NSM dan meriam 57mm serta 30mm.

LMS
Rekabentuk kapal korvet “Ada” yang ditawarkan oleh syarikat STM dari Turki untuk program perolehan kapal LMS Batch 2 TLDM.

 

Kapal Damen Sigma itu juga mampu mencapai kelajuan 28 knot.

Pegawai syarikat Damen memberitahu portal pertahanan antarabangsa Janes bahawa rekabentuk kapal Sigma 9113 itu telah dipertingkatkan bagi memenuhi keperluan kapal-kapal LMS Batch 2 TLDM.

Penggunaan peluru berpandu Kongsberg NSM itu pada admin adalah tepat atas faktor commonality dengan sistem peluru berpandu anti-kapal yang bakal digunakan oleh enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS).

Selain Damen, syarikat pembuat kapal Turki, STM yang menyertai DSA 2022 juga berkata ia akan menampilkan rekabentuk kapal korvet sepanjang 85 meter untuk memenuhi keperluan TLDM bagi program perolehan lapan buah kapal LMS Batch 2.

LMS
Kapal korvet “Ada” Tentera Laut Turki

 

Setakat ini admin tidak pasti, siapakah rakan tempatan bagi syarikat Turki ini.

Difahamkan bahawa syarikat Turki ini telah menampilkan rekabentuk kapal korvet “Ada” untuk program LMS Batch 2 TLDM.

Panjang keseluruhan kapal korvet Ada Turki ini adalah 99 meter, manakala berat keseluruhan adalah kira-kira 2,400 tan yang membolehkan kapal ini membawa pelbagai jenis senjata dan peralatan serta penderia.

Dilengkapi dengan hangar helikopter dan peluru berpandu anti-kapal Harpoon, kapal korvet Ada yang dibangunkan oleh syarikat STM daripada Turki ini mampu mencapai kelajuan 29 knot.

LMS

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Selain menawarkan kapal korvet Ada untuk program LMS Batch 2, syarikat Turki itu turut menawarkan rekabentuk kapal peronda bagi Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).

Selain daripada Gading Marine/Damen Schelde dan STM daripada Turki, program perolehan lapan buah kapal LMS Batch 2 TLDM ini juga bakal menarik perhatian daripada syarikat-syarikat lain dalam dan luar negara termasuk Boustead dan CSOC daripada China yang bertanggungjawab membina empat buah kapal LMS Batch 1 TLDM. — DSA

Comments
Loading...